Karangan Bahagian A Cara-cara Belajar untuk Mencapai Kejayaan

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara belajar untuk mencapai kejayaan.

  Semua pelajar menginginkan kejayaan dalam kehidupan. Kejayaan yang diperoleh akan memudahkan seseorang pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Mereka juga mungkin mendapat pembiayaan wang supaya tidak membebankan mereka. Namun, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, murid-murid perlulah berusaha bersungguh-sungguh dan rajin menelaah untuk mendapat prestasi akademik yang baik. Menurut Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Muhammad Khalid, keputusan peperiksaan awam semakin meningkat saban tahun dan prestasi pelajar bertambah baik. Persaingan antara pelajar-pelajar pula hebat dan oleh hal yang demikian, murid-murid akan bermotivasi meraih kecemerlangan dalam pelajaran. Setiap murid mempunyai cara belajar yang berbeza, oleh itu, mereka bolehlah menggunakan cara belajar yang sesuai untuk menambahkan ilmu masing-masing. 

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu memberikan tumpuan di dalam kelas. Guru-guru setiap subjek akan menerangkan topik-topik dengan teliti di dalam kelas. Sekiranya murid-murid menghadapi sebarang kemusykilan, mereka bolehlah bertanya untuk mengikis ketidakfahaman mereka. Murid-murid juga boleh menulis nota ringkas semasa guru sedang mengajar untuk memudahkan rujukan nanti. Hal ini juga akan memudahkan pelajar menyelesaikan masalah nanti sekiranya sentiasa fokus dalam pembelajaran kerana bahagian penting akan ditekankan oleh guru tersebut. Maka, mereka akan berjaya menjawab soalan ketika peperiksaan nanti kerana memberikan tumpuan di dalam kelas. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa tumpuan semasa guru mengajar merupakan satu cara belajar yang amat efektif. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa usaha yang lebih pragmatik perlu dilaksanakan, iaitu mengulang kaji pelajaran di rumah. Murid-murid bertanggungjawab untuk membuat jadual rumah agar membahagikan masa dengan baik antara belajar dengan bermain. Jikalau murid-murid mengikuti aktiviti yang dijadualkan, mereka akan mendapati kerja-kerja rumah dan ulang kaji pelajaran dapat diselasaikan dengan berkesan. Mereka bolehlah membeli buku-buku rujukan atau buku kerja untuk melatihkan diri supaya mampu menguasai topik secara menyeluruh. Murid-murid harus sentiasa membuat persiapan awal selaras dengan pepatah sediakan payung sebelum hujan. Mereka perlu berpegang pada prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain dan sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Mereka perlulah mengikis sikap malas berkayuh, perahu hanyut agar tidak sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa tidak mustahil seseorang dapat mencapai kejayaan sekiranya mereka sentiasa mengulang kaji pelajaran di rumah. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa strategi lain yang agak jelas ialah menelaah pelajaran di perpustakaan. Murid-murid hendaklah rajin menelaah pelajaran sama ada pada waktu rehat atau selepas waktu persekolahan di pusat sumber sekolah. Terdapat banyak bahan rujukan pembelajaran yang diterbitkan untuk membantu murid-murid dengan topik-topik subjek pelbagai memahami dan meneliti. Bertitik tolak daripada itu, murid-murid dapat meminjam bahan rujukan yang bermanjaat yang telah disesuaikan dengan kurikulum terkini. Keadaan pusat sumber yang tenang dan kondusif serta dilengkapi dengan alat penghawa dingin menyediakan suasana yang berkesan untuk murid-murid menelaah. Keadaan ini sama dengan peribahasa sambil menyelam minum air. Murid-murid juga akan mengelakkan diri daripada sebarang gangguan dan gejala sosial seperti merokok, merempit dan vandalisme. Maka, mereka akan memupuk sikap terpuji dengan berusaha meraih kecemerlangan dalam akademik. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa menelaah pelajaran di perpustakaan merupakan satu pendekatan belajar yang amat bijak. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan modus operandi seterusnya, iaitu mengadakan perbincangan secara berkumpulan. Murid-murid yang berkumpul bersama boleh berkongsi idea dan maklumat bersama. Mereka akan saling bertanya antara satu sama lain kerana segan bertanya, sesat jalan. Pembelajaran melalui cara ini dapat menunjukkan kelemahan diri dan tahap pemahaman seseorang terhadap sesuatu topik. Sesetengah murid juga mendapati cara ini membantu mereka belajar dengan lebih pantas. Nota yang dibandingkan dengan murid-murid yang lain dalam sesuatu perbincangan akan mendapat pandangan daripada orang yang berbeza. Walakin begitu, perbincangan secara berkumpulan tidak akan berjaya dan berjalan lancar tanpa kerjasama rakan sekumpulan. Justeru, pilihlah rakan-rakan yang serius dan cekap untuk mengelakkan pembaziran masa berlaku kerana masa itu emas. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbincangan secara berkumpulan boleh dijadikan pedoman untuk suatu cara pembelajaran yang amat menarik. 

    Sebagai penghias bicara akhir, hakikatnya dapatlah kita simpukan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Usaha itu tangga kejayaan dan memerlukan kesabaran, kerajinan dan kegigihan murid-murid untuk mengusahakannya sendiri. Para pelajar bolehlah mengkaji cara pembelajaran sama ada secara kinestetik, oditori ataupun visual untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran. Sesetengah pelajar mungkin menyukai cara pembelajaran dengan mendengar muzik, namun cara ini mungkin menganggu pelajar yang lain. Proses pembelajaran memerlukan pengorbanan dilakukan, namun begitu keputusan yang diperoleh senantiasa manis. Para pelajar perlulah tabah dan tidak mengenal erti penat dan lelah untuk meraih kejayaan. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, oleh hal yang demikian, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi murid yang cemerlang! 


Word Count: 759                                 Markah: 28/30                                                   Date: 13/1/2016


Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya