Karangan Bahagian B Kepentingan-kepentingan Mengekalkan Budaya Warisan Kaum (SPM 2015)

Di sini lahirnya sebuah cinta
     Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
              Bercambah menjadi warisan

Ku ingin kotakan seribu janji
    Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
        Akulah penyambung warisan

  Rangkap pertama dan terakhir lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyayi tersohor negara, Allahyarham Sudiman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Malaysia merupakan sebuah nagara tercinta dikenali dengan tiga kaum utama iaitu, Melayu, Cina, India dan etnik-etnik yang kecil bilangannya seperti Kadazandusun, Bidayuh dan Melanau yang kebanyakannya tinggal di Sabah dan Sarawak. Keadaan ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dengan diversitinya dari segi agama, budaya, bangsa, tradisi, adat resam, cara hidup dan sebagainya. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya adalah berapa ramaikah orang yang mengenali dan menghargai budaya warisan kaum mereka? Tepuk dada tanya selera. Warisan bangsa Malaysia seolah-olah telah dianaktirikan oleh penduduknya sendiri. Budaya warisan kaum melambangkan identiti negara, amalan budaya pula melambangkan sifat majmuk masyarakat. Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita telah mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Generasi kini pula telah diamanahkan untuk mengekalkan budaya warisan kaum agar terus subur meredah zaman. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan malaysia, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz juga menyeru anak-anak belasan tahun agar menyedari kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum tersendiri untuk pengetahuan generasi seterusnya. Maka, persoalan yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke arah umbi demi kebaikan kita bersama. Marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk mengetahui kepentingan melestarikan budaya warisan kaum di Malaysia.

  Umum mengetahui bahawa pengekalan budaya warisan kaum merupakan kesinambungan tamadun. Tamadun bangsa dilihat pada warisan seni budaya dan harus dikekalkan sebagai identiti kaum. Contohnya seperi keunikan pakaian pelbagai kaum yang mempunyai pelbagai bentuk dan cara pemakaian yang berwarna-warni. Pemuda-pemudi wajib mengetahui asal usul dan tidak melupakan daratan nenek moyang. Kita wajar mengambil iktibar daripada tarian Portugis yang mengimbas silam tentang kedatangan orang Portugis yang menjajah tanah air kita. Kejatuhan Sultan Melaka pula memberi pengajarn kepada kita agar menjadikan budaya sendiri sebagai benteng agar tidak hanyut dengan budaya Barat dan tidak terikut-ikut. Masyarakat kini berperanan penting dalam membentuk jati diri bangsa malaysia dengan mengamalkan warisan kaum ini dalam kehidupan seharian. Misalnya, amalan tersebut boleh dilihat semasa oerayaan agama dan budaya setiap kaum. Perayaan Tahun Baru Cina mengumpulkan setiap ahli keluarga untuk makan bersama-sama sehari sebelum perayaan tersebut untuk mengeratkan hubungan antara anggota keluarga. Hari Deepavali pula mengalu-alukan kedatangan Dewi Lakshmi dengan menghia kolam di remah masyarakat India masing-masing. Perayaan sebegini disambut dengan meriah dan gembira sekali oleh kaum tersendiri dan menggambarkan keperibadian utuh mereka. Yang ada pada hari ini, kesemuanya berpunca daripada yang silam, oleh hal yang demikian, p[emuda-pemudi bertanggungjawab mengenali asal usul kaum untuk membentuk jati diri yang kukuh. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa budaya warisan kaum penting dikekalkan untuk kesinambungan tamadun pelbagai kaum.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan kelebihan seterusnya, iaitu memelihara dan memulihara budaya warisan kaum. Pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggarap hati para pelancong. Ukiran seni yang bertemakan flora dan fauna atau bentuk geometri telah menyerlahkan kecantikan dan keunikan bangunan usang yang telah wujud berdekad-dekad tahun dahulu. Dalam konteks memelihara dan memulihara warisan kaum, pengisytiharan yang pertama pernah diadakan di parlimen dengan mengisytiharkan 50 butiran warisan yang diangkat menjadi Warisan Kebangsaan pada tahun 2007 bersempena dengan 50 tahun kemerdekaan Malaysia. Senarai tersebut terdiri daripada butiran yang disebut dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. Kewujudan daftar berkenaan membuktikan nagara kita memberikan penekanan terhadap setiap warisan kaum. Agensi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) iaitu Jabatan Warisan Negara (JWN) berfungsi secara dinamiknya menggembleng kudrat ke arah memartabatkan warisan kebudayaan negara. Dari segi pengiktirafan Warisan Antarabangsa, Malaysia berjaya menyenaraikan dua tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Bandar Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang. Pelbagai jenis makanan kegemaran rakyat Malaysia juga dapat diketengahkan. Hal ini demikian kerana setiap kaum mewarisi makanan tradisi secara turun-temurun dan perlu subur walaupun terdedah kepada makanan barat. Sebanyak 100 makanan tradisional pelbagai kaum turut tercatat sebagai Masakan Warisan Kebangsaan pada tahun 2009 yang merangkumi nasi dagang, roti canai, nasi kerabu dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa mengekalkan budaya warisan kaum amat vital dalam memelihara dan memulihara budaya warisan kaum.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa kepentingan lain yang agak jelas adalah menjana ekonomi negara. Keadaan ini dapat dibuktikan dengan kemasukan pelancong asing yang meningkat dari setahun ke setahun. Hal ini demikian kerana daya tarikan keistimewaan negara yang dapat memaut hati para pelancong. Sebagai analogonya, persembahan teater tradisional seperti Mak Yung, Tarian Kuda kepang dan Tarian Gawai mendapat kunjungan para pelancong yang ingin mendekati corak hidup masyarakat kita. Sebahagian daripada mereka pula tinggal bersama-sama dengan orang kampung untuk merasai kehidupan dan menghayati kekayaan warisan kaum. Pengamalan ini amat istimewa bagi merek kerana jauh berbeza dari kehidupan mereka di metropolis yang serba moden. Tempat-tempat beribadat negara juga membuka mata dan minda para pelancong dengan bangunan yang berwarna-warni dan berskala besar. Perayaan agama yang disambut dengan meriah sekali melibatkan para pelancong untuk turut serta. Program Rumah Terbuka yang dilakukan secara tahunan melalui perayaan utama kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India pula memberi peluang kepada pelancong asing untuk menyambut perayaan bersama-sama dan merasai keenakan makanan tempatan setiap kaum. Mereka menzahirkan rasa kagum dengan program tersebut yang tidak dapat diperoleh di negara lain. Para pelancong juga akan membeli kraftangan tempatan sebagai cenderamata untuk dibawa pulang. Bertitik tolak daripada itu, mereka membantu mempromosikan negara kita kepada mata dunia untuk menarik kedatangan pelancong lain. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta. Hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa budaya warisan kaum amat penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan kelebihan seterusnya, iaitu memperkenalkan dan mewariskan budaya kepada generasi akan datang. Warisan kaum yang diwariskan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi merupakan khazanah yang tidak ternilai. Sekiranya warisan tersebut pupus, maka generasi yang akan datang hanya mampu melihatnya di muzium sahaja, bak kata pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”. Masyarakat berperanan penting dalam memperkenalkan warisan kaum kepada generasi muda sejak dari rebungnya lagi. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak tentang pakaian tradisi, makanan, permainan tradisional, adat resam, pantang larang supaya mereka mendisiplinkan diri dan mengenali asal usul. Anak-anak harus memartabatkan warisan yang melambangkan keperibadian mereka. Misalnya, generasi muda dapat memahami betapa tingginya nilai hati budi dan tahap pemikiran nenek moyang dalam penciptaan permainan tradisional yang pelbagai seperti congkak, batu seremban, selambut, galah panjang dan sebagainya. Pakaian tradisional pula menyerlahkan kehalusan seni jahitan yang berwarna-warni. Pantang larang yang dikemukakan pula menjadi tunjang kehidupan dan pedoman agar mempunyai jati diri yang teguh dan menangkis anasir jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Generasi muda juga mampu menghayati seni gerak kreatif seperti wayang kulit, zapin dan kompang kadaro yang dijalankan melalui Rakan Seni Budaya, Semarak Budaya dan Program Kembara Budaya. Permainan tradisional seperti sepak raga juga telah diketengahkan menjadi salah satu acara yang dipertandingkan dalam sukan antarabangsa. Melalui pemahaman dan penghayatan keunikan budaya warisan kaum ini, generasi muda dapat didedahkan dan memikul tanggungjawab dalam mengekalkan warisan kaum.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah budaya warisan kaum mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Setiap kaum mempunyai warisan dan kepercayaan yang amat berbeza. Hal ini mampu mendatangkan pertelingkahan dan perselisihan faham yang tidak diingini. Oleh sebab itulah, masyarakat perlulah bersifat prihatin, bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain agar dapat menjamin keharmonian dan kesejahteraan sejagat. Perpaduan dapat dicapai semasa perayaan kaum yang membolehkan masyarakat meraikannya bersama-sama, bertukar kuih-muih dan mengucap selamat antara satu sama lain. Jiran tetangga yang mengunjungi dapat mengetahui cara hidup, budaya, tradisi dan adat resam semasa perayaan sedang dijalankan dan sejarah di sebaliknya. Permainan tradisional seperti wau, congkak dan gasing juga mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat kerana bersaing dengan sihat. Pihak sekolah juga boleh mengambil inisiatif dengan mengadakan Hari Warisan yang menghendaki para pelajar untuk memakai pakaian tradisional sepanjang aktiviti tersebut dijalankan dan jamuan makanan tradisional disediakan. Persembahan tarian tradisional boleh dilakukan untuk hiburan dan memperkenalkan tarian kaum masing-masing. Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah digilap dan dijaga dengan baik agar dapat sinar dengan cahaya bergemerlapan. Oleh sebab itu, anak-anak muda yang masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang mampu memupuk melalui budaya warisan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa budaya warisan kaum penting dalam memupuk semangat patriotik masyarakat.

  Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sememangnya diakui bahawa memang terdapat banyak kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum di Malaysia. Sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah digilap dan dijaga dengan baik agar dapat sinar dengan cahaya bergemerlapan. (I don't know why I used this peribahasa for 2 times in this essay.) Dengan berbuat demikian, Malaysia dapat melahirkan benih yang baik dan modal insan yang berguna pada masa hadapan yang menghargai budaya warisan kaum masing-masing. Tokoh pujangga ada menyatakan bahawa jika benih yang baik dilantar ke udara menjadi kejora, dibaling ke laut menjadi pulau dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Oleh sebab itu, janganlah kita sesekali menjadi seperti kacang yang lupakan kulit kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Pihak kerajaan memainkan peranan yang penting dalam melestarikan budaya warisan kaum dengan memperoleh simpanan dan memelihara khazanah warisan negara; mengawasi, memelihara dan memulihara pelbagai jenis warisan; mementaskan seni persembahan; membangunkan industri perfileman negara; serta merancang, mengendali dan menyelenggara pameran tetap dan sementara untuk menyebarkan ilmu pengetahuan tentang warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi Negara. Setiap individu juga perlulah bergiat secara proaktif dengan melibatkan diri dalam aktiviti warisan budaya dan mempromosikan, melatih, membangunkan dan mengekalkan budaya warisan kaum ini. Justeru, biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang dengan masyarakat yang berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengekalkan budaya warisan kaum kita yang amat istimewa ini.  


Word count: 1593                  Markah: 96/100            Date: 14/11/15 


Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

  1. Saya ambil ye contoh krgn ni utk kelas saya, supaya rakan2 saya dpt menjadikan rujukan dalam membuat karangan 😊 mintak halal ye

    ReplyDelete
  2. sebagai sumber bacaan bagi spm

    ReplyDelete
  3. mohon share bahan tuan untuk pdpc...

    ReplyDelete
  4. system breached














    good karangan spm
















    well done














    thanks

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  6. Mantul punya karangan .....👍
    BOOOOEEKK.....

    ReplyDelete
  7. Serius lah montoon ..Gempak do

    ReplyDelete
  8. Assalam.moho izin ambil info karangan. Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia