Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

  Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita, sama ada di depan, belakang, kiri atau kanan. Jiran akan merupakan orang yang pertama menghulurkan bantuan sewaktu kita mengalami kesusahan. Namun begitu, pada realitinya masyarakat kini khususnya yang tinggal di bandar tidak mengenali jiran mereka. Pihak kerajaan telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyemarakkan lagi semangat kejiranan dalam masyarakat. Program Rumah Terbuka yang dianjurkan pada setiap tahun semasa perayaan utama kaum yang terdapat di negara kita sememangnya bertujuan menggalakkan perpaduan dan semangat kejiranan. Akan tetapi, masyarakat kini hanya bergaul dengan jiran semasa menghadiri program seperti itu tetapi tidak bertegur sapa dengan jiran dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa kalau ada asap, tentu ada api. Maka, marilah lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan sebab-sebab semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. 

  Umum mengetahui bahawa fakta perdana yang menyebabkan senario ini ialah perubahan gaya hidup masyarakat kini. Masyarakat kini terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga mereka masing-masing. Kos sara hidup yang amat tinggi serta tekanan yang dihadapi telah memaksa warga kota untuk bekerja sepanjang hari. Akibatnya, apabila mereka pulang ke rumah pada waktu malam, mereka telah keletihan dan tidak mempunyai masa yang berlebihan untuk bergaul dengan jiran. Lama-kelamaan, masyarakat bandar akan semakin bersifat individualistik kerana telah biasa hidup secara bersendirian tanpa menjaga tepi kain orang lain. Hal ini demikian kerana mereka tidak mahu membebankan diri dengan mengambil tahu perkara jiran. Mereka tidak mahu bergantung kepada orang lain. Hal ini bagai enau dalam belukar, melupaskan pucuk masing-masing. Namun begitu, perkara ini tidak sama dengan kehidupan masyarakat pada dahulu kala. Mereka lebih mengamalkan semangat "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dengan jiran-jiran kerana corak kehidupan yang bersantai dan kos hidup yang lebih rendah. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa jadual seharian masyarakat yang padat dengan kerja masing-masing menyumbang kepada salah satu faktor semangat kejiranan semakin pudar. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario yang berlaku juga disebabkan oleh kecanggihan teknologi pada era globalisasi ini. Konsep "Dunia Tanpa Sempadan" telah jelas terbukti dengan adanya rangkaian Internet di hampir seluruh dunia. Dengan ini, masyarakat hanya perlu menaip kata kunci tertentu pada kotak pencarian untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pantas dan mudah. Malah, masyarakat mampu mendapatkan pelbagai jenis hiburan dengan bermain permainan video, mendengar muzik atau menonton video melalui komputer, telefon bimbit atau televisyen. Hal ini menyebabkan masyarakat kurang keluar dari rumah dan kurang berkomunikasi dengan orang walaupun hanya berada di sebelah. Mereka begitu asyik menggunakan peralatan ini dan tidak mempedulikan jiran mereka. Mereka diibaratkan kera sumbang dan akan kekurangan kemahiran untuk berkomunikasi dengan ramah-tamah. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa penggunaan alatan teknologi pada masa kini turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa punca lain yang agak jelas ialah sifat perkauman yang tebal dalam masyarakat. Sesetengah masyarakat tidak suka mempunyai jiran yang berbeza kaum daripada mereka dan hal ini menyebabkan jiran-jiran tidak bergaul antara satu sama lain. Mereka mempunyai tanggapan serong terhadap cara hidup yang berbeza kaum lain. Situasi ini menyebabkan masyarakat tidak mempunyai rasa hormat terhadap jiran dan menjejaskan konsep kejiranan. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak untuk bergaul dengan jiran yang berlainan kaum. Mereka juga mungkin menghadapi masalah dengan jiran dan enggan bertoleransi dan memaafkan antara satu sama lain. Malahan, ibu bapa tidak menerapkan kepentingan mengamalkan kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Mereka kurang mendidik anak-anak tentang jiran yang akan menghulurkan bantuan kepada kita apabila menghadapi masalah. Justeru, anak-anak juga semakin mengabaikan jiran mereka. Oleh hal yang demikian, ternyatalah bahawa sifat perkauman yang menebal juga merupakan punca kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan sebab seterusnya, iaitu masyarakat yang tidak menunjukkan kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan. Sesungguhnya, pelbagai aktiviti sering dijalankan dalam sesebuah kawasan perumahan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat seperti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, mengadakan majlis atau kenduri, Program rumah Terbuka dan Hari Keluarga. Rukun Tetangga yang ditubuhkan untuk menjaga keselamatan sesuatu perumahan juga kurang disertai oleh penduduk sesebuah kawasan perumahan kerana sikap malas mereka. Amalan gotong-royong dalam mengadakan sesuatu majlis semakin ditinggalkan, sebaliknya mereka menggunakan khidmat katering dan menempah restoran dan hotel untuk sesuatu majlis. Hal ini menutup peluang untuk masyarakat menyumbang tenaga dan sekali gus kurangnya peluang untuk masyarakat bertemu dan menjalinkan kemesraan. Masyarakat juga mengambil ringan terhadap aktiviti-aktiviti tang diadakan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa masyarakat yang kurang mengambil bahagian terhadap aktiviti kemasyarakatan menyebabkan kurangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. 

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah pembangunan pesat dalam sesebuah bandar juga mengakibatkan kelunturan semangat kejiranan. Pada hakikatnya, banyak pusat beli-belah, pusat hiburan dan taman-taman permainan yang didirikan dalam sesebuah bandar bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini telah menarik minat masyarakat untuk berkunjung ke tempat-tempat ini dan menghabiskan masa yang banyak di sana. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila wujudnya jurang status sosioekonomi masyarakat. Masyarakat yang berstatus tinggi atau bergaji tinggi akan memandang rendah jiran mereka yang bergaji kecil itu. Persepsi yang  mengutamakan status diri menyebabkan kurangnya interaksi sesama jiran. Golongan masyarakat yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi pula menimbulkan perasaan tidak selesa masyarakat. Keadaan ini menyebabkan hubungan mereka semakin renggang yang menyebabkan golongan yang bergaji kecil berasa rendah diri. Justeru, sememangnya diakui bahawa pembangunan pesat yang terdapat di sesebuah bandar juga menyebabkan semangat kejiranan semakin pudar. 

  Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak faktor yang menyebabkan kelunturan semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat. Jiran dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada pancaran matahari. Orang tua-tua juga pernah berkata bahawa jiran tetangga yang baik merupakan adik-beradik kita di dunia dan di akhirat. Hal ini disebabkan mereka merupakan orang yang pertama menghulurkan bantuan kepada kita apabila kita menghadapi masalah. Kita tidak dapat berlari daripada realiti hidup bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain. Sesungguhnya, benarlah bicara pendeta bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Semangat kejiranan sememangnya penting dalam kalangan masyarakat untuk memupuk perpaduan dan seterusnya menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial, bak kata pepatah "kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar". Kita tidak haruslah menjadikan tanggapan yang negatif, hasad dengki, mempunyai prasangka buruk dan salah faham yang pernah berlaku sebagai halangan untuk menjalinkan semangat kejiranan. Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah buang yang keruh dan ambil yang jernih untuk memanfaatkan semangat kejiranan kerana "Jiran Sepakat Membawa Berkat". 

Word Count: 1043                                         Markah: 86/100                                          Date 28/10/16 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya