Karangan Bahagian B Peranan Ibu Bapa untuk Membantu Anak-anak Mencapai Kejayaan yang Cemerlang dalam Pelajaran

  Kejayaan seseorang pelajar dalam bidang akademik bukanlah sesuatu yang dijadikan sebagai angan-angan. Pernyataan ini dibuktikan apabila terdapat ramai pelajar sekolah rendah, sekolah menengah mahupun mahasiswa telah meraih pencapaian yang cemerlang dalam pendidikan mereka. Di sebalik kejayaan tersebut mempunyai usaha yang tidak diketahui orang serta pelbagai cabaran dan dugaan yang telah diharungi untuk memperoleh prestasi pada masa kini. Dua orang insan pula yang telah memberikan semangat dan pimpinan sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke dunia ini juga amat berjasa terhadap kehidupan kita yang menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Mereka bersusah payah mencari rezeki setiap hari supaya mampu menampung kehidupan anak-anak. Pendidikan oleh kedua-dua ibu bapa dapat membantu anak-anak yang diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya, sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar dengan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran dan berdoa untuk anak-anak supaya mencipta kejayaan anak-anak. Mereka menjadi tonggak kepada anak-anak melalui sokongan moral dan menyediakan keperluan asas anak mereka. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran? 

  Umum mengetahui bahawa peranan perdana yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa adalah mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan damai. Ibu bapa hendaklah menyediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak-anak dengan semua buku rujukan supaya anak-anak dapat memfokuskan diri dalam pelajaran dengan sepenuhnya. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Ibu bapa berperanan mengekalkan keharmonian dan keceriaan rumah tangga supaya menjamin anak-anak dapat membesar dengan gembira, selamat dan sihat. Ibu bapa hendaklah membebaskan anak-anak daripada sebarang masalah dengan memberi dorongan, tunjuk ajar, nasihat dan didikan agama sejak pada awal usia anak-anak lagi. Hal ini demikian kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus mengelakkan daripada bergaduh atau bertengkar di hadapan anak-anak kerana akan memberikan tekanan dan menakutkan mereka. Sekiranya perkara ini berlarutan, maka anak-anak tidak akan mampu memberi perhatian terhadap pelajaran dan menyebabkan masalah psikologi. Perpecahan keluarga juga menganggu kesejahteraan rumah tangga. Dalam pada itu, ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedamaian dan keharmonian antara ahli keluarga agar mentaati konsep 'rumahku syurgaku' untuk kepentingan semua anggota terutamanya anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memikul tanggungjawab yang besar dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain untuk menjamin keamanan iklim rumah tangga. 

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa ibu bapa wajar mengambil inisiatif dalam mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Rakan sebaya anak-anak berperanan besar dalam mempengaruhi mereka dalam kehidupan harian. Anak-anak selalunya akan memilih rakan yang mempunyai sifat, kelakuan dan identiti yang hampir sama untuk bergaul. Oleh hal yang demikian, ibu bapa juga patut mengawal pergaulan dan tingkah laku mereka dengan segera dan menjejaki tempat mereka pergi. Rakan sebaya mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak yang masih tidak dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca dan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah sosial. Janganlah menjadikannya seperti nasi sudah menjadi bubur dan bertindak pada masa yang sesuai, bak kata pepatah ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal pada kemudian hari. Anak-anak hendaklah diawasi sepanjang masa. Sekiranya ibu bapa mendapati mereka mengalami perubahan sifat atau tingkah laku, maka tindakan yang tegas hendaklah diambil untuk memperbaiki akhlak mereka. Ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani dan berbual-bual bersama anak-anak mengenai masalah yang dihadapi dan menasihati mereka menjauhi rakan-rakan yang bermasalah disiplin sehingga mampu menjejaskan masa depan anak-anak yang cerah. Justeru, ibu bapa seyogianya mengambil tahu perkembangan dan keadaan anak-anak di sekolah mahupun di rumah dan memastikan mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran untuk menjamin masa depan yang cerah.


  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa patut memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Ahli fizikteori Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini memang membuktikan bahawa agama dan ilmu saling berkaitan antara satu sama lain. Pegangan agama yang kukuh dapat membentuk sahsiah dan akhlak mulia seseorang individu agar mendorongnya ke jalan yang tepat. Didikan agama hendaklah didedahkan sejak awal usia anak-anak belasan tahun lagi kerana menjadi pedoman hidup untuk mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan amalan yang membahayakan kesihatan seoerti menghisap rokok, minum arak, membeli dadah dan merompak. Didikan ini dapat membentuk keperibadian mulia seseorang untuk menyayangi diri dan alam serta menjamin keharmonian hidup. Ibu bapa boleh mengambil pendekatan dengan mendaftarkan anak-anak kepada program berkaitan dengan agama untuk mengisi masa lapang anak-anak di samping memperoleh faedah daripadanya. Anak-anak juga akan mengikut ajaran agama dengan berdoa supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah menjadi entiti mithali kepada anak dengan menuruti ajaran agama, hal ini desebabkan ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, mereka harus menjadi contoh yang baik seterusnya ingin mendidik anak-anak agar mempunyai pegangan agama yang baik. 


  Pada hemat saya, sememangnya diakui bahawa ibu bapa haruslah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah membeli buku-buku rujukan dan buku latihan yang secukupnya kepada anak-anak supaya dapat membuat ulang kaji secara sempurna dan menyeluruh. Tempat belajar juga hendaklah bersih dan senyap, jauh dari sebarang bunyi yang boleh menjadi gangguan semasa anak-anak sedang belajar. Latihan dan bahan rujukan yang lengkap dapat membantu anak-anak memahami subjek-subjek yang diajar di sekolah dengan lebih jelas dan teliti. Ibu bapa juga haruslah meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak sekiranya menghadapi masalah dalam bidang akademik. Lantaran itu, ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak-anak ke kelas tuisyen atau kelas tambahan di sekolah. Hal ini demikian kerana guru-guru tuisyen yang berpengalaman serta kelas-kelas dengan bilangan pelajar yang kecil dapat menjamin pemahaman dan penguasaan pelajar berkaitan sesuatu topik. Pelajar-pelajar juga berpeluang menanyakan soalan-soalan dan memperoleh penjelasan secara terperinci. Mereka juga diberi latihan yang banyak untuk menyesuaikan diri dengan teknik menjawab dan markah yang diperuntukkan supaya mampu menjawab kertas peperiksaan dengan baik. Rentetan itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke perpustakaan, kedai buku, pameran buku dan ceramah teknik menjawab soalan kertas peperiksaan SPM agar memastikan pelajar memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dihadapi. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ibu bapa memang berperanan penting dalam menyediakan pelbagai kemudahan agar membentuk anak-anak yang berkeyakinan untuk meraih kejayaan dalam pelajaran. 

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah ibu bapa hendaklah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Ibu bapa hendaklah menggunakan peluang Hari Terbuka untuk mengetahui perkembangan anak-anak dan tingkah laku mereka di sekolah bersama-sama guru tungkatan anak-anak. Dengan ini, ibu bapa boleh mengambil tindakan untuk memperbaiki kelemahan subjek anak-anak dan tingkah laku. Hari itu menjadi satu pentas supaya ibu bapa meluangkan masa untuk lebih memahami anak-anak dan keputusan akademik mereka. Selain itu, ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik dengan memahami masalah. Ibu bapa juga boleh berbincang cara untuk meningkatkan prestasi anak-anak bersama guru di sekolah. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi terhadap guru yang mengajar kerana malas bertanya sesat jalan. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama-sama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak yang bermasalah disiplin diberi amaran dan hukuman yang sesuai agar mendisiplinkan mereka tekun menuntut pelajaran. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa melalui perbincangan dengan pihak sekolah dapatlah membantu anak mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. 

  Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa perlulah memberikan perhatian yang setimpal dan berprihatin terhadap pelajaran anak-anak. Anak-anak melalui kebanyakan masa di rumah dan ibu bapalah yang menjadi dominan dalam rumah tangga. Ibu bapa wajar mengikuti perkembangan akademik anak-anak di sekolah dan bertanggungjawab menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja. Ibu bapa tidak harus mementingkan kerja mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang serta sokongan moral agar terus mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Mereka patut menerapkan konsep kepentingan menuntut ilmu yang menjanjikan pekerjaan yang lebih baik dan menyediakan mereka kepada realiti dunia ini. Ibu bapa boleh membantu merancang aktiviti anak-anak dan memberi pendapat dan nasihat untuk mementingkan bidang akademik serta tidak membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah sehingga menganggu prestasi anak-anak. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa tidak patut memberi tekanan yang berlebihan terhadap prestasi mereka dan membebankan jadual aktiviti harian dengan kelas tuisyen yang banyak. Hal ini disebabkan anak-anak juga memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi untuk memulakan kerja pada kemudian hari. Mereka juga perlu ruang tersendiri untuk melakukan perkara yang disukai untuk melepaskan tekanan pelajaran. Maka, untuk menjamin masa depan anak-anak belasan tahun agar dapat meraih kejayaan dalam pelajaran, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan agen pertama dalam membantu anak-anak ke arah kejayaan.
 
Word count: 1430                  Markah: 89/100            Date: 9/4/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

  1. sangat berguna dan amat membantu!!

    ReplyDelete
  2. TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN BERMANFAAT

    ReplyDelete
  3. wow this is so amazing

    ReplyDelete
  4. thankyou for this amazing essay!

    ReplyDelete
  5. Mohon dikongsi bersama murid - murid yer..terima kasih banyak - banyak

    ReplyDelete
  6. Mohon untuk dikongsikan bersama pelajar.Semoga usaha mendapat ganjaran dari-Nya

    ReplyDelete
  7. Saya nak karangan ni dlm Bahama Tamil

    ReplyDelete
  8. Woww thanks๐Ÿ™†๐Ÿป

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya