Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

      Malaysia merupakan sebuah negara yang kian membangun sejak mengecapi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Kita amat beruntung kerana telah mencapai perkembangan pesat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan dan perindustrian. Kemajuan sains dan teknologi telah mendorong Malaysia ke alaf baharu yang serba canggih dan moden agar dapat merealisasikan wawasan 2020 yang menjadikan Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Untuk membangun negara supaya setaraf dengan negara-negara lain, sektor-sektor ekonomi yang menyumbangkan kepada pendapatan negara kita amat penting. Sektor pelancongan terutamanya yang mempromosikan negara Malaysia yang unik ini menyumbangkan pendapatan yang amat besar nilainya. Menurut kajian yang telah dilakukan, negara Malaysia merupakan antara 10 negara paling banyak dilawati oleh pelancong asing di dunia dan telah menyumbangkan sebanyak RM22 bilion pada tahun 2012. Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Seri Nazri Aziz sering memperkatakan betapa pentingnya sektor pelancongan kepada negara kita. Oleh hal yang demikian, lapangkan jiwa dan minda untuk mengetahui faktor yang relevan yang menyebabkan Malaysia dijadikan pilihan pelancong asing untuk datang melawatnya.

      Umum mengetahui bahawa faktor perdana Malaysia dijadikan destinasi pelancong asing adalah disebabkan oleh kedudukan Malaysia di atas bumi ini Malaysia terletak berhampiran dengan garisan Khatulistiwa yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun. Hujan yang turun degan lebat sepanjang tahun juga menyebabkan kadar kelembapan yang tinggi. Purata suhu yang sekata disebabkan oleh kedudukan negara kita yang dikelilingi oleh lautan. Oleh sebab iklim negara kita yang sentiasa panas dan lembap sepanjang tahun, pelancong asing suka melancong ke tanah air kita disebabkan oleh negara kita yang tidak mengalami perubahan cuaca dan musim yang terlampau. Malah, pelancong asing suka berjemur di bawah matahari di tepi pantai kerana negara mereka mempunyai musim sejuk yang agak ekstrem. Selain itu, Malaysia tidak mengalami bencana alam seperti taufan, letupan gunung berapi, gempa bumi dan kemarau. Hal ini demikian kerana kedudukan Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan kawasan tiupan angin siklon. Hujan perolakan pada musim peralihan angin monsun pula membebaskan Malaysia daripada mengalami kemarau panjang. Kenyataan yang terpapar ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat dan bebas dilawati sepanjang tahun. Dengan ini, pelancong asing boleh datang melawat negara kita pada bila-bila masa sahaja dengan keadaan cuaca dan iklim yang bersesuaian.
   
      Seterusnya, memang tidak dinafikan bahawa kedatangan pelancong asing ke Malaysia juga disebabkan oleh keindahan flora dan fauna yang terdapat di negara kita. Hutan hujan tropika yang meliputi 70 peratus daripada jumlah keluasan hutan di seluruh Malaysia merupakan hutan yang paling luas di negara kita. Dalam hutan hujan tropika juga terdapat pelbagai spesies haiwan yang mendiaminya seperti rusa, landak, orang utan, kera dan burung enggang. Jenis haiwan yang berbeza mendiami mengikut lapisan hutan. Hutan ini bersifat malar hijau kerana pokok-pokok meghijau sepanjang tahun. Alam semula jadi yang merupakan aset penting negara kita telah menyebabkan kerajaan mewartakan hutan-hutan yang berharga ini sebagai taman negara seperti Taman Negara Pahang, Taman Negara Endau-Rompin, Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Bako. Inisiatif ini diambil agar flora dan fauna terpelihara daripada sebarang kemusnahan dan menjadi tarikan pelancong. Menurut kajian, Taman Negara Pahang merupakan hutan yang tertua di dunia yang telah wujud dua juta tahun dahulu dan telah pun melepasi usia hutan Amazon di Amerika Syarikat. Taman-taman negara ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti merentasi hutan dan berkhemah untuk pelancong serta aktiviti penyelidikan untuk para saintis.
   
      Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa keistimewaan lain negara kita yang agak jelas ialah masyarakat majmuk yang terdapat di negara Malaysia yang tercinta ini. Negara Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Kaum utama rakyat Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Terdapat juaga kaum yang bilangannya tidak begitu ramai seperti Bidayuh, Kadazandusun, Melanau, Dayak dan Iban atau lebih dikenali sebagai orang asli yang kebanyakannya berada di negeri Sabah dan Sarawak. Kaum yang pelbagai ini telah mewujudkan budaya, agama, dan amalan hidup yang berbeza. Namun rakyat negara kita masih hidup dengan aman dan sentosa disebabkan sikap keterbukaan dan amalan hortmat-menghormati antara satu sama lain. Perayaan setiap kaum juga diraikan bersama-sama tidak kira bangsa dan agama pada setiap tahun. Malahan amalan rumah terbuka untuk setiap perayaan telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri negara kita, Datuk Seri Mohd Najib agar rakyat dan pelancong dapat menikmati makanan-makanan tradisi di samping mengetahui budaya dan adat resam setiap kaum. Makanan setiap kaum juga dapat didapati di seluruh negara Malaysia di kedai kopi, restoran, kedai mamak, gerai-gerai di pasar malam dan medan selera di kompleks beli-belah. Rata-rata tempat terdapat makanan tempatan yang dijual dan mempamerkan keenakan makanan tradisi setiap kaum yang amat menyelerakan seperti nasi lemak, char kue tiau, roti canai, nasi ayam, mihun goreng dan kuih-muih.

      Pada hemat saya, kedatangan pelancong asing ke negara kita dapat juga dikaitkan dengan faktor seterusnya, iaitu pusat beli-belah di bandar-bandar besar. Malaysia terkenal di mata dunia sebagai syurga membeli-belah. Nilai mata wang negara kita yang rendah menggalakkan pelancong datang membeli-belah. Pusat beli-belah yang tersohor adalah seperti Mega Mall dan Mid Valley di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka dan The Summit. Barang-barang yang dijual di sini setanding dengan luar negara malah mempunyai tawaran harga yang murah. Promosi dan diskaun harga barangan serta jualan mega sering diadakan oleh pusat beli-belah untuk menarik perhatian pelancong agar datang membeli barang yang berkualiti lagi murah seperti promosi jualan hujung tahun. Pusat beli-belah yang sering penuh dengan pembeli juga menarik minat pelancong asing datang ke negara kita. Selain itu, barang-barang berjenama seperti baju, beg tangan, jam tangan, dan kasut juga dijual pada harga yang berpatutan. Kraftangan yang selalu dibeli sebagai cenderamata seperti barang-barang yang dibuat daripada rotan, magnet peti sejuk dan rantai kunci sering meminati para pelancong untuk membelinya di kedai-kedai kecil yang menjual cenderamata. Kraftangan ini juga mempamerkan sedikit budaya masyarakat di negara kita untuk dibawa pulang oleh pelancong asing ke negara asal mereka. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, sememangnya diakui bahawa Malaysia istimewa dengan pusat beli-belah di bandar-bandar besar.

      Suatu hakikat yang wajar diterima ialah faktor infrastruktur yang serba moden di bandar-bandar Malaysia. Terdapat pelbagai pengangkutan seperti kereta, teksi, bas, LRT, monorel dan MRT untuk memudahkan pelancong asing menuju ke destinasi berbeza. Lebuh raya yang lebar dan berturap juga menjadikan perjalanan lancar. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak tempat penginapan yang boleh dipilih seperti hotel bertaraf tinggi atau sederhana, calet, motel, rumah dan rumah pangsa sewaan. Tempat penginapan ini dipilih mengikut bajet pelancong-pelancong yang datang ke negara kita. Selain daripada itu, pusat beli-belah, pawagam, gim, padang bola sepak, dan kolam renang mempu menyempurnakan penginapan pelancong-pelancong dengan adanya infrastruktur sebegini yang menjadi hiburan mereka. Hal ini dapat menjamin keselesaan pelancong-pelancong asing di tempat-tempat ini di samping melancong di negara kita. Malaysia yang merupakan tempat bersejarah juga menawarkan bangunan-bangunan nostalgia untuk penghargaan masyarakat. Muzium Bank di Kota Bharu, Kelantan; Kota A' Famosa, Melaka; Istana Negara, Kuala Lumpur dan Lembah Bujang di Kedah mampu dijadikan destinasi pelancong asing untuk melihat infrastruktur bangunan-bangunan ini dan mempelajari sejarah di tempat berkenaan. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa infrastruktur mampu menjadi alasan pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.

      Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai banyak keunikan yang menjadi penyebab pelancong-pelancong asing datang mengunjungi negara kita sepanjang tahun. Kedatangan pelancong ke negara kita dapat menjana pendapatan ekonomi negara di samping membuka mata pelancong asing. Sememangnya pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju ke arah negara maju dalam abad ini. Oleh sebab itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan industri pelancongan negara. Diharapkan peningkatan kunjungan pelancong asing ke negara kita dapat memakmurkan dan menaikkan nama Malaysia di mata dunia kendatipun negara kita merupakan satu kawasan kecil di atas peta. Rakyat wajarlah mencintai negara ini dengan memelihara kecantikan dan keunikan khazanah negara demi merealisasikan wawasan 2020 yang berada tidak jauh dari sekarang.

Word Count: 1286                                    Markah: 78/100                                             Date: 16/1/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)    
    

Comments

  1. Good.this is very interesting 😃👍👍🏻👣👏👏👏

    ReplyDelete
  2. nak pandai mcm admin gak

    ReplyDelete
  3. Thank you!!! I have to submit my homework tomorrow and i wanted to make my karangan above-average hahaha. Will support your work!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya