Karangan Bahagian B Cara-cara mewujudkan Budaya Membaca dalam kalangan remaja kita

  Dalam menempuhi kehidupan era milenium yang penuh kontroversi ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, budaya membaca kian dipandang enteng dalam komuniti madani. Fenomena ini sering menjadi mauduk bicara komuniti dunia yang telah melalui anjakan paradigma dalam kehidupan. Masyarakat Malaysia yang mentalitinya masih berada di kelas ketiga kurang menghargai buku-buku yang memberikan ilmu. Jika kita memfokuskan lensa perbincangan ke negara lain, negara Jepun terutamanya akan menjadi entiti mithali kita. Masyarakat Jepun amat menghargai ilmu dan mengamalkan budaya membaca di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Mereka dapat dilihat membaca buku semasa menunggu LRT, di kedai kopi dan di rata-rata tempat. Menurut kajian Universiti Malaya, rata-rata rakyat negara kita kurang berminat membaca buku kerana rakyat hanya membaca sebuah buku setiap tahun. Menurut tokoh akademik yang tersohor, Professor Diraja Engku Aziz, beliau sering memperkatakan bahawa wawasan 2020 tidak akan tercapai sekiranya masyarakat tidak bergerak maju dengan pelengkapan ilmu pada diri rakyat. Generasi kini telah diamanahkan sebagai pemimpin negara masa hadapan untuk melonjakkan nama negara ke mata dunia sebegai negara maju supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Oleh hal yang demikian, marilah kita mencari perencah yang terbaik bagi mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja kita.

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu melalui peranan diri sendiri. Setiap rakyat mampu mengubah keadaan dengan perubahan sikap dan anjakan paradigma. Amalan hedonisme perlulah dikikis dalam generasi muda dan disemai dengan peradaban terpuji. Amalan membaca khususnya mampu memberikan nafas baharu dalam jiwa masyarakat dan melihat keadaan daripada perspektif yang berbeza. Budaya membaca merupakan suatu hobi yang baik dipraktikkan dan akan menjadi suatu pelaburan yang bijak. Hal ini demikian kerana wang yang dibelanjakan untuk membeli buku tidak disia-siakan dengan penambahan ilmu dalam individu tersebut. Perkataan-perkataan yang digunakan melalui penulisan buku tersebut dapat menambahkan perbendaharaan kata. Dengan ini, penulisan karangan dapat ditingkatkan dengan penguasaan kata-kata yang luas. Setiap individu berperanan untuk berdisiplin dan memupuk budaya membaca dalam diri mereka. Pembacaan buku bukan hanyalah untuk meluluskan peperiksaan awam tetapi dapat membentuk keperibadian mulia pada diri seseorang. Individu tersebut perlu mengambil pendekatan dengan meminjam buku-buku daripada kawan dan rajin melawat perpustakaan. Mereka juga boleh membeli buku dari pameran buku seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade Centre, PWTC) yang merupakan pameran buku antarabangsa. Pameran buku Big Bad Wolf pula mempamerkan buku yang harganya amat murah untuk pembelian pelbagai peringkat masyarakat. Masyarakat bolehlah mengambil langkah pertama dengan membaca satu buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa, alah bisa tegal biasa. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa peranan diri amatlah berkesan sekiranya perubahan sikap dapat dilakukan.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih pragmatik perlulah diambil, iaitu melalui peranan ahli keluarga. Ibu bapa terutamanya merupakan unit asas dalam pembentukan sesebuah keluarga. Anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakannya. Ibu bapa merupakan pendidik pertama kanak-kanak dan berperanan penting sebagai suri teladan mereka. Ibu bapa haruslah rajin membaca bahan bacaan yang pelbagai seperti majalah, surat khabar dan novel agar dapat mempengaruhi anak-anak. Mereka juga boleh membuat langganan majalah setiap bulan untuk pembacaan anak-anak. Selain itu, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak tentang manfaat yang diperoleh melalui membaca. Mereka boleh meluangkan masa dengan membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sekiranya terdapat penjualan murah. Pembelian buku untuk pembacaan merupakan suatu pelaburan yang bijak kerana dapat menambahkan ilmu tentang perkembangan berita semasa. Bak kata cendekiawan, melentur buluh biarlah dari rebungnya, budaya membaca hendaklah dipupuk sejak kecil lagi untuk membiasakan anak-anak. Ibu bapa boleh menetapkan suatu bilik di rumah sebagai perpustakaan mini dengan meletakkan semua bahan bacaan di sana. Dalam pada itu, remaja akan dapat mengisi masa lapang dengan membaca buku sebagai hobi yang berfaedah dan mengelakkan diri dengan gejala maksiat. Peranan ibu bapa dapat dibuktikan dengan cogan kata kepimpinan melalui teladan. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa peranan ahli keluarga, terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang vital dalam mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa kaedah lain yang agak jelas ialah melalui peranan sekolah. Pihak sekolah sentiasa mengadakan program NILAM yang bermaksud Nadi Ilmu Amalan Membaca. Program NILAM dapat menyemai sikap membaca dengan menulis sinopsis setiap buku yang dibaca oleh murid-murid. Selain itu, anugerah NILAM dapat diberikan kepada murid-murid yang membaca buku lebih daripada 200 buku sehingga tamat pembelajaran tingkatan 5. Minggu membaca juga merupakan satu insentif yang baik dengan memperkenalkan bahan bacaan yang pelbagai. Pertandingan tentang pengetahuan umum dapat dilaksanakan untuk menguji tahap pengetahuan murid-murid. Seterusnya, pameran buku di sekolah dapat dilakukan dengan potongan harga untuk murid-murid supaya memupuk budaya membaca. Guru-guru sekolah juga mengangkat amanah dalam menarik minat remaja untuk membaca. Guru-guru boleh menggalakkan murid membeli surat khabar sebagai bahan pembelajaran seperti aktiviti mengumpul artikel-artikel surat khabar. Persatuan atau kelab membaca boleh ditubuhkan dan menggiatkan aktiviti yang menjurus kepada amalan membaca. Pusat sumber sekolah hendaklah mengenaskini baha-bahan bacaan terkini agar tidak diluputi masa dan sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas. Oleh sebab sekolah merupakan rumah kedua para pelajar, maka budaya membaca boleh diwujudkan dalam kalangan para pelajar. Cogan kata membaca itu jambatan ilmu hendaklah sentiasa diuar-uarkan. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang signifikan agar pelajar menjadi berilmu.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan usaha yang seterusnya, iaitu melalui peranan media massa. Media massa seperti radio, surat khabar, dan televisyen menjadi satu mediaum yang memberikan maklumat terkini kepada masyarakat. Iklan-iklan tentang budaya membaca dan drama tentang kebaikan membaca hendaklah sentiasa ditayangkan pada kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, kempen membaca perlulah dijalankan sepenjang tahun dan bukannya hangat-hangat tahi ayam dan melepaskan batuk di tangga sahaja. Baucer tentang diskaun pembelian buku bolehlah dijalankan pada surat khabar untuk menarik perhatian masyarakat. Surat khabar seperti Berita Harian dan New Straits Times juga mengambil pendekatan dengan membuat tajaan surat khabar kepada sekolah-sekolah. Dokumentasi tentang bahan-bahan bacaan baharu di pasaran dan temu duga penulis-penulis buku dapat dilaksanakan oleh media massa. Program menderma atau menjual buku-buku lama kepada rumah anak yatim atau perpustakaan perlulah digiatkan agar orang lain dapat membaca buku-buku tersebut. Masyarakat pula perlulah mengutamakan pendidikan dan menyokong setiap kempen yang diuar-uarkan melalui media massa. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa peranan media massa yang merupakan nadi masyarakat dan memberikan pengaruh yang terbesar kepada golongan remaja.

      Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa melalui peranan pihak kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya perlulah memperuntukkan bajet kepada perpustakaan awam yang terdapat di Malaysia untuk kegunaan pelanggan. Buku-buku yang diimport hendaklah dikecualikan cukai import agar tidak membebankan golongan yang kurang berkemampuan. Kementerian Pendidikan juga boleh memberikan diskaun buku kepada murid yang mendapat keputusan cemerlang semasa di institusi pengajian tinggi untuk menyokong budaya membaca. Mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/ IPTS) perlulah diwajibkan membaca novel sebagai satu kriteria pemarkahan peperiksaan. Sementelahan itu, calon guru hendaklah diwajibkan untuk membaca sebuah novel dan membentangkan jalan cerita sebelum layak menjadi seorang guru sebenar. Pihak kerajaan wajar memberi perhatian kepada masyarakat luar bandar yang kemudahannya kurang sempurna jika dibandingkan dengan bandar. Pihak kerajaan seyogianya mengambil inisiatif melaksanakan "perpustakaan bergerak" yang menggunakan trak untuk menghantar buku-buku kepada penduduk di pedalaman. Maka, penduduk di sana akan dapat menikmati suasana perpustakaan yang senyap dan kondusif di samping menuntut ilmu pengetahuan. Tambahan pula, pihak kerajaan sepatutnya menyeru pusat membeli-belah agar menetapkan ruangan membaca di suatu sudut untuk mengisi masa lapang selepas membeli-belah. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa pihak kerajaan perlulah berfikiran kreatif dalam menyeru warga Malaysia agar mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja.

   Sebagai pengitlakan, semua pihak perlulah menggembleng kudrat melipatgandakan usaha dan memperlihatkan komitmen yang berterusan dalam mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja kita. Remaja Penggerak Wawasan, Generasi Muda Peneraju Wawasan dan Generasi Muda Wawasan Bangsa, itulah cogan kata yang sering kita lihat yang membuktikan betapa pentingnya remaja dalam menjadi pemimpin negara masa hadapan. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang masih tidak dapat membezakan yang mana intan, yang mana batu kelikir. Mereka hendaklah dididik dengan ilmu yang berkualiti dan cogan kata "Membaca Sepanjang Hayat" amat bertepatan dengan pendidikan yang bakal diperoleh. Pendidikan itu merupakan metadologi yang berkesan dalam mengubah taraf kehidupan masyarakat dan negara. Kita tidak seharusnya bersikap tutup sebelah mata, sebaliknya membuka mata, membuka minda, membuka hati dan kenali diri. Masyarakat perlulah bertindak secara glokal dan berfikiran secara global. Marilah kita bersama-sama melakukan anjakan paradigma dan belajarlah budaya membaca dengan membawa sebuah buku ke mana-mana sahaja dan membaca ketika masa lapang. Kita perlulah mencontohi masyarakat Jepun yang begitu menghargai ilmu. Dengan ini, biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang dengan mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja negara kita.

Word count: 1433                  Markah: 88/100            Date: 15/1/16 

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Kepentingan-kepentingan Mengekalkan Budaya Warisan Kaum (SPM 2015)