Karangan Bahagian B Cara-cara Mengekalkan Bangunan Bersejarah
Pelupusan
bangunan bersejarah atas alasan pembangunan telah menghakis warisan sejarah
negara kita. Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengekalkan bangunan
bersejarah.
Pada era pascaperindustrian dan
pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan menduga kita ini, Malaysia, ibu
pertiwi tanah tumpahnya dara kita ini sesungguhnya wujud daripada ketamadunan
silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal seperti Kerajaan
Langkasuka dan Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di
pantai Timur Semenanjung Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah penubuhan kerajaan ini telah
banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan
mahupun Eropah. Jawatankuasa Warisan Dunia (UNESCO) telah mentadbir Program
Warisan Dunia Antarabangsa UNESCO dan mencalonkan Tapak Warisan Dunia yang
bertujuan mengkatalog, menyenarai, menamai dan mengabdikan tapak-tapak ulung
warisan budaya atau warisan semula jadi penting demi warisan sejagat. Beberapa
tempat di Malaysia juga diwartakan sebagai tempat-tempat warisan oleh Tapak
Warisan dunia UNESCO. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negara, Datuk Seri
Mohamed Nazri Abdul Aziz juga menyuarakan keprihatinannya usaha negara dalam
mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tanah air kerana mempunyai nilai
estetika yang tinggi yang menjadi daya penarik pelancong dari seantero dunia.
Negara kita yang sedang membangun supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi denga negara-negara maju yang lain di dunia harus memelihara dan
mengekalkan bengunan bersejarah yang merupakan bangunan peninggalan daripada
leluhur kita. Persoalannya, adakah kita mampu mempertahankan keunikan bangunan
bersejarah yang kita kecapi selama ini? Sesungguhnya, benarlah bicara bijak
pandai bahawa setiap penyakit ada
penawarnya. Oleh hal yang demikian, marilah kita lapangkan jiwa dan
minda untuk memikirkan langkah pragmatik yang boleh diimplementasikan untk
mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.
Umum mengetahui bahawa bangunan-bangunan
bersejarah seperti Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan,
Kellie’s Castle di Perak dan Candi Lembah Bujang di Kedah menjadi daya tarikan
pelancong perdana dari dalam dan luar negara. Bangunan-bangunan ini hendaklah
dicantikkan dan diselenggarakan dengan baik untuk mengekalkan bangunan-bangunan
lama. Sebagai contoh, Kota A’ Famosa telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja
berjaya menawa Melaka pada tahun 1511. Tinggalan pintu Kota A’ Famosa merupakan
seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Melaka yang dikenali
sebagai Negeri Bersejarah menyebabkan kunjungan pelancong tidak pernah surut.
Oleh hal yang demikian, UNESCO juga telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan
dunia yang perlu dipelihara. Selain itu, sesetengah bangunan bersejarah ini
juga telah dijadikan sebagai muzium seperti Istana Negara di Kuala Lumpur.
Kini, pelancong-pelancong mampu menatapi keagungan dan kedaulatan tempat
bersemayamnya Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Istana Negara yang dikenali juga
sebagai Muzium DiRaja kini mempamerkan alat-alat kebesaran diraja dan adat
istiadat raja-raja Melayu. Sesungguhnya, bangunan-bangunan bersejarah ini
menjadi lambang identiti, kedaulatan dan sejarah negara untuk pengetahuan dan
ketamadunan bangsa seyogianya dilestarikan justeri dimartabatkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa
kedatangan pelancongan yang berterusan untuk penatapan bangunan-bangunan
bersejarah negara kita ini dapat mewartakannya sebagai destinasi pelancongan dan
seterusnya dikekalkan kerana merupakan sumber pendapatan ekonomi negara.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara
yang lebih proaktif perlu disegerakan, iaitu dengan menjadikan
bangunan-bangunan bersejarah sebagai pusat membeli-belah untuk mengekalkannya.
Banunan yang masih selamat digunakan boleh dijadikan pusat perniagaan.
Misalnya, Pasar Seni di Kuala Lumpur merupakan bangunan yang dibina oleh orang
British semasa pentadbirannya dan merupakan sebuah pasar basah. Pada masa kini,
Pasar Seni dengan binaan hiasan seni merupakan pusat budaya untuk pameran dan
pembangunan kebudayaan, kesenian, dan bidang kraftangan di Malaysia. Pasar Seni
mengumpulkan kedai-kedai yang menumpukan kepada hasil kerja tangan Malaysia
yang menjual pakaian dan barangan tradisional. Artis-artis potret dan
pertukangan kecil-kecilan menghasilkan karya mereka di sudut-sudut sambil
diperhatikan dengan penuh minat oleh orang ramai. Dalam pada itu,
bangunan-bangunan bersejarah ini dapat dikekalkan dan menyediakan tempat untuk peniaga.
Pihak kerajaan juga tidak perlulah memperuntukkan wang untuk pembinaan
kedai-kedai atau bangunan untuk aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh para
peniaga. Dengan ini, keutuhan bangunan dapat diiktiraf dan menjadi daya tarikan
kepada pelanggan. Para peniaga juga dapat berniaga dalam suasana yang berbeza.
Selain itu, bangunan bersejarah juga boleh ditukar menjadi bangunan
pentadbiran. Contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad pernah dijadikan mahkamah
yang bertempat di Kuala Lumpur. Bangunan ini telah diwartakan sebagai Warisan
Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada tahun 2007 oleh Jabatan Warisan
Negara. Bangunan ini telah mengurangkan kos pembinaan bangunan baharu yang
menjadi kebanggan orang ramai yang pernah berurusan. Dengan bertunjangkan
kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa dengan mewartakan
bangunan-bangunan bersejarah ini sebagai pusat perniagaan dan bangunan
pentadbiran, maka bangunan-bangunan bersejarah ini dapat dilestarikan nilai
estetikanya dan memanfaatkan fungsi bangunan tersebut.
Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kaedah
lain yang agak jelas ialah bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai rumah
kebajikan pusat jagaan anak-anak yatim, orang tua atau orang kurang berupaya.
Badan-badan kebajikan tidak perlulah bersusah payah menyewa atau membina
bangunan baharu semata-mata untuk rumah kebajikan. Bangunan yang lama bolehlah
diubah suai mengikut keperluan. Dengan ini golongan yang kurang bernasib baik
akan mendapat pembelaan. Seterusnya, pihak kerajaan perlukah memainkan peranan
dengan memperuntukkan dana untuk memulihkan bangunan bersejarah yang uzur. Dana
tersebut boleh digunakan untuk mencantikkan dan mengubah suai bangunan agar
selamat digunakan. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan juga perlu
menjaga struktur binaan bangunan-bangunan bersejarah supaya keunikan seni
binaannya dapat dikekalkan. Pelbagai program, kempen dan ceramah juga perlu
kerap diadakan dan bukannya secara hangat-hangat
tahi ayam sahaja untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan
bangunan bersejarah. Pihak kerajaan juga menggalakkan penyelidikan tentang cara
terbaik untuk menjaga dan memuihara khazanah bersejarah negara dengan peruntukan
khas. Tamsilnya, negeri Kelantan telah menerima anugerah “The Best Tourism City”
daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1990-an.
Bangunan Cheong Fatt Tze di Pulau Pinang pula dianugerahi Pingat UNESCO Heritage
2000 kerana usaha pemeliharaannya. Dengan berbuat demikian, sudah terang lagi
bersuluh bahawa dengan menjadikan bangunan bersejarah sebagai pusat rumah
kebajikan dan dengan peranan kerajaan, maka merupakan prakarsa yang efektif
dalam memelihara bangunan-bangunan bersejarah.
Suatu hakikat yang wajar diterima ialah pihak
sekolah memainkan peranan dalam menyumbang kepada pengekalan bangunan-bangunan
bersejarah. Pihak sekolah boleh mengambil pendekatan dengan melukis bangunan-bangunan
bersejarah di dinding sekolah untuk memupuk perasaan sayang dan bangga akan
bangunan bersejarah dalam kalangan murid-murid. Pertandingan mural contohnya
boleh dijalankan dengan melukis bangunan-bangunan bersejarah untuk memupuk
semangat patriotisme dalam diri murid dan berusaha mempertahankan warisan yang
berharga itu. Selain itu, pertandingan menulis karangan mengenai usaha-usaha
menjaga bangunan-bangunan bersejarah kepada murid-murid sempena menyambut bulan
kemerdekaan negara juga wajar dilakukan pada peringkat sekolah. Di samping itu,
kelab dan persatuan di sekolah perlu merancang program lawatan ke tempat-tempat
bersejarah yang terdapat di tanah air kita untuk memberi peluang kepada
murid-murid mengenali bangunan-bangunan bersejarah dengan lebih dekat.
Penerapan nilai-nilai murni melalui pendidikan seperti subjek Pendidikan Moral,
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Sejarah dapat menyediakan
pelajar-pelajar dalam menghayati, menghargai dan memartabatkan
bangunan-bangunan bersejarah dan mengikis sifat kebendaan. Bangunan-bangunan
bersejarah merupakan khazanah negara dan perlu dikekalkan selaras dengan
pembangunan pesat negara kita. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewajibkan
pelajar-pelajar untuk lulus subjek sejarah dalam peperiksaan SPM. Lantaran
berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa Kementerian Pendidikan
Malaysia amat prihatin dalam usaha mengekalkan bangunan bersejarah negara dan
menerapkan nilai-nilai murni sejak bangku sekolah lagi kepada murid-murid
sekolah untuk menghargai bangunan bersejarah ini.
Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga
dikaitkan dengan uslub seterusnya iaitu melalui peranan ibu bapa dan media
massa. Ibu bapa bertindak sebagai pendidik pertama kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah membawa anak-anak semasa
musim cuti sekolah ke tempat-tempat yang menarik termasuk bangunan-bangunan
bersejarah agar anak-anak dapat melihat keunikan binaannya. Hal ini seterusnya
dapat memupuk semangat patriotisme dalam sanubari mereka dan mengenali
tokoh-tokoh dan kesenian warisan negara. Ibu bapa juga perlu menceritakn
sejarah mengenai bangunan-bangunan bersejarah kepada anak-anak atau membawa
mereka melawat muzium supaya anak-anak dapat menghargainya. Selain itu, media
massa sama ada media cetak atau media elektronik perlu membuat dokumentari
mengenai bangunan-bangunan bersejarah sebagai tatapan generasi akan datang.
Sejarah boleh dikekalkan dengan mengadakan hari “Sejarah Sedunia” bagi setiap tahun.
Hari Sejarah Sedunia diobjektifkan sebagai hari mengingati sejarah. Pendekatan
untuk melakonkan semula filem mengenai sejarah dengan bangunan-bangunan lama
boleh membawa masyarakat untuk menyingkap nostalgia negara kita. Teladan dan
iktibar dapat diperoleh dengan lakonan filem seperti P. Ramlee dengan rumah
lamanya sebagai latar belakang. Masyarakat dapat mengimbau kembali sejarah
negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman
penjajahan yang membawa air mata sengsara dan derita, membolehkan masyarakat
menginsafi perjuangan leluhur kita yang bermati-matian sehingga mengalirkan
darah, bak kata pepatah “biar putih
tulang, jangan putih mata”. Seperti yang kita sedia maklum, ternyatalah
bahawa ibu bapa dan media massa memainkan peranan yang amat signifikan dalam
usaha mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah negara kita.
Akhirulkalam, memang terdapat banyak modus
operandi dalam mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah dan membawa pelbagai
maslahat dan kepentingan kepada anak watan negara kita. Bangunan bersejarah
penting dalam pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan
warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan
aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi muda akan lebih menghargai dan
peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat
yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah.
Sesungguhnya, semua pihak perlulah menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing dengan membuat pengubahsuaian
tertentu dengan penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu
selamat digunakan. Memetik kata-kata hikmat ahli falsafah, George Santayana,
beliau mengatakan bahawa mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.
Dalam usaha negara kita ingin setanding denga negara-negara maju yang lain,
bangunan-bangunan bersejarah tidak wajar dihapuskan sekadar-kadar untuk mengaut
keuntungan yang banyak oleh masyarakat yang bersifat materialistik. Dengan ini,
amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikapini seolah-olah
memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni ini. Biarlah matahari
terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus
gemilang dengan masyarakat Malaysia yang menghargai dan berusaha mengekalkan
bangunan-bangunan bersejarah tanah air kita.
Word count: 1560 Markah: 86/100 Date: 11/3/16
Disclaimer: This
essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or
sentences from other sources but I hope that these essays will help you with
your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own
reference but please do not upload this essay anywhere else without my
permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)
good
ReplyDelete