Karangan Bahagian B Cara-cara Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Pelupusan bangunan bersejarah atas alasan pembangunan telah menghakis warisan sejarah negara kita. Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengekalkan bangunan bersejarah.

  Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan menduga kita ini, Malaysia, ibu pertiwi tanah tumpahnya dara kita ini sesungguhnya wujud daripada ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal seperti Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di pantai Timur Semenanjung Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah penubuhan kerajaan ini telah banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan mahupun Eropah. Jawatankuasa Warisan Dunia (UNESCO) telah mentadbir Program Warisan Dunia Antarabangsa UNESCO dan mencalonkan Tapak Warisan Dunia yang bertujuan mengkatalog, menyenarai, menamai dan mengabdikan tapak-tapak ulung warisan budaya atau warisan semula jadi penting demi warisan sejagat. Beberapa tempat di Malaysia juga diwartakan sebagai tempat-tempat warisan oleh Tapak Warisan dunia UNESCO. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negara, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga menyuarakan keprihatinannya usaha negara dalam mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tanah air kerana mempunyai nilai estetika yang tinggi yang menjadi daya penarik pelancong dari seantero dunia. Negara kita yang sedang membangun supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi denga negara-negara maju yang lain di dunia harus memelihara dan mengekalkan bengunan bersejarah yang merupakan bangunan peninggalan daripada leluhur kita. Persoalannya, adakah kita mampu mempertahankan keunikan bangunan bersejarah yang kita kecapi selama ini? Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Oleh hal yang demikian, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah pragmatik yang boleh diimplementasikan untk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita.

  Umum mengetahui bahawa bangunan-bangunan bersejarah seperti Kota A’ Famosa di Melaka, Istana Menanti di Negeri Sembilan, Kellie’s Castle di Perak dan Candi Lembah Bujang di Kedah menjadi daya tarikan pelancong perdana dari dalam dan luar negara. Bangunan-bangunan ini hendaklah dicantikkan dan diselenggarakan dengan baik untuk mengekalkan bangunan-bangunan lama. Sebagai contoh, Kota A’ Famosa telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawa Melaka pada tahun 1511. Tinggalan pintu Kota A’ Famosa merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Melaka yang dikenali sebagai Negeri Bersejarah menyebabkan kunjungan pelancong tidak pernah surut. Oleh hal yang demikian, UNESCO juga telah mengisytiharkannya sebagai harta warisan dunia yang perlu dipelihara. Selain itu, sesetengah bangunan bersejarah ini juga telah dijadikan sebagai muzium seperti Istana Negara di Kuala Lumpur. Kini, pelancong-pelancong mampu menatapi keagungan dan kedaulatan tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Istana Negara yang dikenali juga sebagai Muzium DiRaja kini mempamerkan alat-alat kebesaran diraja dan adat istiadat raja-raja Melayu. Sesungguhnya, bangunan-bangunan bersejarah ini menjadi lambang identiti, kedaulatan dan sejarah negara untuk pengetahuan dan ketamadunan bangsa seyogianya dilestarikan justeri dimartabatkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa kedatangan pelancongan yang berterusan untuk penatapan bangunan-bangunan bersejarah negara kita ini dapat mewartakannya sebagai destinasi pelancongan dan seterusnya dikekalkan kerana merupakan sumber pendapatan ekonomi negara.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih proaktif perlu disegerakan, iaitu dengan menjadikan bangunan-bangunan bersejarah sebagai pusat membeli-belah untuk mengekalkannya. Banunan yang masih selamat digunakan boleh dijadikan pusat perniagaan. Misalnya, Pasar Seni di Kuala Lumpur merupakan bangunan yang dibina oleh orang British semasa pentadbirannya dan merupakan sebuah pasar basah. Pada masa kini, Pasar Seni dengan binaan hiasan seni merupakan pusat budaya untuk pameran dan pembangunan kebudayaan, kesenian, dan bidang kraftangan di Malaysia. Pasar Seni mengumpulkan kedai-kedai yang menumpukan kepada hasil kerja tangan Malaysia yang menjual pakaian dan barangan tradisional. Artis-artis potret dan pertukangan kecil-kecilan menghasilkan karya mereka di sudut-sudut sambil diperhatikan dengan penuh minat oleh orang ramai. Dalam pada itu, bangunan-bangunan bersejarah ini dapat dikekalkan dan menyediakan tempat untuk peniaga. Pihak kerajaan juga tidak perlulah memperuntukkan wang untuk pembinaan kedai-kedai atau bangunan untuk aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh para peniaga. Dengan ini, keutuhan bangunan dapat diiktiraf dan menjadi daya tarikan kepada pelanggan. Para peniaga juga dapat berniaga dalam suasana yang berbeza. Selain itu, bangunan bersejarah juga boleh ditukar menjadi bangunan pentadbiran. Contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad pernah dijadikan mahkamah yang bertempat di Kuala Lumpur. Bangunan ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada tahun 2007 oleh Jabatan Warisan Negara. Bangunan ini telah mengurangkan kos pembinaan bangunan baharu yang menjadi kebanggan orang ramai yang pernah berurusan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa dengan mewartakan bangunan-bangunan bersejarah ini sebagai pusat perniagaan dan bangunan pentadbiran, maka bangunan-bangunan bersejarah ini dapat dilestarikan nilai estetikanya dan memanfaatkan fungsi bangunan tersebut.

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kaedah lain yang agak jelas ialah bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai rumah kebajikan pusat jagaan anak-anak yatim, orang tua atau orang kurang berupaya. Badan-badan kebajikan tidak perlulah bersusah payah menyewa atau membina bangunan baharu semata-mata untuk rumah kebajikan. Bangunan yang lama bolehlah diubah suai mengikut keperluan. Dengan ini golongan yang kurang bernasib baik akan mendapat pembelaan. Seterusnya, pihak kerajaan perlukah memainkan peranan dengan memperuntukkan dana untuk memulihkan bangunan bersejarah yang uzur. Dana tersebut boleh digunakan untuk mencantikkan dan mengubah suai bangunan agar selamat digunakan. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan juga perlu menjaga struktur binaan bangunan-bangunan bersejarah supaya keunikan seni binaannya dapat dikekalkan. Pelbagai program, kempen dan ceramah juga perlu kerap diadakan dan bukannya secara hangat-hangat tahi ayam sahaja untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bangunan bersejarah. Pihak kerajaan juga menggalakkan penyelidikan tentang cara terbaik untuk menjaga dan memuihara khazanah bersejarah negara dengan peruntukan khas. Tamsilnya, negeri Kelantan telah menerima anugerah “The Best Tourism City” daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1990-an. Bangunan Cheong Fatt Tze di Pulau Pinang pula dianugerahi Pingat UNESCO Heritage 2000 kerana usaha pemeliharaannya. Dengan berbuat demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa dengan menjadikan bangunan bersejarah sebagai pusat rumah kebajikan dan dengan peranan kerajaan, maka merupakan prakarsa yang efektif dalam memelihara bangunan-bangunan bersejarah.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah pihak sekolah memainkan peranan dalam menyumbang kepada pengekalan bangunan-bangunan bersejarah. Pihak sekolah boleh mengambil pendekatan dengan melukis bangunan-bangunan bersejarah di dinding sekolah untuk memupuk perasaan sayang dan bangga akan bangunan bersejarah dalam kalangan murid-murid. Pertandingan mural contohnya boleh dijalankan dengan melukis bangunan-bangunan bersejarah untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri murid dan berusaha mempertahankan warisan yang berharga itu. Selain itu, pertandingan menulis karangan mengenai usaha-usaha menjaga bangunan-bangunan bersejarah kepada murid-murid sempena menyambut bulan kemerdekaan negara juga wajar dilakukan pada peringkat sekolah. Di samping itu, kelab dan persatuan di sekolah perlu merancang program lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang terdapat di tanah air kita untuk memberi peluang kepada murid-murid mengenali bangunan-bangunan bersejarah dengan lebih dekat. Penerapan nilai-nilai murni melalui pendidikan seperti subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Sejarah dapat menyediakan pelajar-pelajar dalam menghayati, menghargai dan memartabatkan bangunan-bangunan bersejarah dan mengikis sifat kebendaan. Bangunan-bangunan bersejarah merupakan khazanah negara dan perlu dikekalkan selaras dengan pembangunan pesat negara kita. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewajibkan pelajar-pelajar untuk lulus subjek sejarah dalam peperiksaan SPM. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia amat prihatin dalam usaha mengekalkan bangunan bersejarah negara dan menerapkan nilai-nilai murni sejak bangku sekolah lagi kepada murid-murid sekolah untuk menghargai bangunan bersejarah ini.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan uslub seterusnya iaitu melalui peranan ibu bapa dan media massa. Ibu bapa bertindak sebagai pendidik pertama kepada anak-anak.  Ibu bapa perlulah membawa anak-anak semasa musim cuti sekolah ke tempat-tempat yang menarik termasuk bangunan-bangunan bersejarah agar anak-anak dapat melihat keunikan binaannya. Hal ini seterusnya dapat memupuk semangat patriotisme dalam sanubari mereka dan mengenali tokoh-tokoh dan kesenian warisan negara. Ibu bapa juga perlu menceritakn sejarah mengenai bangunan-bangunan bersejarah kepada anak-anak atau membawa mereka melawat muzium supaya anak-anak dapat menghargainya. Selain itu, media massa sama ada media cetak atau media elektronik perlu membuat dokumentari mengenai bangunan-bangunan bersejarah sebagai tatapan generasi akan datang. Sejarah boleh dikekalkan dengan mengadakan hari “Sejarah Sedunia” bagi setiap tahun. Hari Sejarah Sedunia diobjektifkan sebagai hari mengingati sejarah. Pendekatan untuk melakonkan semula filem mengenai sejarah dengan bangunan-bangunan lama boleh membawa masyarakat untuk menyingkap nostalgia negara kita. Teladan dan iktibar dapat diperoleh dengan lakonan filem seperti P. Ramlee dengan rumah lamanya sebagai latar belakang. Masyarakat dapat mengimbau kembali sejarah negara. Dengan masih berdiri megahnya bangunan yang dibina semasa zaman penjajahan yang membawa air mata sengsara dan derita, membolehkan masyarakat menginsafi perjuangan leluhur kita yang bermati-matian sehingga mengalirkan darah, bak kata pepatah “biar putih tulang, jangan putih mata”. Seperti yang kita sedia maklum, ternyatalah bahawa ibu bapa dan media massa memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah negara kita.

  Akhirulkalam, memang terdapat banyak modus operandi dalam mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah dan membawa pelbagai maslahat dan kepentingan kepada anak watan negara kita. Bangunan bersejarah penting dalam pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi muda akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, semua pihak perlulah menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing dengan membuat pengubahsuaian tertentu dengan penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu selamat digunakan. Memetik kata-kata hikmat ahli falsafah, George Santayana, beliau mengatakan bahawa mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya. Dalam usaha negara kita ingin setanding denga negara-negara maju yang lain, bangunan-bangunan bersejarah tidak wajar dihapuskan sekadar-kadar untuk mengaut keuntungan yang banyak oleh masyarakat yang bersifat materialistik. Dengan ini, amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikapini seolah-olah memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni ini. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang dengan masyarakat Malaysia yang menghargai dan berusaha mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tanah air kita.

Word count: 1560                  Markah: 86/100            Date: 11/3/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Kepentingan-kepentingan Mengekalkan Budaya Warisan Kaum (SPM 2015)