Karangan Bahagian B Langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk Mencapai Kecemerlangan dalam peperiksaan

Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan. Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

  Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, terdapat calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Namun begitu, beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh saudari Nur Amalina yang meraih 17A1 dalam SPM. Pada SPM 2007 pula, saudara Azali Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh 20A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Kecemerlangan dalam bidang akademik yang diraih oleh ketiga-tiga pelajar ini jelas membuktikan bahawa setiap wawasan pasti dapat dijadikan realiti. Setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Akan tetapi, kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan dan semangat kegigihan yang kental dalam sanibari diri pelajar. Murid-murid tidak patut menganggap peperiksaan sebagai sesuatu yang remeh kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa depan seseorang pelajar. Sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, setiap pelajar wajar mempersiapkan diri dengan ilmu yang diperoleh kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Pelajar-pelajar haruslah mengulang kaji pelajaran secara konsisten dan menggunakan teknik pembelajaran mengikut kesesuaian masing-masing di samping mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Yang alpa dan yang masih lena dibuai mimpi pasti akan ketinggalan. Justeru, setiap penyakit ada penawarnya, sebelum mata menjadi rabun dan sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah kita memfokuskan lensa perbincangan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

  Usaha perdana yang wajar dilakukan oleh setiap pelajar adalah memberikan sepenuh perhatian ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan di kelas. Saya haruslah mendengar penjelasan oleh guru dengan teliti dan membuat nota ringkas. Sekiranya tidak memahami sesuatu topik yang diajarkan oleh guru, saya akan menanya guru sehingga memahami secara menyeluruh, bak kata pepatah, segan bertanya sesat jalan. Selain itu, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah dan projek yang diberikan oleh guru dan menghantarnya sebelum tarikh akhir penghantaran. Hal ini demikian kerana bertangguh itu pencuri masa. Pepatah Cina juga mengungkapkan bahawa kerja hari ini perlu diselesaikan pada hari ini. Maka, saya akan mengelakkan daripada menimbun kerja-kerja lepas yang menyebabkan tekanan kepada diri sendiri. Di samping itu, saya akan menerima ajaran guru agar dapat menerima teknik menjawab soalan dengan baik. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “50 peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan mereka memberikan perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Cara ini juga dapat saya memastikan agar tidak ketinggalan dalam kelas. Bahan bantu mengajar yang diguna pakai oleh guru mampu mengukuhkan lagi pemahaman saya tentang topik yang diajarnya. Dengan berbuat demikian, izharlah bahawa tumpuan yang diberikan semasa guru sedang mengajar di kelas dapat membantu saya untuk berjaya dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa modus operandi lain yang agak jelas adalah mengikuti kelas tambahan di sekolah mahupun kelas tuisyen. Kelas-kelas ini dapat membantu saya dengan latihan pelbagai subjek. Kelas di sekolah sering merangkumi pelajar yang ramai, namun begitu, kelas tuisyen yang diikuti kebanyakannya mempunyai pelajar yang sedikit dan guru yang berpengalaman. Oleh hal yang demikian, guru tersebut mampu menumpukan lebih perhatian kepada golongan pelajar yang lemah dan membantu mereka berjaya. Guru tuisyen dan guru kelas tambahan juga sering mendedahkan kepada pelajar format terkini peperiksaan SPM dan memberikan kertas-kertas SPM tahun-tahun lepas untuk membiasakan diri pelajar. Bertitik tolak daripada itu, saya akan menghadiri ceramah, program dan seminar teknik menjawab kertas peperiksaan SPM supaya mendekatkan lagi diri ke arah kejayaan. Rentetan itu, kelas tambahan dan kelas tuisyen memberikan peluang kepada saya untuk menelaah pelajaran menjelang peperiksaan yang bakal dihadapi. Saya juga akan memanfaatkan masa selepas waktu sekolah dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan yang kurang berfaedah seperti melepak di pusat beli-belah dan menonton rancangan televisyen secara berpanjangan. Masa itu juga dapat dimanfaatkan kerana masa itu emas dan kita harus sentiasa berpegang pada prinsip masa berlalu tidak akan kembali. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa menghadiri kelas tuisyen dan kelas tambahan mampu membantu saya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perancangan diri yang sistematik dan pengurusan masa yang baik amatlah diperlukan dalam resipi kejayaan seseorang individu yang cemerlang. Pepatah Arab pernah menyatakan bahawa masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, maka masa pasti akan memancung kamu. Oleh sebab itu, saya akan membuat jadual waktu di rumah dan sentiasa mengikutinya agar mengasah potensi diri sendiri untuk memanfaatkan masa yang berharga. Saya akan membahagikan masa yang seimbang antara ulang kaji pelajaran dan masa rehat agar tidak dilabel sebagai kera sumbang dan ulat buku. Saya akan menumpukan perhatian yang lebih terhadap subjek-subjek yang lemah seperti Biologi dan Kimia. Saya akan membeli buku-buku rujukan dan membuat latihan pada masa lapang agar mampu menggarap pengetahuan dan teknik menjawab. Lantaran itu, saya akan mengutamakan kerja yang penting dahulu dan menyiapkannya. Kemudahan Internet pada masa kini harus dimanfaatkan kerana menjimatkan masa untuk mencari sebarang maklumat. Saya juga akan membiasakan diri dengan soalan-soalan lazim peperiksaan SPM dengan membeli kertas-kertas peperiksaan SPM tahun-tahun lepas dan membuat kertas ramalan. Tempat yang kondusif, selesa dan dihindari dari sebarang gangguan juga penting untuk saya fokus ketika menelaah pelajaran. Maka, persis kata-kata mutiara seorang pakar perunding Internet, Dr. Irfan Khairi, merancang masa bermakna merancang kejayaan. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa perancangan diri yang teratur dan pengurusan masa yang cekap dapat membolehkan saya menerjah kecemerlangan yang ingin dicapai.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan formula seterusnya, iaitu pergaulan dengan rakan-rakan yang berperibadi mulia dan serius menimba ilmu pengetahuan. Hal ini bertepatan dengan pepatah Arab yang berbunyi jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan berbau wangi dan jika kita berkawan dengan tukang besi, maka kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Oleh hal yang demikian, rakan-rakan sebaya yang dipilih secara bijak semasa mengadakan perbincangan secara berkumpulan dapat memotivasikan saya untuk mewujudkan semangat bersaing yang sihat sesama mereka. Saya seyogianya melakukan perbincangan dengan rakan-rakan di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan berlapang dada untuk membantu mereka sekiranya menghadapi sebarang kesulitan. Di samping itu, saya akan memastikan buku-buku rujukan sentiasa berada berdekatan dengan saya dan melakukan ulang kaji secara konsisten. Janganlah kita seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Persis kata ungkapan Bahasa Inggeris, praktis asas kecemerlangan. Saya haruslah berpegang pada prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, dan sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek, dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa rakan sebaya memang mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan kita dan berupaya mendorong kita ke lembah kejayaan dalam peperiksaan SPM.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa mematuhi segala nasihat dan ajaran guru dan ibu bapa serta menyemai sikap yang positif dalam sanubari diri saja. Saya mesti berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa rajin menuntut ilmu pengetahuan bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang malah memperoleh ilmu yang berguna. Saya sepatutnya bersikap tenang semasa menemui kegagalan dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menyemarakkan api yang membara untuk mencapai puncak kejayaan. Setiap pekerjaan juga haruslah dilakukan sehingga selesai seperti pepatah alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Membaca itu jambatan ilmu yang mampu meluaskan horizon pemikiran kita dan menguasai berita terkini seluruh dunia. Kita bukan sahaja perlu membaca buku contoh karangan, malah boleh mendapat ilmu yang berlebihan melalui rancangan televisyen, majalah, surat khabar dan rangkaian Internet. Inisiatif yang diimplementasikan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan pengetahun asas di samping meningkatkan tahap penulisan kita. Tambahan pula, saya perlu memiliki ketahanan diri yang ampuh untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Pegangan agama dan mempunyai jati diri yang mantap amat signifikan supaya menghindari diri daripada situasi yang bolej menganggu perasaan. Menurut Albert Einstein, seorang ahli fizikteori, beliau berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Maka, saya akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segala-galanya. Saya perlu berusaha mendapat doa, restu dan dorongan daripada Tuhan kerana tanpanya, saya tidak akan memperoleh kejayaan walau betapa banyak usaha yang telah saya curahkan. Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa saya wajar mematuhi segala nasihat yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa yang telah lama makan garam dan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberian-Nya.

  Sebagai intihannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sebelum nasi sudah menjadi bubur, saya harus sediakan payung sebelum hujan. Belajar itu pahit akarnya tetapi masih buahnya. Saya tidak harus mengenal erti berputus asa dan tidak berpatah arang dalam mencapai kejayaan yang diimpi-impikan. Kejayaan itu bukanlah angan-angan semata-mata dan harus dijadikan realiti supaya menjamin kehidupan yang lebih cerah pada masa hadapan. Cara-cara yang dibincangkan ini merupakan strategi saya untuk berjaya dalam peperiksaan SPM yang bakal dihadapi tidak lama lagi. Saya wajar mempunyai rehat yang mencukupi agar dapat fokus ketika dalam kelas pada kemudian hari. Bak kata pepatah, otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Saya haruslah mengutamakan kesihatan dan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan teratur supaya badan sihat sepanjang peperiksaan dijalankan. Bertitik tolak daripada itu, saya wajar patuh pada asuhan kedua-dua ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa dan janganlah kita seperti kacang melupakan kulit. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya, tetapi malas berkayuh perahu hanyut. Saya sedar bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan belakang pisau diasah lagikan tajam. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan, maka kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Justeru, saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai menjadi arang.

Word count: 1564                  Markah: 87/100            Date: 26/3/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya