Karangan Bahagian B Peranan Ibu Bapa dalam Memupuk Gaya Hidup Sihat

Bersempena dengan karnival kokurikulum peringkat sekolah, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pertandingan syarahan. Anda berminat untuk menyertai pertandingan syarahan tersebut. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah "Peranan Ibu Bapa dalam Memupuk Gaya Hidup Sihat".

  Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang Dikasihi Puan Pengetua SMK......(fill in your school name), Puan.../Tuan... (fill in your school principal's name), para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru, dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu saya merakamkan rasa kesyukuran kerana diberikan peluang untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Peranan Ibu Bapa dalam Memupuk Gaya Hidup Sihat'.

Hadirin yang dihormati,
  Merujuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang sempurna, sihat dari segi fizikal, mental, rohani, dan sosial. Aset manusia yang paling berharga adalah untuk mencapai kesempurnaan dalam hidup. Hadis nabi juga ada menyebut agar kita menjaga masa sihat kita sebelum datangnya waktu sakit. Hari Kesihatan Sedunia juga disambut pada 7 April setiap tahun dengan tajaan daripada WHO. Dalam mendepani realiti dunia yang semakin padat dengan inovasi ini, lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, amalan gaya hidup sihat semakin dipinggirkan terutamanya dalam kalangan muda-mudi negara ini. Oleh sebab terlalu sibuk dengan kerja-kerja sendiri, generasi muda semakin memandang remeh terhadap pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat sehingga mengundang pelbagai penyakit yang berbahaya seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Kementerian Kesihatan Malaysia juga mencatatkan kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa setiap individu ingin hidup sihat dari segi fizikal dan mental. Hal ini dapat menjadikan seseorang dapat melakukan aktiviti harian tanpa gangguan dengan memiliki tabuh badan yang sihat. Anak-anak yang masih darah setampuk pinang hendaklah dididik oleh kedua-dua ibu bapa tentang gaya hidup yang sihat. sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Persoalannya, bagaimanakah ibu bapa memupuk gaya hidup yang sihat? Marilah kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus dalam meneliti perbincangan ini.

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu pengambilan makanan seimbang. Kanak-kanak yang semakin meningkat usia memerlukan zat makanan untuk membekalkan tenaga yang mencukupi bagi menjalankan aktiviti. Zat makanan yang diperoleh mampu menjamin tumbesaran yang sihat dan mempunyai daya tahan yang tinggi daripada serangan penyakit. Tahap imuniti seseorang kanak-kanak akan ditingkatkan dan tidak akan mudah jatuh sakit. Ibu bapa boleh menyediakan makanan mengikut piramid makanan yang disyorkan oleh Kementerain Kesihatan Malaysia kerana memberikan pemakanan seimbang yang merangkumi karbohidrat, protein, vitamin dan garam mineral kepada anak-anak. Ibu bapa digalakkan untuk memasak makanan di rumah yang sihat dan lazat daripada makan di luar. Hal ini demikian kerana gerai-gerai atau restoran biasanya menyediakan makanan yang mengandungi kandungan minyak, garam dan gula yang tinggi. Ibu bapa perlu mengelakkan daripada membeli makanan yang diproses atau makanan ringan serta minumam bikarbonat. Ibu bapa haruslah mengelakkan kanak-kanak daripada dipengaruhi oleh iklan-iklan pada kaca televisyen dan menjadi entiti mithali kepada kanak-kanak. Mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengandaikan makanan segera umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. Maka, ibu bapa menggalas tanggungjawab untuk membudayakan amalan gaya hidup yang sihat terhadap anak-anak sehingga dewasa kerana alah bisa tegal biasa. Kesihatan tubuh badan dapat mengurangkan kos perubatan ibu bapa. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ibu bapa wajar memupuk gaya hidup sihat melalui pemakanan yang seimbang.

Hadirin yang dimuliakan,
  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pendekatan yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu bibu bapa menggalakkan anak-anak untuk beriadah atau bersenam. Senaman mampu mengeluarkan peluh yang mengandungi toksin daripada tabuh badan dan menstabilkan degupan jantung pada purata 80 hingga 100 degupan setiap minit. Selain itu, lemak yang berlebihan akan dibakar dan mengurangkan tahap kolesterol dalam saluran darah. Keadaan ini dapat melancarkan pengaliran darah ke otak dan membekalkan oksigen yang mencukupi. Otak akan menjadi segar dan cerdas dan badan menjadi cergas. Seterusnya, aktiviti riadah perlu dilakukan pada setiap hujung minggu oleh ibu bapa bersama anak-anak mereka. Aktiviti sukan patut dijalankan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 30 minit setiap kali. Setiap anggota keluarga haruslah berdisiplin semasa melakukan aktiviti dan mengelakkan sikap melepaskan batuk di tangga. Aktiviti sukan yang boleh dilakukan adalah seperti berjoging, berjalan kaki, bermain badminton dan sebagainya. Dasar '10,000 langkah setiap hari' perlu diamalkan dalam mengekalkan ketahanan jasmani seseorang individu. Bertitik tolak daripada itu, kesihatan masyarakat dapat ditingkatkan dan mengurangkan kadar kematian pada usia muda. Statistik juga menunjuk mereka yang dilaporkan mempunyai tahap aktiviti fizikal dan kecergasan yang tinggi mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 20 hingga 35 peratus. Justeru, aktiviti sukan bersama anggota keluarga dapat mengekalkan kesihatan mereka di samping mengeratkan hubungan silaturahim bagai isi dengan kuku. Anak-anak juga akan mengurangkan penglibatan mereka dalam gejala sosial. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya, dapatlah kita simpulkan bahawa ibu bapa berperanan beriadah atau bersenam bersama-sama anak-anak untuk melahirkan generasi muda yang sihat. 

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kaedah lain yang agak jelas ialah ibu bapa memastikan anak-anak memperoleh rehat dan tidur yang secukupnya. Tidur memastikan seseorang mempunyai rehat selepas melakukan tugasan harian dan kembali bertenaga pada kemudian hari untuk meneruskan pekerjaan. Secara umumnya, manusia memerlukan tidur yang cukup iaitu 8 hingga 9 jam sehari. Ibu bapa hendaklah menetapkan waktu tidur anak-anak sebelum 11 malam. Hal ini demikian kerana badan kita akan memulakan proses pengeluaran toksin badan yang perlu dijalankan sewaktu tidur. Rentetan itu, ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak agar tidak menonton televisyen atau bermain permainan video sehingga larut malam kerana akan menjejaskan kesihatan tubuh badan dan menyebabkan sakit kepala. Keadaan ini akan menjejaskan pemikiran dan tidak mampu fokus terhadap pelajaran di sekolah. Produktiviti seseorang murid juga akan turun kerana tidak bersemangat untuk melakukan kerja. Justeru, masa tidur yang sesuai dapat meningkatkan pencapaian akademik seseorang dan menjamin kesihatan yang baik. Berdasarkan kajian, manusia yang memperoleh tidur yang optimum akan lebih peka, memiliki tahap memori yang lebih baik dan boleh menyelesaikan sesuatu masalah secara berkesan. Pepatah Cina juga mengungkapkan bahawa rehat bertujuan untuk meneruskan perjalanan yang lebih jauh. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa perlu menetapkan waktu tidur yang sesuai terhadap anak-anak untuk memupuk gaya hidup sihat dalam sanubari mereka.

Hadirin yang disanjungi,
  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan kaedah seterusnya, iaitu ibu bapa membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan. Kesihatan merupakan kunci kebahagiaan dan kekayaan seseorang. Penulis terkenal Amerika Syarikat, George William Curtis mengatakan bahawa "Kebahagiaan paling utama adalah dalam kesihatan". Pemeriksaan kesihatan dapat memastikan penyakit berbahaya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kanser yang bersarang dalam diam dapat dikesan dan dicegah dari peringkat awal. Penyakit dapatlah diubati dengan segera dan mengelakkannya daripada merebak ke organ yang lain dalam tubuh badan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Hatta, ibu bapa wajar membawa anak-anak berjumpa dengan doktor sekurang-kurangnya setahun sekali secara berkala untuk menjalani ujian darah dan air kencing, pemeriksaan gigi serta pemeriksaan tahap kolesterol. Kaedah ini juga membolehkan ibu bapa mengetahui tahap kesihatan anak-anak dan menjadikan asas bagi memantau keberkesanan rawatan yang diterima. Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan di klinik atau hospital yang mempunyai doktor atau pakar kesihatan akan memberikan pelbagai maklumat penting untuk diagnosis, rawatan dan kaedah pencegahan bagi sesuatu penyakit. Keadaan ini juga dapat mengurangkan kadar kematian seseorang daripada sebarang penyakit kronik. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa pemeriksaan kesihatan dapat memastikan ibu bapa mengetahui tahap kesihatan anak-anak dan mengambil tindakan segera untuk mengubatinya.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah peranan ibu bapa dalam menjaga kebersihan tempat tinggal dalam memupuk gaya hidup sihat. Kebersihan dan kesihatan diri merupakan aspek yang penting dalam kehidupan kita. Kebersihan diri perlulah dijaga bagi memastikan kita terhindar dari kuman dan penyakit yang berbahaya. Kebersihan merangkumi kebersihan diri dan persekitaran termasuklah tempat tinggal. Ibu bapa yang menjadi agen pertama wajar mendidik anak-anak menitikberatkan kebersihan diri seperti mandi dan membasuh tangan dengan bersih sebelum dan selepas makan. Hal ini penting agar tidak menjangkiti penyakit kulit seperti panau, kayap dan sebagainya. Kuman dan pelbagai mikroorganisma membawa pelbagai penyakit berjangkit yang merbahaya dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mereka suka tinggal di tempat yang kotor. Oleh sebab itu, aktiviti gotong-royong di kawasan rumah wajar diadakan secara berkala supaya tempat tinggal bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes kerana demam denggi boleh meragut nyawa. Maka, demi menjamin keselamatan nyawa dan mengurangkan kadar kematian, kebersihan diri, makanan dan tempat tinggal perlulah diutamakan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun 2014 berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun 2013. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal amat vital untuk menjamin kesihatan tubuh badan dengan sempurna.

Hadirin yang budiman sekalian,
  Berdasarkan hujah-hujah yang telah sampaikan tadi, maka memang tidak dapat dinafikan bahawa usaha yang berkesan daripada ibu bapa amat signifikan dalam menjana modal insan yang sihat dari segi fizikal dan mental demi tuntutan dunia yang semakin mencabar pada abad ini. Amalan yang dinyatakan adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan anak-anak sentiasa dalam keadaan yang baik. Ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan sukan lasak. Selain itu, ibu bapa boleh menyediakan peralatan bersenam di rumah untuk menggalakkan anak-anak bersenam. Ibu bapa bersama-sama anak-anak hendaklah menyokong semua program dan kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta. Cogan kata seperti "Amalkan Gaya Hidup Sihat", "Sihat Sepanjang Hayat", dan "Utamakan Kesihatan" hendaklah dipraktikkan untuk melahirkan pemuda-pemudi yang sihat jasmani, rohani, emosi dan intelek untuk membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju. Hasrat negara untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain tidak akan lagi menjadi angan-angan. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung. Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya untuk melafazkan serangkap pantun.

Ikan di air terlihat-lihat,
         Ikan bernama si ikan laga;
Amalkan gaya hidup sihat,
                  Makan minum hendaklah dijaga.

Sekian, terima kasih.   

Word count: 1609                  Markah: 91/100            Date: 21/5/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

  1. terima kasih untuk karangan yang mengagumkan ini.sangat membantu dalam penulisan karangan saya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya