Karangan Bahagian B Kesan Kedatangan Buruh Asing ke Negara Kita

Kedatangan buruh asing ke negara kita mendatangkan pelbagai kesan. Bincangkan. 

  Malaysia adalah antara 10 buah negara teratas yang tersenarai sebagai penggaji warga asing tertinggi di dunia. Dalam mendepani kepesatan perkembangan ekonomi dan kekukuhan politik di negara kita, negara ini telah berjaya membuka mata para pekerja asing sehingga telah mendorong mereka untuk berhijrah ke sini untuk mencari sumber pekerjaan, bak kata pepatah, ada gula ada semut. Negara kita semakin diliputi dengan pekerja asing yang boleh dijumpa di bandar-bandar besar khususnya dari Indonesia, Filipina, Bangladesh, Nepal dan India. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor yang bergaji rendah seperti buruh, pekerja kilang dan pembantu rumah untuk mendapatkan mata wang pencarian bagi menanggung kos kehidupan anggota keluarga di negara asal mereka. Penduduk yang ramai di negara asal pekerja asing telah menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan, malah budaya negara kita yang lebih kurang sama dengan pekerja asing, permintaan buruh tidak mahir yang tinggi, pemberian pendapatan yang tinggi, peluang pekerjaan yang banyak dan sistem politik dan ekonomi yang stabil telah menjadi antara faktor penarik yang mendorong pekerja asing untuk bekerja di negara kita. Jumlah pekerja asing di Malaysia semakin meningkat saban tahun. Sejumlah 1.2 juta orang daripada pendatang Indonesia sahaja diikuti Nepal seramai 200 ribu orang. Persoalannya, apakah kesan kedatangan buruh asing ke negara kita. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora dan bagaikan si kudung mendapat cincin. Segala-galanya akan mendatangkan kesan positif dan kesan negatif. Oleh hal yang demikian, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk merenung implikasi yang akan timbul jika senario ini berlaku.

  Umum mengetahui bahawa kedatangan buruh asing ke negara kita mendatangkan kebaikan yang pertama, iaitu dalam aspek pengukuhan ekonomi negara. Pekerja asing yang berkemahiran tinggi sama ada buruh mahir seperti doktor dan jurutera, buruh seperuh mahir seperti pekerja yang terlibat dalam bidang teknikal serta buruh tidak mahir seperti buruh-buruh kasar amat diperlukan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana mereka mampu mengimport kemahiran dan pengetahuan dengan berkongsi idea dan memberi tunjuk ajar kepada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jurutera automobil yang diimport dari Jepun pada suatu ketika dahulu telah memberi kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia sehingga tercipta kereta pertama negara iaitu Proton Saga pada tahun 1985. Selain itu, kepakaran pekerja asing dalam bidang profesional juga terjamin dan berupaya meningkatkan kualiti produktiviti negara sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi negara. Amerika Syarikat juga telah menggaji sebanyak 14 juta orang pekerja asing dengan purata kebanyakannya berkhidmat sebagai tenaga profesional bagi membolehkan peningkatan dalam ekonomi serta penghasilan teknologi di negara tersebut. Pembangunan infrastruktur dan prasarana yang sistematik memerlukan tenaga buruh yang ramai untuk mempercepatkan arus pertumbuhan negara. Dengan adanya kedatangan tenaga buruh asing yang bekerja di sektor yang pelbagai, maka rakyat negara kita mampu menikmati keselesaan kehidupan melalui pertukaran teknologi dan pembangunan yang pesat di bandar. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa pengukuhan ekonomi negara akan dicapai dengan pertukaran teknologi dan pembangunan infrastruktur dengan kedatangan buruh asing ke Malaysia.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa, senario tersebut juga menyumbang kepada faedah yang seterusnya, iaitu meningkatkan produktiviti negara untuk keperluan global. Malaysia sering dihadapi dengan kekurangan sumber tenaga buruh dalam pelbagai sektor seiring dengan kemajuan yang semakin dikecapi oleh negara kita. Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor yang memerlukan sumber fizikal yang banyak di bawah matahari yang terik. Malah, pendapatan yang diperoleh juga tidak lumayan dan amat rendah untuk menampung kos kehidupan mereka. Keadaan ini menyebabkan majikan dalam sektor pembinaan khususnya untuk mendapatkan tenaga buruh asing untuk bekerja dengan mereka. Pekerja asing ini tidak memilih pekerjaan asalkan memperoleh upah dan pekerjaan apabila bekerja di negara kita. Upah yang diterima dianggap tinggi kerana pertukaran nilai mata wang akan menyebabkan mereka dapat hidup mewah apabila pulang ke negara asal. Dengan ini, mereka akan bekerja keras dengan memenuhi kekosongan tempat di sektor-sektor perindustrian dan pembinaan dan membantu industri-industri dan syarikat besar mengeluarkan barangan atau membina bangunan yang lebih banyak. Misalnya, industri sawit merupakan sektor pertanian termaju yang mempunyai kedudukan yang strategik dalam ekonomi Malaysia dari segi penjanaan pendapatan eksport (RM65 bilion) dan dalam bidang sosial dengan memberi sara hidup pekerja ladang dan kilang sebanyak RM2 juta. Justeru, dengan peranan buruh asing ke negara kita, industri sawit akan dapat mengekalkan pengeluaran kelapa sawit dan mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam bidang pertanian dan perladangan. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa kedatangan buruh asing memang dapat meningkatkan produktiviti negara dalam pelbagai sektor.

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa maslahat kedatangan buruh asing ke negara kita yang agak jelas ialah meningkatkan sektor pelancongan di negara Malaysia. Dalam konteks ini, kehadiran pekerja asing telah menyumbangkan banyak pembangunan dalam pelbagai sektor di negara kita termasuklah sektor pelancongan. Pembangunan infrastruktur dan prasarana yang lengkap akan membangunkan bandar-bandar menjadi moden dan mewah. Bertitik tolak daripada itu, buruh atau pekerja asing di negara kita akan melancong di sini dan apabila mereka pulang ke negara asal, mereka akan menceritakan pengalaman mereka ketika melancong di Malaysia dan saudara-mara mereka akan mengambil peluang untuk melancong ke destinasi menarik di negara kita juga. Mereka bertindak sebagai agen pelancongan dan keadaan ini meningkatkan sektor pelancongan Malaysia. Selain itu, kebersihan dan keindahan landskap di destinasi pelbagai negara kita akan menarik minat pelancong asing. Pelancong yang merupakan pekerja asing di negara kita dapat mengenali tempat-tempat yang menarik seperti pepatah sambil menyelam minum air. Rentetan itu, hotel dan rumah penginapan akan dipenuhi dengan penempatan pelancong asing yang seterusnya meningkatkan pendapatan negara dari segi pertukaran mata wang asing. Saudara mara atau rakan pekerja asing akan menikmati keselesaan apabila melancong di negara kita dan bukannya indah khabar dari rupa. Imej negara akan ditingkatkan dan akan menarik minat pelabur asing untuk melabur terhadap negara kita juga. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa kedatangan buruh asing ke negara kita mampu meningkatkan prestasi dalam sektor pelancongan di negara Malaysia.

  Seperti yang kita sedia maklum, kedatangan buruh asing ke negara kita juga mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada negara kita sekiranya bilangan buruh asing tidak dikawal dengan ketat. Justeru, marilah kita merenung kesan negatif yang akan bercambah jika fenomena ini berlaku. Pada hemat saya, hakikat tersebut dapat dikaitkan dengan masalah sosial dan menyebabkan penyakit berjangkit berleluasa di negara kita. Buruh asing yang memasuki sempadan negara kita tanpa permit diklasifikasikan sebagai pendatang asing tanpa izin atau lebih dikenali sebagai golongan PATI. Mereka tidak melalui pihak imigresen dan pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dan mungkin membawa virus penyakit berjangkit dari negara asal mereka. Keadaan ini akan menyebabkan rakyat lebih terdedah kepada sesuatu penyakit yang akan merebak dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti AIDS, HIV dan selsema khinzir. Penyakit seperti kala azar atau demam hitam pula dipercayai dibawa oleh pendatang dari India, Bangladesh dan Myanmar. Menurut rekod Persatuan Perubatan Malaysia (MMU), penyakit berjangkit seperti batuk kering, malaria dan H1N1 adalah disebabkan interaksi rakyat tempatan dengan pendatang asing. Selain itu, kegiatan jenayah di negara kita juga meningkat akibat pertambahan bilangan pendatang asing yang tidak diketahui latar belakang mereka. Rakyat Malaysia semakin bimbang untuk keluar berjalan-jalan di bandar besar terutamanya pada waktu malam kerana dikhuatiri diganggu oleh pendatang asing yang bilangannya ramai. Kegiatan jenayah seperti pergaulan bebas, menghisap dadah, merompak, pecah rumah dan merogol juga menggugat keselamatan penduduk di negara kita. Pada tahun 2007, sebanyak 2019 kes jenayah telah dilaporkan yang melibatkan pendatang asing. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa kedatangan buruh asing akan menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan penyakit berjangkit di negara kita.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah rintangan pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan. Hal ini disebabkan oleh sikap sesetengah majikan yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan kerana pekerja asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding rakyat tempatan. Namun demikian, kos sara hidup yang semakin lama semakin tinggi menyebabkan pekerja tempatan meminta gaji yang lebih tinggi supaya turut dapat menikmati kemajuan yang ada di negara ini, Justeru, para majikan tempatan akan mengurangkan pengambilan pekerja tempatan tetapi pada masa yang sama menambah bilangan pekerja asing. Hal ini amat tepat dengan peribahasa yang berbunyi, "anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui". Pekerja asing ini telah diupah untuk memenuhi sektor pekerjaan dalam bidang perindustrian dan pembinaan. Gaji yang rendah kepada pekerja asing juga menjadi punca utama kepada permasalahan ini berlaku. Lantaran itu, buruh asing ini tekun melakukan pekerjaan dan sanggup melakukan pekerjaan yang berat serta mampu bekerja dengan jangka masa yang panjang. Hal ini bersangkut-paut apabila hampir 2.1 juta rakyat tempatan yang hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan pekerja tempatan. Di samping itu, kerajaan Malaysia juga telah membelanjakan RM3 billion setiap tahun untuk membiayai kedatangan pekerja asing. Maka, sememangnya diakui bahawa kedatangan buruh asing ke negara kita telah mengakibatkan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan di negara kita.

  Sementelahan itu, buruh asing yang datang ke negara kita juga menyebabkan masalah perumahan. Buruh asing yang tidak mempunyai tempat tinggal mendirikan kawasan perumahan secara haram di kawasan setinggan. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas seperti sistem kumbahan dan pembuangan sampah yang tidak sistematik. Oleh sebab itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku yang menyebabkan bakteria dan virus merebak sehingga menyebabkan penyakit. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik dan air yang mengakibatkan hak rakyat sedikit sebanyak terjejas. Tambahan pula, kawasan rumah yang didirikan oleh buruh asing ini adalah tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan. Banyak antara mereka juga melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang perhiasan dan barang kelas. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Seterusnya, penglibatan buruh asing dalam kegiatan jenayah akan meningkatkan perbelanjaan negara. Laporan media ada menyatakan bahawa sebahagian besar adaripada 42,284 banduan pada tahun 2007 yang memenuhi penjara di negara ini adalah warga asing dengan nisbah 4 warga asing bagi setiap 10 orang banduan di negara kita. Kerajaan telah membelanjakan RM68 juta setahun untuk membiayai semua banduan asing di dalam penjara meliputi kos makanan, bil rawatan dan kos mengadakan pelbagai akibat untuk para banduan asing. Kedatangan mereka telah menggugat ketenteraman di negara ini. Justeru, kedatangan buruh asing memang telah menimbulkan masalah perumahan di negara Malaysia.

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa kedatangan buruh asing ke negara kita memang memberikan implikasi positif dan negatif kepada negara kita. Walaupun masyarakat negara kita berpendapat bahawa kemasukan buruh asing ke negara kita mampu memacu pembangunan negara, namun kita juga perlu melihat kesan negatif sekiranya tindakan ini berlarutan. Pihak kerajaan dan masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini daripada bermaharajalela. Para majikan syarikat besar harus mengubah sikap dengan mempertimbangkan dan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dengan meningkatkan gaji meraka. Undang-undang yang berkaitan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) patut diperketatkan dan menambah bilangan polis untuk mengawasi pengairan di kawasan sempadan negara agar menyekat aktiviti pendatang asing tanpa permit ini. Pihak imigresen juga wajar memeriksa tahap kesihatan pendatang asing sewaktu di kastam negara untuk mengesan sebarang penyakit berjangkit. Kebanjiran pendatang asing ini haruslah dikawal bilangannya dan memanfaatkan tenaga buruh rakyat asal negara Malaysia. Sudah tiba masanya negara Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mengalihkan tumpuan kepada teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara. Justifikasinya, sebelum kudus menjadi tokak, sebelum nasi sudah menjadi bubur, eloklah masyarakat Malaysia dan pihak kerajaan bermuafakat supaya Malaysia memanfaatkan buruh asing dan mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin.

Word count: 1850                 Markah: 93/100            Date: 21/5/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)

Comments

  1. Seramai tu tukar kepada sebanyak. Hal ini kerana "orang" perlu menggunakan penjodoh bilangan SEBANYAK. Perenggan pendahuluan baris ke 10 dari bawah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya