Karangan Bahagian B Langkah-langkah Mengekalkan Perpaduan dan Kepentingan Perpaduan kepada Negara

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya yang berlainan, perpaduan amat penting dalam mencapai matlamat pembangunan negara. 
Sarankan langkah-langkah mengekalkan perpaduan dan kepentingan perpaduan kepada negara. 

  Malaysia, ibu pertiwi tanah tumpahnya darah kita ini sesungguhnya merupakan sebuah negara yang makmur, aman, dan unik. Tanah air kita terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India serta golongan minoriti seperti Bidayuh, Iban, Melanau, Dayak dan Kadazandusun. Kerencaman etnik, kepelbagaian budaya, kekayaan warisan dan keindahan landskap sosial yang serba-serbi telah menjadi aset berharga yang dicemburui warga seantero dunia. Namun begitu, Dasar Pecah dan Perintah yang dijalankan oleh penjajah British telah memecahbelahkan masyarakat kaum utama dalam bidang pekerjaan yang berbeza. Masyarakat Melayu dikekalkan dalam bidang pertanian, masyarakat Cina dalam bidang perniagaan, dan masyarakat India sebagai penoreh getah. Bidang pekerjaan di tempat dan bahasa pertuturan yang amat berbeza ini tidak melihat kesepakatan dalam masyarakat Malaysia. Menyingkap jendela sejarah pula tragedi 13 Mei 1969 pula menjadi suatu titik hitam bersejarah yang sememangnya akan kekal dalam ingatan masyarakat Malaysia. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, beliau berkata bahawa penduduk pelbagai bangsa perlulah menggembleng kudrat bagi meningkatkan perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama ini. Oleh hal yang demikian, perpaduan kaum sememangnya penting dan perlu dikekalkan agar dasar kerajaan dapat dijalankan dengan lancar. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah-langkah untuk mengekalkan perpaduan dan kepentingan perpaduan kepada bumi yang bertuah ini.

  Umum mengetahui bahawa cara yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil iaitu aktiviti gotong-royong. Aktiviti weharima ini merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Selain itu, penduduk akan menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membersihkan kawasan perumahan untuk menjamin kebersihan dan keceriaan kawasan tempat tinggal. Cogan kata "Negara Bersih Rakyat Sihat" haruslah dipraktikkan dalam amalan gotong-royong agar masyarakat akan bebas daripada penyakit seperti demam denggi. Selain itu, sambutan perayaan kaum seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali mampu mengeratkan hubungan silaturahim rakyat pelbagai kaum melalui penganjuran Program Rumah Terbuka. Pendekatan ini telah diambil oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengukuhkan perpaduan negara ini. Bertitik tolak daripada itu, masyarakat dapat menjana tahap kefahaman terhadap budaya, cara hidup dan adat resam kaum lain serta membina masyarakat yang saling menghormati. Menurut kajian yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia, keberhasilan penganjuran program rumah terbuka telah mewujudkan perpaduan yang kukuh di sembilan (9) buah kawasan perumahan di Pulau Pinang. Justeru, masyarakat tidak patut syak wasangka terhadap kaum lain sebaliknya mengamalkan sikap buang yang keruh, ambil yang jernih untuk mengekalkan perpaduan negara kita. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan setempat dan menganjurkan Program Rumah Terbuka memang mampu mengekalkan perpaduan di negara kita.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kaedah yang lebih pragmatik perlu dilaksanakan, iaitu melalui aktiviti sukan. Negara Malaysia sering menghantar atlet-atlet yang mewakili negara bertanding dalam pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa. Atlet-atlet sukan yang menjuarai pelbagai acara dalam sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, dan Sukan Olimpik akan dapat meningkatkan nama Malaysia ke mata dunia. Hal ini juga dapat membuktikkan bahawa negara kita mampu melahirkan jaguh sukan yang mampu bersaing supaya Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Dalam konteks ini, sukan sememangnya tidak membezakan masyarakat dari segi kaum dan warna kulit kerana kita bersama-sama menyokong pasukan negara kita yang sama. Di samping itu, peserta-peserta sesebuah permainan berpasukan seperti permainan hoki, bola sepak dan bola keranjang yang terdiri daripada pelbagai kaum juga dapat menjalinkan perpaduan untuk mendapatkan mata bagi pasukan masing-masing. Dasar Sukan Negara yang diwujudkan pada tahun 1988 juga bertujuan mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia. Maka, aktiviti sukan hendaklah diamalkan kerana "Badan Cergas Otak Cerdas" dan mampu menjadi wadah yang mampu mengeratkan hubungan antara kaum, bak kata pepatah "sambil menyelam minum air". Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa aktiviti sukan mampu mengekalkan perpaduan dalam negara kita.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa prakarsa lain yang agak jelas ialah sambutan hari kemerdekaan. Sambutan Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 merupakan hari yang amat penting kepada rakyat Malaysia. Teriakan keramat Merdeka sebanyak tujuh (7) kali oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman menandakan negara kita bebas daripada cengkaman penjajah asing setelah dijajah selama 446 tahun. Sambutan Hari Kemerdekaan akan mengumpulkan masyarakat untuk menyambut Hari Kemerdekaan  bersama-sama dengan menyanyi lagu-lagu patriotik dan menyaksikan perarakan di Dataran Merdeka. Pada peringkat sekolah pula, murid-murid boleh membuat persembahan drama tentang sejarah tanah air kita, menghiasi kelas menggunakan bendera dan mengadakan pertandingan melukis poster sempena Hari Kemerdekaan. Sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja dapat memupuk perpaduan pelbagai kaum, malah dapat melahirkan semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Masyarakat hendaklah mengamalkan tema Hari Kemerdekaan 2016 iaitu "Sehati, Sejiwa" untuk memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa "bersatu teguh, bercerai roboh". Sambutan Hari Kemerdekaan memang menyumbang kepada usaha dalam mengekalkan perpaduan dalam negara kita.

  Perpaduan rakyat amat penting kepada sesebuah negara kerana mengekalkan keharmonian dan keamanan negara tersebut. Maka, marilah kita memfokuskan lensa perbincangan terhadap maslahat yang mampu diperoleh kepada negara. Pada hemat saya, senario tersebut dapat dikaitkan dengan kemajuan ekonomi negara. Hal ini boleh dijelaskan melalui peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman akan mendatangkan keuntungan yang maksimum kepada mereka. Masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat ukhuwah yang kukuh juga telah membawa kepada kemajuan negara. Masyarakat malaysia berjaya melancarkan satelit MEASAT dan Tiungsat dan mengeksport kereta buatan Malaysia seperti Proton kepada luar negara. Hal ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi negara malah mamou meningkatkan imej negara di mata dunia kerana masyarakat bersatu padu dan membantu menjana ekonomi negara. Hal ini juga mampu menarik minat pelabur asing untuk melabur terhadap negara kita kerana mempunyai kestabilan politik dan negara kita aman damai. Jumlah pelaburan asing yang tinggi di Malaysia juga membuka peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat negara. Secara tidak langsung, ekonomi negara bukan sahaja mampu meningkat secara global tetapi taraf hidup rakyat juga dapat diperbaiki disebabkan peluang-peluang yang menjelma. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan rakyat menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah perpaduan negara juga menarik kedatangan pelancong di seantero dunia untuk mengunjungi negara Malaysia yang unik ini. Negara Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa mendapat pancaran matahari dan mempunyai kadar hujan yang banyak sepanjang tahun. Selain itu, negara kita yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan laluan angin taufan menyebabkannya bebas daripada gempa bumi, letusan gunung berapi, dan tiupan angin taufan. Hal ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan bebas daripada bencana alam. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan destinasi pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Tioman, Taman Negara di Pahang, A Famosa di Melaka dan Padang Kota Lama di Pulau Pinang. Sekiranya masyarakat negara kita bersatu padu dan mengekalkan keharmonian, maka pelancong akan berasa selamat untuk datang mengunjungi negara kita. Rakyat Malaysia tidak harus menimbulkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama agar negara kita menjadi huru-hara. Rakyat yang ramah mesra dan sedia membantu pelancong asing juga akan mendatangkan kunjungan pelancong asing yang banyak. Hal ini juga dapat menyumbang kepada pertumbahan ekonomi negara kita. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa masyarakat haruslah berganding bahu seperti pepatah hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk mengekalkan perpaduan negara agar dapat memacu pembangunan nagara dari sektor pelancongan.

  Akhirulkalam, bulan semakin terang, bayang semakin jelas bahawa masyarakat haruslah mengamalkan sikap "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni". Perpaduan rakyat yang dikekalkan pasti akan membawa kebaikan kepada negara. Perpaduan rakyat uang dikekalkan pasti akan membawa kebaikan kepada negara. Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia telah menggariskan sembilan cabaran yang perlu direalisasikan menjelang tahun 2020. Cabaran yang ketujuh menggariskan cabaran untuk membentuk masyarakat yang berbudaya penyayang. Oleh hal yang demikian, masyarakat haruslah mengikis sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sebaliknya mengamalkan perpaduan. Perpaduan rakyat diibaratkan seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, seliang bagai tebu, dan sedencing bagai besi. Perpadun kaum juga hendaklah diamalkan sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Perpaduan dalam kalangan rakyat umpama menyemai benih yang diharapkan hidup subur dan menghasilkan buah yang manis, bibit-bibit perpaduan mest disemai, dibaja dan disiram dengan penuh kesabaran supaya menghasilkan murid yang bersatu padu. Sekiranya perpaduan rakyat tidak dikekalkan, tidak mustahil bahawa negara kita akan menjadi porak peranda dan mudah dijajah oleh kuasa asing semula. Adakah kita sanggup melihat tragedi 13 Mei 1969 berulang kembali? Justeru, marilah kita sama-sama mengekalkan perpaduan rakyat bersama untuk manfaat sejagat.        

Word count: 1395             Markah: 89/100            Date: 2/9/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)

Comments

  1. Karangan macam ni tahap STPM pun lepas . Terbaik laa

    ReplyDelete
  2. BAGUSNYA 😭😭😭😭 I WISH MY ESSAY CAN LOOK LIKE THIS TOO :,)

    ReplyDelete
  3. kenapa marks dia 89 je? karangan bagus kott

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya