Karangan Bahagian A Sebab-sebab lepasan SPM wajar melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah

  Dalam alaf yang pesat berkembang dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, pelajar-pelajar lepasan SPM berlumba-lumba untuk memasuki pusat pengajian tinggi. Senario ini memang merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana pelajar-pelajar negara kita mempunyai semangat untuk terus menuntut ilmu pada tahap yang lebih tinggi. Keaaan ini juga demikian disebabkan dengan sijil SPM sahaja tanpa ijazah tidak akan menjanjikan pekerjaan yang lumayan, malah ramai pelajar yang mengalami masalah pengangguran. Oleh hal yang demikian, pelajar-pelajar yang beraspirasi tinggi untuk memperoleh taraf kehidupan yang lebih baik berusaha bersungguh-sungguh supaya mereka berpeluang untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Mahazir Khalid, lepasan SPM wajar merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran kerana banyak faedah yang mampu diperoleh daripadanya. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa kalau ada asap, tentu ada api. Oleh hal yang demikian, satukan jiwa dan minda untuk mengetahui sebab yang munasabah yang memungkinkan realiti ini berlaku.

  Umum mengetahui bahawa faktor perdana lepasan SPM wajar melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah adalah kerana umur mereka masih muda untuk menceburi bidang pekerjaan. Hal ini demikian kerana otak mereka masih segar pada usia muda dan mampu menimba ilmu dengan mudah. Tahap penerimaan mereka masih baik dan mampu mengingatkan kembali perkara yang baru dipelajari. Mereka mudah menguasai topik pembelajaran yang pelbagai dan masih bertenaga untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Sebaliknya, jika seseorang itu mengabaikan pelajarannya pada usia muda dan tidak mencari inisiatif untuk melanjutkan pelajaran, maka seseorang itu akan bersusah apabila usianya telah meningkat. Hal ini berlaku kerana mereka tidak lagi berdaya untuk menuntut ilmu pengetahuan. Tahap memori mereka akan menjadi lembap menyebabkan perkara yang dipelajari kurang difahami. Oleh sebab itu, pelajar lepasan SPM perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menuntut ilmu setinggi yang mungkin supaya tidak menyesali pada masa akan datang, bak kata pepatah "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya". Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa lepasan SPM wajar menghargai peluang keemasan sewaktu masih muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario yang berlaku juga disebabkan oleh sebab pembiayaan pengajian di universiti akan ditanggung oleh badan-badan penaja pendidikan. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Yayasan Negeri merupakan antara badan-badan penaja pendidikan yang memikul amanah untuk membantu murid-murid melalui skim pinjaman atau biasiswa. Pelajar-pelajar hanya perlu menumpukan perhatian dalam pelajaran dan mencapai kecemerlangan akademik untuk memohon pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran. Pendekatan ini amat bijak kerana terbuka kepada semua murid. Pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan pula tidak perlu risau tentang masalah kewangan keluarga lagi. Pinjaman yang dilakukan pula dapat dipulangkan secara ansuran selepas pelajar menamatkan pengajian tinggi mereka dan mula bekerja. Dengan ini, pelajar dapat memperoleh ijazah dan menjalankan kehidupan yang lebih baik. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa lepasan SPM wajar melanjutkan pengajian kerana masalah kewangan memang dapat diatasi.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa alasan lain yang agak jelas ialah laluan ke arah kerjaya lebih mudah apabila memiliki diploma atau ijazah. Dalam konteks ini, seseorang dapat memperoleh pekerjaan yang dicita-citakan sekiranya mempunyai kelayakan yang sepatutnya. Kebanyakan agensi kerajaan dan syarikat swasta memberikan keutamaan kepada golongan yang berpendidikan tinggi kerana kemahiran yang dilengkapi pada seseorang individu dapat membantu perkembangan syarikat. Kerja-kerja yang dilakukan juga menjadi mudah kerana telah terdedah kepada bentuk pelaksanaan sewaktu di institusi pengajian tinggi. Selain itu, kelayakan yang diperoleh membuka peluang kepada seseorang untuk menjawat jawatan penting dan lebih besar dalam sesebuah agensi atau syarikat. Mereka akan menjadi lebih berpengalaman dan pendapatan yang dimiliki akan meningkat sekali gus mempertingkat lagi tahap kehidupan mereka. Dalam era pekerjaan yang semakin mencabar dan mementingkan modal insan yang mempunyai nilai tambah selain kecemerlangan dalam akademik, sudah tentu pekerja yang berkelayakan tinggi akan menjadi rebutan oleh syarikat-syarikat yang besar. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa laluan ke arah kerjaya akan menjadi lebih mudah sekiranya lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa lepasan SPM wajar berfikir tentang masa depan mereka yang curah dan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Mereka perlu digalakkan untuk melanjutkan pelajaran dan berusaha supaya hasrat mereka tercapai. Agensi kerajaan dan syarikat swasta telah pun berganding bahu untuk membantu lepasan SPM dalam bidang pendidikan agar dapat mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Usaha yang dilakukan pada hari ini pasti akan mendatangkan buah pada masa hadapan. Hanya pendidikan itulah yang dapat mematangkan pemikiran seseorang dan memajukan negara kita untuk menghadapi segala rintangan. Pelajar yang telah menamatkan pengajian juga perlu menyumbangkan bakti kepada negara kerana mereka menjadi pelapis pemimpin negara pada masa akan datang. Ilmu yang diperoleh juga perlu digunakan untuk kebaikan untuk membantu rakyat yang kurang berupaya. Perbuatan yang tidak beretika pual harus dihindari agar tidak menindas orang yang berpendidikan rendah. Justeru, lepasan SPM perlulah berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah.

Word count: 799               Markah: 28/30            Date: 26/6/16

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya