Karangan Bahagian A Ciri-ciri Generasi Pelapis yang diperlukan oleh Negara untuk Menghadapi Cabaran yang Menjelang

  Dalam menempuhi realiti dunia yang penuh dengan pawana globalisasi ini, secara sedar atau tidak, lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, generasi kini telah hidup dengan serba moden dan bersifat hedonisme. Masyarakat haruslah mengetahui bahawa generasi kini perlulah dididik dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian. Hal ini demikian kerana mereka merupakan tampuk pemimpin pada masa hadapan dan akan mewarisi pentadbiran negara. Generasi pelapis yang diperlukan oleh negara haruslah memiliki sifat-sifat yang terpuji. Selaras dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia yang mewajibkan pembelajaran pendidikan moral, Islam dan Sivik dapat menerap sifat-sifat tersebut dalam diri generasi kini. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan ciri-ciri generasi pelapis yang diperlukan oleh negara untuk menghadapi cabaran yang menjelang. 

  Umum mengetahui bahawa sifat perdana yang perlu dilengkapi dalam diri seseorang adalah dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka. Sifat ini dapat membolehkan seseorang individu agar menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan daripada orang lain. Hal ini dapat menjamin hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai kaum seperti di negara Malaysia dan memastikan keamanan sejagat. Perkara yang tidak diingini boleh dielakkan seperti rusuhan kaum, pertelingkahan, pergaduhan dan demonstrasi serta mengekalkan imej negara di seantero dunia. Dengan menerima pandangan orang lain pula, masyarakat dapat mengumpul idea yang pelbagai yang dapat digunakan untuk memajukan negara, mengambil tahu sensitiviti kaum dan hak pelbagai pihak dan memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, sememangnya diakui bahawa toleransi dan penerimaan pandangan pelbagai pihak perlu dimiliki oleh seseorang generasi pelapis negara.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa seseorang generasi pelapis juga haruslah berkemahiran tinggi. Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat membangun di dunia, rakyat wajib dilengkapi dengan pelbagai kemahiran tinggi. Kemahiran dalam pelbagai bidang amat penting dalam sektor-sektor negara seperti perindustrian, perladangan, pembinaan, perlambangan dan sebagainya. Rakyat perlu menguasai kemahiran hidup yang dapat membantu dalam aktiviti seharian. Generasi muda juga boleh melengkapi diri dengan kemahiran tinggi dengan mengambil inisiatif pertama mengambil latihan vokasional di sekolah yang menawarkan latihan tersebut. Pelajar sekolah tersebut akan mempunyai kemahiran tersebut dengan lebih mendalam dan menyumbang bakti kepada negara dalam pelbagai sektor yang terlibat. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah disimpulkan bahawa generasi pelapis yang berkemahiran tinggi diperlukan oleh negara untuk kepentingan negara.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa generasi pelapis seyogianya menghormatu tokoh perjuangan terdahulu. Negara Malaysia mempunyai tokoh yang ramai. Tokoh-tokoh tempatan telah berjuang untuk memerdekakan negara daripada cengkaman penjajah. Misalnya, Leftenan Adnan telah berjuang sehingga titisan darah yang terakhir untuk membebaskan negara kita daripada cengkaman penjajah Jepun. Selain itu, perjuangan rakyat tempatan mengembalikan kedaulatan bangsa dapat dilihat melalui pahlawan seperti Dol Said, Rentap, Sharif Masahor, Dato' Bahaman dan sebagainya. Tokoh-tokoh kemerdekaan pula seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun H.S. Lee pula telah mewakili Parti Perikatan untuk rombongan Merdeka ke London pada tahun 1956 yang bertujuan merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan kerajaan British. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa generasi muda wajarlah menghormati tokoh perjuangan terdahulu dengan menghargai pengorbanan tokoh dan menyayangi negara Malaysia.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan sifat seterusnya, iaitu generasi pelapis tidak jemu menimba ilmu. Sifat ini amat mustahak dan diperlukan dalam diri generasi pelapis agar berdaya maju dan tidak ketinggalan zaman. Memetik kata-kata hikmat yang dikatakan "Barang siapa yang tidak mahu menuntut ilmu, jiwanya umpama lampu yang kehabisan minyak, makin lama makin malap dan kemudian menjadi gelap". Oleh sebab itu, ilmu haruslah ditimba kerana merupakan harta yang kekal abadi. Ilmu dapat meningkatkan kebijaksanaan dan reputasi seseorang serta dipandang tinggi dalam khalayak ramai. Generasi muda haruslah sentiasa bermotivasi menimba ilmu dalam pelbagai bidang agar memanfaatkan ilmu untuk kebaikan dan kemajuan negara. Hal ini dapat meningkatkan status negara di persada dunia dan mampu berdaya saing dengan negara maju. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa generasi pelapis perlulah memiliki ciri-ciri tidak jemu menimba ilmu seperti yang diperlukan oleh negara kita.

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa generasi pelapis wajarlah melengkapkan diri dengan sifat-sifat menerima pendapat orang lain, berkemahiran tinggi, menghormati tokoh perjuangan terdahulu dan tidak jemu menimba ilmu. Selain itu, mereka perlu mempunyai perwatakan yang mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam pergaulan seharian untuk melahirkan insan yang berbudi pekerti dan bersahsiah. Masyarakat, guru-guru, ibu-bapa, media massa, pihak kerajaan dan individu sendiri berperanan untuk menasihati, mendidik, menjadi suri teladan menyiarkan iklan-iklan atau rancangan televisyen yang berkaitan dengan sifat-sifat mulia, mengadakan kempen, program atau pertandingan dan individu tersebut sentiasa bersedia memperbaiki kelemahan diri. Generasi Muda Peneraju Wawasan dan Generasi Muda Wawasan Bangsa, dengan ini, marilah kita merealisasikan wawasan negara untuk melahirkan generasi pelapis yang bersifat mulia dan seterusnya memajukan negara.

Word Count: 745                          Markah: 28/30                                                   Date: 23/10/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya