Karangan Bahagian B Peranan Ahli Keluarga dalam Merealisasikan Institusi Keluarga Bahagia

  Saban hari, cuping telinga kita dihidangkan oleh media massa tentang kes-kes rumah tangga yang menjadi porak-peranda sehingga mengakibatkan penderaan, penceraian dan pergaduhan antara ahli keluarga. Ahli-ahli keluarga ini sering hidup dalam ketakutan, kebimbangan dan kemurungan kerana keadaan rumah tidak pernah sejahtera. Anak-anak kecil khususnya yang mengalami suasana sebegini akan mengalami tekanan jiwa dan mental. Mereka akan sentiasa memikir sama ada mereka sendiri merupakan punca kepada masalah yang berlaku. Sifat yang tidak mampu menahan tekanan dan konflik ini menyebabkan anak-anak lari dari rumah dan lebih suka bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Dengan ini, timbullah pemikiran bahawa rakan-rakan ini lebih memahami jiwa mereka. Sebenarnya ibu bapa yang merupakan tunjang pemimpin sesebuah keluarga berperanan besar dalam membentuk keluarga bahagia. Yayasan Pembangunan Keluarga juga mewujudkan pelbagai program yang melibatkan ahli keluarga. Ceramah, program motivasi dan aktiviti juga diadakan agar ahli keluarga dapat membentuk peribadi yang mulia di samping meluangkan masa bersama-sama. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Dato' Sri Rohani Abdul Karim juga menyuarakan keprihatinannya dalam usaha meweujudkan keluarga bahagia dalam masyarakat agar melahirkan anak-anak yang membesar dengan sihat dari segi mental dan fizikal. Oleh hal yang demikian, ahli keluarga yang terdekat perlulah menunjukkan komitmen untuk membentuk keluarga yang bahagia. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk menelusuri peranan dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam merealisasikan harapan ini.

  Umum mengetahui bahawa bapa yang bertindak sebagai ketua keluarga memainkan peranan yang vital dalam mewujudkan keluarga bahagia. Seorang bapa hendaklah mencurahkan kasih sayang, belas kasihan dan kesanggupan untuk berkorban demi keluarga tersayang. Bapa wajar memberikan bimbingan, didikan dan pelajaran kepada setiap anggota keluarga. Mereka harus membantu dalam pelajaran anak-anak dan mengambil berat terhadap persekolahan mereka. Segala pertanyaan hendaklah dijawab dengan sopan dan lemah lembut agar tidak menimbul konflik dalam diri anak-anak yang mudah terpengaruh ileh emosi orang dewasa. Selain itu, mereka patut melindungi keluarga daripada segala ancaman dan sentiasa memastikan keselamatan ahli keluarga. Mereka bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga mengikut kemampuan seperti makan, minum, pakaian, perubatan dan tempat tinggal yang sesuai. Mereka harus rajin mencari rezeki untuk keperluan ahli keluarga. Seterusnya, jikalau anak-anak melakukan kesalahan mereka mestilah berlaku adil dengan memberikan hukuman yang setimpalnya terhadap kesalahan yang dilakukan untuk menginsafi perbuatan mereka. Hukuman ini perlulah mengenal batasnya agar tidak menimbulkan sebarang keganasan yang mencederakan anak-anak dan mengakibatkan porak-peranda. Selaku suami terhadap isteri mereka, tempat perlindungan wajar disediakan. Nafkah yang selayaknya juga perlu diberikan kepada isteri untuk memelihara keadaan rumah. Seorang suami perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada isterinya dan menghormati hak isteri dalam mengendalikan hartanya. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa memang terdapat banyak peranan dan tanggungjawab yang harus dilunaskan dalam melahirkan keluarga yang bahagia.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa seorang ibu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab yang ketara. Seseorang ibu perlu sentiasa mengamalkan nilai-nilai kasih sayang terhadap ahli keluarganya. Mereka hendaklah menjaga kebersihan diri, keluarga dan persekitaran  untuk keselesaan hidup. Selain itu, ibu harus mendidik dan mengasuh anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak pemikirannya masih mentah tidak mampu membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Oleh itu, didikan agama dan moral yang didedahkan sejak kecil lagi dapat melentur mereka agar membezakan baik dan buruk dan seterusnya menjadi seirang yang berperibadi mulia. Seseorang ibu juga harus prihatin dalam masalah anak-anak dan harus menjadi seorang pendengar baik. Mereka haruslah menghulurkan bantuan dan mencari inisiatif dalam menyelesaikan masalah mereka. Seseorang ibu juga harus pandai menguruskan hal ehwal rumah tangga agar rumah sentiasa dalam keadaan tersusun dan rapi. Mereka juga dikehendaki melayan suami suami dan anak-anak. Sejajar dengan itu, sebagai seseorang isteri yang bertanggungjawab, mereka seyogianya patuh, tatat dan menghormati suami. Mereka harus jujur, ikhlas dan amanah dalam mamikul tugas. Mereka juga mesti menjaga keperibadian diri, tutur kata dan tingkah laku agar tidak menjatuhkan maruah dan mengaibkan keluarga. Harta suami juga hendaklah dijaga dengan baik dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada suami. Seseorang ibu juga seharusnya memantau pergaulan anak-anaknya dengan kawan-kawannya agar tidak terjebak dalam gejala sosial. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa ibu berperanan penting dalam mewujudkan keluarga yang bahagia.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa cara lain yang agak jelas ialah peranan abang dan kakak dalam membentuk keluarga bahagia. Abang dan kakak menjadi pengganti tugas ibu bapa semasa ketiadaan mereka. Abang dan kakak yang merupakan anak sulung dalam keluarga hendaklah bertolak ansur antara adik-beradik dan mengelakkan pergaduhan. Mereka haruslah menghormati hak adik-adik dan anggota keluarga yang lain dan menghormati privasi mereka. Mereka juga bertanggungjawab belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan dalam hidup supaya menjadi entiti mithali terhadap adik-adik mereka. Dengan ini, mereka dapat mendorong adik-adik agar mengikut jejak abang dan kakak. Selaku abang atau kakak, mereka harus sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan keluarga. Mereka juga wajar bersikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menyelesaikan tugasan harian rumah dan menjafa adik yang masih kecil. Mereka perlulah sentiasa menggembirakan ibu bapa dan mengurangkan kerunsingan mereka. Mereka juga haruslah menjadi seorang insan yang berdisiplin dan tidak menimbulkan masalah sama ada di rumah atau sekolah. Mereka perlulah pandai memilih kawan dan mengelakkan diri daripada gejala sosial seperti menghisap dadah, merempit, melepak, ponteng sekolah dan merosakkan harta benda awam. Abang dan kakak berperanan juga untuk menjaga kebajikan ibu bapa setelah mereka tua. Mereka wajar memberikan nafkah yang secukupnya kepada kedua-dua ibu bapa agar dapat menerusi kehidupan dengan selesa. Mereka juga harus melibatkan diri dalam aktiviti keluarga ketika berkelah, bersiar-siar atau melancong dan menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota keluarga. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa abang dan kakak memainkan peranan penting dalam merealisasikan keluarga yang bahagia.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan peranan ahli keluarga seterusnya, iaitu adik. Adik merupakan anggota yang paling kecil dalam keluarga. Oleh sebab usianya yang paling muda, mereka boleh membantu melakukan kerja rumah yang ringan agar melaksanakan tanggungjawab dalam keluarga. Adik boleh melakukan kerja rumah seperti mengemas bilik tidur, menyapu lantai, membuang sampah dan lain-lain supaya dapat meringankan beban ibu bapa. Mereka juga wajar dididik supaya menghormati orang yang lebih tua seperti ibu bapa, datuk dan nenek, abang dan kakak. Adik harus belajar untuk bertutur dengan sopan dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Mereka juga hendaklah meminta bantuan dengan cara yang baik dan tudak mengakibatkan kekacauan. Adik juga perlu bijak dalam menguruskan diri sendiri dan menjaga kebersihan. Ibu bapa atau abang kakak harus mengajarnya supaya berdikari. Adik juga perlulah pandai menguruskan masa dan tidak terlalu asyik bermain permainan video, menonton rancangan televisyen dan menggunakan telefon bimbit kerana perbuatan ini akan membazirkan masa. Mereka haruslah bijak merancang waktu pembelajaran dan mengurangkan waktu bermain. Nasihat orang yang lebih tua hendaklah dijadikan pedoman hidup seperti pepatah Inggeris yang berbunyi jika kamu tua berilah nasihat dan jika kamu muda terimalah nasihat. Oleh hal yang demikian, adik perlulah berpegang teguh pada ajaran agama yang menghalang sebarang perbuatan negatif yang akan merosakkan masa depan adik. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa adik juga memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga yang aman damai.

  Dalam pada itu, suatu hakikat yang wajar diterima ialah peranan datuk dan nenek dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Datuk dan nenek merupakan insan yang telah mengalami banyak dugaan dan cabaran hidup sebelim kita dilahirkan. Mereka telah menempuhi banyak asam garam hidup dan makan lebih banyak garam daripada kita makan nasi. Datuk dan nenek haruslah menjadi orang yang perlu dihargai kerana merupakan sumber nasihat dan pengajaran yang terdekat yang mampu diperoleh untuk mengelakkan daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan pada waktu lepas. Mereka mampu mendorong kita ke aah yang betul dengan menasihati kita. Di samping itu, datuk dan nenek boleh memberikan kita pantang larang dan adat resam yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Nilai-nilai murni dan budaya ketimuran hendaklah didedahkan dengan acap kali agar tidak melupakan identiti diri. Kita juga hendaklah mempunyai jati diri yang kukuh dan mewarisi budaya kaum sendiri. Sejajar dengan itu, datuk dan nenek hendaklah mengambil berat terhadap anggota keluarga dan membantu melakukan kerja rumah yang sesuai. Mereka juga boleh membantu menjaga anak-anak semasa kecil dan mengasuh mereka. Datuk dan nenek boleh menjaga hubungan antara ahli keluarga dengan melakukan aktiviti keluarga bersama-sama seperti menyambut hari jadi, bersiar-siar, melancong, menghadiri program dan sebagainya. Mereka juga patut berfikiran terbuka dengan pendapat masyarakat kini yang bersifat moden agar tidak menimbulkan masalah. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan datuk dan nenek amat mustahak dalam membentuk keluarga yang bahagia.

  Sebagai penghias bicara akhir ingin saya tegaskan bahawa setiap anggota keluarga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Memetik kata-kata mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, kewujudan keluarga penyayang menyebabkan seseorang anggota keluarga tersebut akan berasa lebih senang menghabiskan masa lapangnya di rumah. Oleh sebab itu, setiap anggota keluarga haruslah mencurahkan kasih sayang seperti ibu bapa yang membesarkan kita bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa haruslah memperlahankan jejak langkah dan tidak terlalu mengejar kerjaya sehingga mengabaikan anak-anak yang tersayang, ibarat kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan. Tingkah laku mereka juga patut dijaga kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi? Aspek ini penting untuk mengelakkan anak-anak yang belum keras ubun-ubunnya daripada melangkah ke jalan fitnah. Anak-anak perlulah ditanam uswah hasanah agar tidak menconteng arang terhadap maruah diri dan keluarga. Dengan ini, sinergi setiap anggota keluarga perlu digabung umpama sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk agar dapat mendorong masyarakat mengalami anjakan paradigma. Untuk melahirkan keluarga bahagia, kita perlulah meneliti ke akar umbi dan mencari inisiatif kerana tiada kusut yang tidak boleh dileraikan dan tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Maka, biarlah mataharu terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang dengan mewujudkan keluarga bahagia dalam kalangan masyarakat.

Burung merpati terbang merata, 
           Terbang bersama anak-anaknya, 
  Keluarga bahagia idaman kita, 
           Marilah kita merealisasikannya. 

Word Count: 1587                      Markah: 88/100                                                   Date: 31/8/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

  1. terima kasih... sangat membantu

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih..ia sangat membantu untuk saya nak buat karangan 💯

    ReplyDelete
  4. Terima kasih sangat membantu ..🥰

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya