Karangan Bahagian B Cara-cara Memperkukuh Perpaduan Kaum di Malaysia

      Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui banyak pengalaman pahit. Bermula dengan penjajahan Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Jepun, kemudian Inggeris semula, pengalaman dijajah tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat 'Merdeka' pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan yang telah diingini selama ini. Namun, peristiwa 13 Mei 1969 yang berlaku selepas kemerdekaan negara telah menyebabkan rusuhan kaum antara kaum Cina dan kaum India. Tragedi tersebut juga telah menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda. Pilihan raya umum 1969 menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang telah memecahbelahkan kaum Cina dan kaum Melayu. Hal ini juga menyebabkan persekitaran tidak aman dengan hasad dengki antara kaum. Unsur penting dalam pemulihan keadaan ini hanyalah dengan perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana cerai-berai ini tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat malah memberi anasir-anasir luar peluang untuk membawa kesempatan terhadap negara kita. Oleh hal yang demikian, perpaduan kaum yang telah dikecapi selama ini perlu diperkukuhkan lagi untuk mengelakkan perkara sebegini berulang lagi. Perdana Menteri negara kita, Datuk Seri Mohd bin Abdul Razak juga mengambil pelbagai inisiatif untuk menjamin kestabilan tanah air kita. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah efisien yang boleh disegerakan.

      Umum mengetahui bahawa usaha yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu dengan peranan ahli keluarga untuk memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia. Ibu bapa sering menjadi suri teladan anak-anak sejak awal usia lagi. Merekalah yang memberi impak kepada pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak. Segala kelakuan diperhatikan oleh anak-anak, fenomana ini dikatakan anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Maka, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak perkara yang elok agar generasi muda ini mempunyai budi pekerti yang mulia. Ibu bapa wajar memiliki hati yang terbuka dan menggalakkan anak watan bergaul dengan orang lain tanpa mengira bangsa, agama, kaum, bahasa atau warna kulit mereka. Sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali juga mampu diraikan bersama-sama rakan ataupun jiran yang berlainan kaum dan agama. Hal ini bukan sahaja membolehkan pemuda pemudi mengenali adat resam, makanan dan tradisi perayaan kaum lain, malah dapat mengeratkan hubungan dan mengikis sebarang prasangka buruk. Perpaduan kaum akan terbentuk hasil daripada sikap hormat-menghormati antara kaum. Selain itu, ibu bapa wajar membawa anak-anak meraikan hari kemerdekaan di Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan. Bendera Jalur Gemilang perlu dikibarkan untuk menunjukkan rasa cinta akan tanah air dan menyambutnya bersama-sama rakyat berbilang kaum.

      Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kaedah yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu dengan peranan pihak sekolah. Sekolah kebangsaan ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum untuk menuntut ilmu di bawah satu bumbung. Sukatan pelajaran dan sistem pendidikan yang seiras mampu menyatukan rakyat dengan pembelajaran subjek dalam bahasa yang sama. Rentetan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewajibkan setiap murid menyertai aktiviti kokurikulum, setiap satu daripada kelab atau persatuan, sukan atau permainan dan badan beruniform yang terdapat di sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat melatih murid agar lebih aktif malah memupuk sikap kerjasama antara murid dan mengikis sebarang isu perkauman. Di samping itu, aktiviti gotong-royong yang dilakukan di sekolah juga menyumbang kepada perpaduan kaum. Hal ini berlaku kerana pelajar pelbagai kaum menyumbangkan sedikit sebanyak tenaga dalam menjayakan pembersihan persekitaran sekolah. Guru-guru serta murid-murid akan menggembleng kudrat dalam proses melakukan aktiviti weharima. Lain daripada itu, guru-guru yang mengajar mata pelajaran Moral, Sivik dan Sejarah memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar nilai-nilai murni dan menegaskan betapa pentingnya perpaduan kaum. Keperluan kelulusan mata pelajaran Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia juga diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia agar sijil diperoleh. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa pihak sekolah memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan remaja.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa cara lain yang agak jelas ialah peranan masyarakat dalam strategi memperkukuh perpaduan kaum. Penduduk sesebuah kawasan petempatan boleh menubuhkan Rukun Tetangga. Kumpulan ini akan terdiri daripada penduduk berbilang bangsa sesebuah kawasan kejiranan dan meronda pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan tersebut. Dalam konteks ini, masyarakat akan bekerjasama dalam menjalankan tugas mereka. Selain itu, remaja yang berumur 18 tahun akan dipilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). PLKN menawarkan siri latihan membina tahap mental dan fizikal seseorang remaja di samping bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan mereka. Generasi muda ini akan sentiasa siap siaga berkhidmat untuk negara, mengukuhkan pembinaan sahsiah diri dan memupuk integrasi nasional. Seterusnya, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) juga membantu dalam memupuk perpaduan. Persatuan ini merupakan persatuan sukarelawan di Malaysia yang ditugaskan untuk membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan negara. Dengan ini, rakyat pelbagai kaum akan bersatu padu dengan penyertaan mereka dalam persatuan ini. Sebagai rakyat negara Malaysia, kita perlulah menyokong segala usaha atau dasar kerajaan untuk kebaikan kita. Segala yang dilaksanakan pasti ada kepentingannya. Kita tidak seharusnya memburuk-burukkan kerajaan sebaliknya patut menghargai tindakan yang dilakukan.
 
      Pada hemat saya, scenario tersebut dapat juga dikaitkan dengan prakarsa seterusnya, iaitu peranan media massa. Rancangan yang disiarkan pada kaca televisyen bolehlah berunsur patriotik agar dapat memupuk semangat cinta akan negara. Filem tentang cerita Leftenan Adnan boleh disiarkan supaya rakyat negara kita mengetahui tentang perjuangan beliau demi tanah air kita. Dokumentari yang berunsurkan patriotism boleh disiarkan. Hal ini boleh  menarik minat orang ramai untuk melihat sejarah dan perkara yang berlaku di negara kita serta memahaminya dengan lebih mendalam. Pendekatan ini telah pun dimulakan oleh saluran Astro History yang sering memaparkan sejarah negara kita. Rentetan itu, program yang menyiarkan tentang budaya sesuatu kaum mampu memupuk perpaduan. Rakyat yang menontonnya dapat mengenali adat resam dan budaya sesuatu etnik. Secara tidak langsung, seseorang itu akan menyelami dan memahami unsur kebudayaan sesuatu kaum serta menghormatinya. Rancangan hiburan atau drama boleh menekankan unsur perpaduan dengan mengambil pelakon pelbagai kaum seperti yang wujud di Malaysia. Contohnya rancangan hiburan seperti “Geng Bas Sekolah” dan “Waktu Rehat” memaparkan sekumpulan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dan aktiviti mereka bersama di sekolah. Selain itu, iklan-iklan dan kempen yang mempunyai elemen perpaduan boleh disiarkan sentiasa untuk menyemarakkan semangat perpaduan antara rakyat di Malaysia. Dengan ini, jelaslah bahawa media massa memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat.

      Suatu hakikat yang wajar diterima ialah peranan kerajaan. Perdana Menteri Negara kita telah pun menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Hal ini demikian kerana Bahasa Melayu senang dipelajari dan ditutur. Ia juga dijadikan media penghubung pelbagai kaum di negara kita dengan berkomunikasi dalam satu bahasa. Semua rakyat Malaysia juga wajar mempelajarinya di sekolah-sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia juga memandang tinggi terhadap perkara ini dan menjadikannya sebagai salah satu subjek yang wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kerajaan juga menubuhkan sekolah kebangsaan sebagai cara untuk menyatupadukan rakyat. Hal ini demikian kerana sekolah-sekolah vernakular yang berasaskan perkauman tidak mampu menjalinkan hubungan yang mesra antara kaum. Pelajar juga mempelajari bahasa ibunda yang tersendiri dan hanya bergaul dengan rakan yang sama warna kulit. Dengan ini, timbullah perkauman yang tebal dalam diri mereka. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar perlu mengambil inisiatif untuk belajar di sekolah kebangsaan agar dapat bergaul dengan rakan yang berbeza kaum. Di samping itu, Perdana Menteri negara kita mengambil strategi menjalankan program rumah terbuka. Rakyat dapat menjamu makanan istimewa sesuatu kaum yang meraikan perayaan masing-masing. Mereka akan berkumpul dan berbual-bual sambil menjamu makanan dan ini mampu menjalinkan hubungan mesra antara mereka. Mereka akan lebih menghormati pihak lain dan seterusnya mewujudkan keharmonian dan keamanan tanah air yang tercinta ini. 

      Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, ternyatalah bahawa terdapat banyak pendekatan dalam mewujudkan perpaduan di negara Malaysia. Perpaduan itu penting dalam menjamin keamanan dan keharmonian sesebuah negara. Ia juga membantu dalam pembangunan dan pemodenan dengan kerjasama semua rakyat. Perpaduan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia, memajukan ekonomi dan meningkatkan kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini desebabkan perpaduan yang wujud akan menjamin keselamatan pelancong asing. Sekiranya kita tidak memupuk perpaduan kaum, implikasinya tidak dapat dibayangkan. Rakyat akan sering membangkitkan isu perkauman yang menyebabkan rusuhan dan perbalahan antara kaum. Peperangan juga mungkin berlaku dalam negara antara rakyat berbeza kaum. Hal ini akan menyebabkan rakyat lain hidup dalam ketakutan dan keadaan ini akan bagaikan mimpi ngeri bagi mereka. Kematian juga akan berlaku dan keadaan menjadi porak-peranda. Rakyat dari luar negara pula akan memandang serong terhadap negara kita dan memberi tanggapan negatif. Adakah kita ingin melihat tragedi 13 Mei 1969 berulang semula yang menyebabkan pertumpahan darah? Sanggupkah kita menjejaskan maruah dan imej negara kita di mata orang lain? Oleh hal yang demikian, perpaduan kaum perlulah dijalin untuk kebaikan semua pihak dan mencapai wawasan 2020 yang bermatlamatkan negara kita mencapai kemajuan seperti negara lain. 

Word count: 1383            Markah: 82/100                        Date: 13/2/15

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)     

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya