Karangan Bahagian A Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional


      Dalam menempuhi kehidupan era milenium yang penuh kontroversi ini, permainan tradisional kian dipandang sepi dalam penghuni bentala. Fenomena ini sering menjadi mauduk bicara komuniti madani yang telah melalui anjakan paradigma dalam kehidupan. Lebih menarik lagi, isu yang meruntun jiwa dan minda ini turut disiarkan di dada akhbar untuk tatapan umum. Persoalannya, adakah kita bersedia menghadapi kekangan yang melanda generasi kini? Oleh hal yang demikian, lapangkan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah pragmatik yang boleh disegerakan untuk memartabatkan permainan tradisional.

      Umum mengetahui bahawa cara yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu sokongan daripada ibu bapa. Ibu bapa menjadi entiti mithali kepada anak-anak dan memberi impak yang besar dalam kehidupan mereka. Ibu bapa boleh mengambil tindakan pertama dengan memperkenalkan permainan tradisional yang pelbagai kepada anak-anak seperti congkak, wau, ting-ting, gasing dan sebagainya. Mereka bolehlah mengajar anak-anak cara untuk bermain dan bermain bersama-sama mereka. Sekiranya anak-anak mempunyai minat dalam permainan tradisional, ibu bapa perlulah memberi sokongan dan menggalakkan mereka meneruskan minat dalam permainan seperti ini. Selain itu, ibu bapa boleh membeli permainan tradisional dan membawa anak-anak ke demonstrasi permainan tradisional. Galakan daripada kedua-kedua orang tua terhadap anak-anak untuk menyertai pertandingan permainan tradisional juga diperlukan untuk memartabatkannya.

      Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kaedah yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu dengan peranan sekolah. Guru-guru di sekolah berperanan dalam memberikan pendedahan awal sejak di bangku sekolah. Pendedahan awal ini dapat dilakukan melalui pengajaran subjek Sivik dalam kelas. Dengan ini, murid-murid akan memahami permainan tradisional pelbagai kaum dan lebih menghargai warisan nenek moyang kita. Seterusnya, kelab permainan tradisional berpotensi untuk ditubuhkan di sekolah untuk membangkitkan minat murid-murid dalam aspek tersebut. Permainan tradisional boleh diselitkan sebagai acara sukan tahunan dan pertandingan juga boleh diadakan untuk permainan tradisional di peringkat sekolah agar warisan ini sentiasa dalam sanubari nadi suria. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa pihak sekolah menyumbang dalam mempopularkan permainan tradisional. 

      Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa usaha lain yang agak jelas ialah kempen yang diadakan oleh pihak kerajaan. Kempen-kempen yang berkaitan dengan permainan tradisional perlulah dilakukan secara berterusan melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik dan bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Dengan hanya berbuat demikian, peringatan yang hendak disampaikan kepada orang ramai tentang permainan tradisional yang semakin dipinggirkan mampu mencapai mereka. Di samping itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara boleh melakukan demonstrasi permainan tradisional di tempat awam agar mendapat perhatian masyarakat. Rakan Seni Budaya dalam Program Rakan Muda yang dilancarkan sebelum ini juga bertujuan mengamalkan gaya hidup yang menitikberatkan kebudayaan dan kesenian melalui Kelab Kebudayaan, Persatuan Muzik dan Genderang dan lain-lain. Golongan belia bolehlah menyertai program sedemikian untuk menerapkan nilai murni dalam diri mereka. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah simpulkan bahawa kempen mampu mempopularkan permainan tradisional.    
   
      Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak pendekatan yang mampu diimplementasikan untuk mempopularkan permainan tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Warisan yang tidak ternilai ini wajar dipertahankan sejak dahulu kala. Sokongan padu dan komitmen daripada warga Malaysia amat diperlukan dalam konteks ini demi mencapai tahap keberkesanan yang maksimum. Tanggungjawab untuk memartabatkan permainan tradisional yang dipikul pada masa kini merupakan pemangkin kepada kecemerlangan pada masa hadapan. Jikalau orang ramai tidak menyedari kepentingan perkara ini, maka tidak mustahil generasi seterusnya hanya akan mengetahui warisan sebegini melalui pameran di muzium. Oleh sebab itu, sememangnya diakui bahawa adalah tanggungjawab setiap rakyat untuk memasyhurkan permainan tradisional untuk kebaikan semua pihak.

Word Count: 550                                  Markah: 26/30                                                  Date:5/4/15

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)    

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya