Karangan Bahagian A Kebaikan Internet

      Dalam konteks era pascamoden, dunia dicanangkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat di dalam negara telah menyogokkan gaya hidup baharu serta mengubah cita rasa pengguna. Teknologi maklumat telah menguasai dunia ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat masyarakat akan menggunakan teknologi maklumtat dengan mengawal setiap perkara di hujung jari mereka. Keadaan ini menjadi amat mustahak kepada masyarakat kerana merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari masyarakat. Fenomena ini dapat juga dikaitkan dengan terciptanya rangkaian Internet untuk menyenangkan kehidupan kita. Sesungguhnya, jika direnungkan secara berhemah, rangkaian Internet mendatangkan maslahat terhadap masyarakat dan negara kita. 

  Umum mengetahui bahawa kebaikan perdana yang mampu kita nikmati adalah mencari maklumat. Dalam konteks ini, masyarakat akan menjadi lebih peka dengan perkembangan dan pergolakan di setiap sudut dunia melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat. Hal ini kerana rakyat hanya perlu menaip kata kunci tertentu pada kotak pencarian dan senarai laman web yang berkaitan dengannya akan disenaraikan dengan pantas. Keadaan ini menyenangkan orang ramai kerana hanya dengan membuka rangkaian Internet, maklumat yang berkaitan akan diperoleh dari seluruh dunia. Penerokaan ilmu di ruang siber mampu menambahkan pengetahuan kita tanpa bersusah-payah mencari informasi tertentu di perpustakaan yang mempunyai ribuan buku di atas rak yang banyak. Dengan senario sedemikian, ternyatalah bahawa Internet mampu membenarkan kita mencari maklumat.

      Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa hakikat ini juga menyumbang faedah seterusnya, iaitu memudahkan komunikasi tanpa kos. Dengan teknologi, maklumat dapat disalurkan dengan pantas dengan efisien. Sebagai contoh, dua orang yang berada di tempat yang berbeza dapat berhubung antara satu sama lain dengan adanya rangkaian Internet. Sekiranya mereka mempunyai laman sosial seperti “Facebook”, “Twitter”, “Skype” dan sebagainya, kedua-dua orang tersebut mampu berkomunikasi sesama sendiri dan mengetahui keadaan pihak lain dengan serta-merta. Aplikasi-aplikasi telefon bimbit pula seperti “Line”, “WeChat”, dan “Whatsapp” pula mampu menghubungkan ramai orang tanpa pembayaran wang. Perkhidmatan seperti e-mel dan laman sembang juga merupakan cara untuk berhubung. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan yang boleh mengeratkan hubungan rakyat di seantero dunia ini.

      Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa keistimewaan lain yang agak jelas adalah memudahkan pembayaran bil. Internet menyediakan ruang siber kepada para peniaga yang ingin menjalankan perniagaan secara atas talian dengan menggunakan laman web seperti e-dagang atau perdagangan elektronik. Pembeli yang ingin membeli barang yang diperdagangkan di laman web boleh melakukan pembeliajn di mana-mana dan bila-bila masa. Orang ramai yang ingin melakukan transaksi bil elektrik, internet, air dan telefon juga dapat dibayar melalui atas talian. Keadaan ini menjimatkan masa dan tenaga rakyat kerana tidak perlu keluar dari rumah untuk membuat pembayaran. Mereka juga akan mengelakkan gangguan kesesakan lalu lintas dan cuaca yang buruk.

      Pada hemat saya, realiti tersebut dapat juga dikaitkan dengan manfaat seterusnya, iaitu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Hal ini disebabkan oleh laman-laman web yang menggunakan bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan yang digunakan dalam laman web yang kurang difahami pula boleh dicari melalui aplikasi kamus bahasa Inggeris. Dengan ini, kita tidak perlu membazir masa merujuk kamus yang praktikal dan tebal. Sekiranya kita selalu melayari laman sesawang berbahasa Inggeris, kosa kata kita akan bertambah dan membantu dalam penulisan dan pemahaman. Kita juga mampu bergaul dengan orang lain menggunakan bahasa Inggeris yang mantap dalam kehidupan seharian. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa rangkaian Internet mampu meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

      Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa Internet banyak mendatangkan faedak kepada kita. Sebagai generasi yang berada pada pawana globalisasi yang penuh dengan konkurensi sengit ini, kita sebagai rakyat malaysia tidak harus ketinggalan arus pemodenan dan sebaliknya menguasai teknologi maklumat yang berada di sekitar kita. Teknologi maklumat akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung terhadap Internet. Setiap rakyat bertanggungjawab memanfaatkan setiap penggunaan Internet dan mengelakkan perkara negatif yang akan merosakkan masa dan bangsa tanah air kita. Oleh sebab itu, kita perlu memanfaatkan Internet untuk kepentingan generasi masa kini dan untuk warisan generasi seterusnya yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. 

Word Count: 641                                     Markah: 25/30                                                Date: 25/4/15

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)    

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya