Karangan Bahagian A Tujuan Sambutan Hari Guru (SPM 2015)

  Hari Guru Sedunia jatuh pada 5 Oktober setiap tahun, namun negara kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun yang sama tarikhnya dengan Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu kerana menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tahun 1956. Tema Hari Guru tahun ini ialah “ Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”. (Please change this according to the theme of the year.) Guru merupakan insan mulia yang mengajar dan mendidik murid-muridnya tanpa mengira masa tenaga dan wang ringgit. Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada pelajarnya. Seperti yang kita sedia maklum, Hari Guru disambut setiap tahun di peringkat sekolah dengan meriah oleh murid-murid dan guru-guru. Sesungguhnya, guru haruslah dihargai kerana merupakan pencorak kepada kejayaan pelajar. Maka, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk menelusuri tujuan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah.

  Umum mengetahui bahawa Hari Guru disambut untuk menghargai jasa dan mengenang budi guru yang memberi didikan kepada kita. Jasa guru boleh dibalas melalui ucapan Hari Guru, bersopan santun dan berbudi bahasa semasa bertutur dan menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka. Ucapan yang diberikan yang berpaksikan kepada guru-guru dapat menyedarkan murid tentang pengorbanan mereka dalam menjamin kecemerlangan murid-murid dalam akademik. Murid-murid akan berubah sifat dan tingkah laku agar tidak lagi meyusahkan guru. Penghargaan oleh murid-murid boleh dilakukan dengan sentiasa berdisiplin, mematuhi peraturan, memberi perhatian semasa di kelas dan melakukan kerja rumah guru agar tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap guru. Murid-murid hendaklah menjaga tatasusila dengan tidak meninggikan suara dan menjaga hubungan dengan guru-guru. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa sambutan Hari Guru dapat membenarkan murid-murid menghargai jasa guru.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa tujuan lain yang agak jelas adalah menggalakkan budaya penyayang. Murid-murid boleh mengambil inisiatif dengan membeli hadiah untuk guru-guru sebagai tanda penghargaan terhadap didikan dan asuhan yang diberi sepanjang ini. Hadiah yang diberi tidak perlulah mahal asalkan kita menunjukkan keikhlasan hati. Murid-murid juga patut menziarahi guru-guru di sekolah rendah dan bertanya khabar kepada guru-guru mereka. Hal ini dapat mengekalkan kemesraan di samping mengeratkan lagi ukhuwah sesama guru. Murid-murid akan belajar untuk mengambil berat terhadap guru yang sakit dan membawa buah tangan semasa menziarahi mereka. Murid-murid akan menyayangi guru-guru dan seterusnya berusaha untuk menggembirakan dan membanggakan mereka sentiasa. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa sambutan Hari Guru disambut untuk menggalakkan budaya penyayang dalam kalangan pelajar.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan tujuan seterusnya, iaitu mengeratkan hubungan dengan guru. Sambutan Hari Guru sering dimeriahkan dengan pelbagai acara yang melibatkan penyertaan guru-guru dan murid-murid. Acara seperti tarian, permainan dan pertandingan sukan mampu mencetuskan kerjasama antara guru dengan murid dalam memenangi sesuatu acara. Melalui cara ini, mereka akan lebih saling memahami dan sentiasa bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham. Murid-murid juga boleh mencari alternatif untuk berkomunikasi melalui SMS, internet atau telefon untuk berhubung dengan guru-guru yang telah bersara atau guru-guru sekolah rendah. Frasa “Guru jasamu dikenang, budimu disanjung” jelas menunjukkan bahawa pengorbanan guru akan sentiasa dalam ingatan para pelajarnya. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa silaturahim antara guru dengan murid-murid dapat dipererat lagi dengan acara sambutan yang diadakan pada Hari Guru.

  Sebagai menggulung segala yang dibacarakan, sudah terang lagi bersuluh bahawa memang terdapat banyak tujuan Hari Guru disambut setiap tahun. Guru merupakan insan yang mengajar dan mendorong kita ke arah kebaikan. Mereka diibaratkan lubuk akal lautan ilmu. Pengorbanan guru-guru sukar dibalas walau dengan segunung intan. Hadiah yang paling bermakna bagi membalas jasa guru adalah dengan menjadi murid yang berjaya dalam bidang akademik dan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sebagai anak murid yang mengambil berat terhadap guru-guru, kita perlulah sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Jasa mereka akan berada dalam ingatan kita selalu kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tanpa guru apalah kita? Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama menyambut hari Guru yang bermakna ini.
Ramai orang menanam padi,
               Padi ditanam di dalam paya,
Banyak budi perkara budi,
                         Budimu guru dikenang selamanya.

Word count: 655                  Markah: 29/30            Date: 10/11/15 

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Kepentingan-kepentingan Mengekalkan Budaya Warisan Kaum (SPM 2015)

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia