Karangan Bahagian A Langkah-langkah untuk Mengatasi Masalah Keracunan Makanan di Malaysia

Punca Keracunan Makanan di Malaysia
1. Sisa dan bahan buangan (11.8%)
2. Serangga dan haiwan (11.8%)
3. Bekalan air (5.9%)
4. Manusia (70.5%)

  Dasawarsa ini, kes-kes keracunan makanan masih berlaku di Malaysia. Walaupun kes-kes keracunan tidak hangat diperbual, namun tindakan untuk menghentikan keadaan ini daripada berlaku telah disegerakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia. Jika dilihat secara terperinci dalam isu ini, kita dapat memahami bahawa terdapat banyak punca yang menyambung kepada keracunan makanan dalam masyarakat. Sisa dan bahan buangan serangga dan haiwan, bekalan air yang tercemar dan kelakuan manusia merupakan antara punca-punca yang menyebabkan keracunan makanan berlaku di negara kita. Kesemua ini merupakan tingkah laku manusia yang tidak memastikan kebersihan yang sempurna menyebabkan bakteria membiak di tempat yang kotor. Oleh sebab keadaan sedemikian, maka tindakan dan usaha yang pragmatik dan proaktif perlu diimplementasikan untuk mengatasi masalah keracunan makanan di Malaysia. 

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil iaitu pengusaha makanan perlulah memastikan makanan yang dijual bebas daripada sebarang haiwan perosak dan bakteria. Penjual makanan boleh menutup makanan untuk mengelakkan daripada dihinggapi lalat atau didatangi lipas dan tikus. Makanan yang dijual di tepi jalan akan terdedah kepada partikel udara tercemar yang akan mengotorkan makanan. Oleh itu, makanan seperti ini perlu ditutup sepanjang masa. Pengusaha juga perlu memastikan dapur dan premis sentiasa bersih. Mereka juga perlu memastikan bahan mentah dibersihkan dan disimpan dalam peti sejuk sebelum dimasak. Masakan makanan juga mesti sempurna supaya bakteria dihapuskan. Makanan yang dimasak juga tidak patut ditinggalkan pada suhu bilik melebihi 4 jam kerana akan rosak. Keadaan ini akan menyebabkan keracunan. Selain itu, pengusaha juga harus memastikan mereka membasuh tangan selepas keluar dari tandas agar tidak mencemarkan makanan. Dengan ini, ternyatalah bahawa pengusaha makanan memainkan peranan yang besar dalam menangani masalah keracunan makanan. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kaedah yang lebih efektif perlu diambil, iaitu dengan peranan yang dimainkan oleh masyarakat sendiri. Masyarakat perlulah sentiasa sedar akan kebersihan persekitaran untuk menghindari sebarang penyakit daripada dijangkiti. Masyarakat perlulah bijak semasa membeli makanan di kedai-kedai makanan dengan memilih tempat yang bersih. Mereka wajar membasuh tangan sehingga bersih sebelum menjamu selere agar tidak membawa kotoran kepada makanan. Perkakas dan alatan dapur hendaklah dibersihkan sebelum diguna. Mereka juga perlu melihat tarikh luput makanan supaya tidak mengambil makanan yang telah basi, berkulat dan sebagainya. Masyarakat digalakkan untuk masak makanan sendiri daripada membeli agar kesihatan dan kebersihan dapat dijaga dan mengurangkan kes-kes keracunan makanan daripada berlaku. Dengan berbuat demikian, sememangnya diakui bahawa masyarakat yang mengutamakan kebersihan dapat menjamin diri daripada keracunan makanan. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa prakarsa lain yang agak jelas ialah peranan kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut. Pihak kerajaan merupakan pihak berkuasa yang dapat menilai tahap kebersihan premis makanan secara menyeluruh. Penguatkuasaan undang=undang perlu dilakukan untuk memastikan pengusaha akur dengan peraturan yang diikat. Pemeriksaan rawak patut dija;ankan secara kerap dan laporan tidak perlu ditunggu untuk dikeluarkan laporan atau notis tentang pemeriksaan kebersihan. Hal ini dapat memberi peluang kepada pemeriksa kebersihan untuk menjalankan siasatan. Dengan ini, hukuman seperti denda, mengantung lesen perniagaan dan menyita premis dapat dikenakan terhadap peniaga yang tidak menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan tempat menjual. Maka, seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak kerajaan memainkan peranan yang vital dalam menangani masalah keracunan makanan. 

  Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, jelaslah bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Kekangan ini hanya boleh diatasi dengan gabungan tenaga semua pihak dalam sentiasa memastikan kebersihan. Rakyat perlu menyedari bahawa kebersihan amat penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan bebas daripada penyakit berjangkit oleh haiwan perosak. Alternatif yang dicadangkan hendaklah dilakukan secara berterusan dan bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja untuk mencapai tahap kebersihan yang optimum. Bayangkanlah sekiranya kebersihan diabaikan, haiwan perosak di merata-rata tempat dan rakyat sering mengalami keracunan makanan, hal ini bukan sahaja menyebabkan persekitaran yang kotor, malah menjejaskan nama baik negara di mata dunia. Oleh hal yang demikian, sinergi semua pihak perlu dipupuk bagai aur dengan tebing supaya masyarakat bebas daripada masalah keracunan makanan. 
 
Word Count:                                                 Markah: 28/30                                          Date 4/8/2015

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya