Karangan Bahagian B Laporan Pencemaran Sungai dan Keberkesanan Kempen "Cintai Sungai Kita"

 Andaikan anda wartawan sebuah stesen televisyen penyiaran tempatan. Anda ditugaskan untuk membuat liputan tentang pencemaran sungai dan keberkesanan kempen "Cintai Sungai Kita" yang dilancarkan suatu ketika dahulu. Tulis laporan anda itu selengkapnya. 

  Air merupakan nadi kehidupan manusia. Ia merupakan sumber yang paling berharga bagi semua kehidupan di muka bumi. Air boleh didapati dan 71 peratus daripada muka bumi ini di laut, tasik, sungai, kolam dan paya. Namun, sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang isu pencemaran sungai yang merupakan pembekal air terbesar kepada kita. Masyarakat yang terlalu mengejar kemewahan hidup dan kerjaya masing-masing telah mengabaikan persekitaran dan tidak menyedari akan pencemaran serius yang telah dilakukan. Menurut statistik kajian, Laporan Kualiti Alam 2004 menunjukkan Sungai Pinang di Georgetown, Pulau Pinang merupakan sungai paling kotor dan tercemar sepanjang tahun di Malaysia. Walaupun banyak program pemulihan yang telah digiatkan, tetapi pencemaran teruk sungai tersebut masih tidak mengalami perubahan yang ketara. Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 116 sungai di Malaysia, terdapat 11 sungai yang teruk tercemar, 73 sungai yang tercemar manakala hanya 32 sungai yang dikategorikan pada tahap yang bersih. Kajian ini jelas mempamerkan betapa kotornya sungai kita pada masa kini. Pencemaran sungai juga dibahagikan kepada tiga klasifikasi iaitu secara fizikal, biologi dan kimia. Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran Malaysia (JPS), Dato' Ir.Zainar Rahim bin Ibrahim juga mengatakan rasa kecewanya terhadap pencemaran sungai yang sedang dialami. Kempen "Cintailah Sungai Kita" yang dirasmikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada tahun 1993 diwujudkan selaras dengan keadaan sungai agar pemeliharaan sungai dan kesedaran tentang kepentingan sungai dapat ditingkatkan. Pencemaran sungai seperti isu-isu lain mempunyai punca, kesan dan langkah untuk menanganinya. Maka, kita akan meneliti tentang tiga aspek ini dalam pencemaran sungai dan keberkesanan kempen "Cintailah Sungai Kita".

  Pada realitinya, sungai diancam oleh pelbagai kemusnahan yang berpunca daripada sikap manusia yang tidak prihatin dan bertanggungjawab. Pembuangan sampah ialah penyumbang terbesar kepada pencemaran sungai kerana sikap manusia yang menganggap sungai sebagai tong sampah yang besar. Sampah sarap ini akan menyekat pengaliran air sungai dan apabila ia mereput dan diurai oleh bakteria, maka bau busuk akan dikeluarkan dan air akan berwarna hitam pekat. Reputan oleh bakteria menggunakan oksigen sehingga menggugat hidupan akuatik sungai. Selain itu, kilang-kilang yang tidak mempunyai sistem perangkap dan penapisan yang canggih menyalurkan sisa toksik dan kimia ke dalam sungai. Sisa toksik dan kimia ini menurunkan tahap pH air dan merbahayakan hidupan akuatik dan orang yang minum air dari sungai tercemar. Keasidan air aungai menyebabkan kesihatan terjejas dan paling serius mengakibatkan kematian. Seterusnya, ialah pembalakan hutan di kawasan berhampiran sungai. Pembalakan menyebabkan hutan tidak lagi mampu mencengkam tanah dan hakisan tanah akan berlaku. Hakisan tanah menyebabkan mendapan tanah di bawah sungai dan air sungai melimpah keluar. Hal ini akan menyebabkan banjir kilat semasa hujan lebat di tempat rendah. Di samping itu, pertanian yang menggunakan baja-baja kimia mencemarkan air sungai sekiranya terletak berhampiran. Perlambangan yang melibatkan penggerudian perigi-perigi minyak tidak dapat dihalang risikonya daripada berlaku kebocoran dan pecahan tong minyak kapal-kapal. Sehubungan dengan itu, pembuangan bahan radioaktif ke sungai menyumbang kepada pencemaran sungai. Sungai akan menjadi radioaktif dan menggugat kehidupan manusia dan hidupan di sungai. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa terdapat banyak punca yang menyumbang kepada pencemaran sungai di Malaysia.

  Sebagaimana yang kita ketahui, pencemaran sungai juga memberikan kesan yang ketara dalam pelbagai aspek. Pencemaran sungai akan menambahkan bebanan kerajaan kerana jumlah kos pembersihan yang tinggi. Sebagai analoginya, Sungai Pinang di Georgetown, Pulau Pinang yang panjangnya 3.6km memerlukan kira-kira RM500 juta untuk menjalankan kerja pembersihan. Wang yang diperuntukkan ini telah terlampau tinggi kosnya dan membazirkan sedangkan wang tersebut boleh disalurkan untuk pembangunan negara. Rentetan itu, hidup akuatik terus pupus kerana sampah sarap dan bahan kimia yang dicampakkan ke dalam sungai. Bahan=bahan ini menganggu rantaian dan pokok bakau tidak mempunyai tempat sesuai untuk tumbuh. Air yang tercemar menganggu proses tumbesaran kerana kurangnya bekalan oksigen. Sekiranya tumpahan minyak berlaku, ia akan menambahkan lagi ugutan nyawa hidupan akuatik. Burung yang terkena minyak pula akan sukar terbang dan mati. Spesis haiwan terancam akan pupus seperti penyu. Pembuangan plastik akan meracunkan haiwan sekiranya dihadam kerana menyangkakan itu makanan. Tambahan pula, kesihatan manusia akan diancam dengan penyakit bawaan air seperti cirit-birit, sakit perut dan keracunan makanan sekiranya minuman air sungai tercemar. Pencemaran sungai telah mengurangkan sumber air bersih untuk pertambahan penduduk yang pesat. Penyebaran bakteria, virus dan parasit melalui bahan buangan akan menambahkan kos pemulihan. Lantaran itu, industri pelancongan dan aktiviti rekreasi akan semakin dingin oleh sebab bau yang meloyakan dan air yang menjijikkan. Sungai yang bersih dan jernih tidak lagi dijumpai dan kurang dikunjingi pelancong. Aktiviti seperti berenang, berkayak dan memancing akan hilang fungsinya serta tidak sesuai sebagai tempat menenangkan fikiran dan diri. Oleh hal yang demikian, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa akibat pencemaran sungai adalah serius dan perlu diberi perhatian untuk mengatasi masalah daripada menular. 

  Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakn di atas, pencemaran sungai memang mempunyai penyelesaiannya. Bilangan tong sampah di pusat pengumpulan sampah boleh ditambah supaya masyarakat tidak mempunyai alasan untuk menyatakan bahawa tong sampah jauh dari tempat tinggal mereka. Tong sampah harus diletakkan di tempat yang strategik supaya sampah tidak melimpah. Dengan berbuat demikian, masyarakat tidak akan mencampakkan sampah-sarap ke dalam sungai. Pemasangan perangkap sampah juga adalah pendekatan yang strategik. Perangkap sampah akan memerangkap bahan-bahan buangan yang menyekatnya di sepanjang parit utama dan memudahkan pengurusan penyelenggaraan. Pihak pengurusan kilang yang mengeluarkan sisa toksik perlulah merawat bahan itu terlebih dahulu dan menapis air sebelum dilepaskan ke sungai. Sementelahan itu, sistem perparitan berkala hendaklan diselenggara untuk memastikan sampah sarap tidak menyumbat parit. Dengan ini, penyelenggaraan berkala patut dijalankan 1 atau 2 kali sebulan agar sampah tidak terapung ke sistem saliran utama sungai. Kempen kesedaran mengenai kepentingan sungai perlu disemarakkan melalui media massa. Surat khabar, majalah, dokumentari atau iklan mengenai pemeliharaan sungai wajib digiatkan untuk kesedaran sivik semua pihak. Sikap prihatin dan tanggungjawab perlu ditanam dalam sanubari masyarakt dan sentiasa mengambil berat akan sungai yang berharga. Masyarakat perlu mengikis sifat mementingkan diri dan memikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang dilakukan pada hari ini. Adalah menjadi harapan agar setiap individu mula mencerminkan diri dan memikul tanggungjawab sebagai seorang insan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, sememangnya diakui bahawa cara yang efektif dan efisien dapat membuahkan hasil. 

  Sejajar dengan itu, kita dapat menyaksikan betapa prihatinnya pihak kerajaan dalam isu pencemaran sungai. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merasmikan Kempen "Cintailah Sungai Kita" pada tahun 1993. Objektif kempen tersebut adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam agar mencintai sungai dan alam sekitar untuk kepentingan dalam kehidupan haiwan, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekeliling dan sungai serta meningkatkan pengetahuan dan teknik pengurusan sungai dan kawasan tadahan agensi terlibat. Kempen ini bertujuan untuk mendidik pihak awam dan menonjolkan keadaan kritikal pencemaran sungai. Fasa dimulakan sejak 1993 merangkumi program seperti Sungai Angkat, Pemerhatian Sungai, Pendidikan dan Ceramah, Ekspedisi Sungai, Pengindahan Sungai dan seminar. Program-program ini telah giat dijalankan tetapi tidak mencapai kejayaan yang diingini. Kajian yang dilaksanakan menunjukkan keberkesanan kempen tersebut masih rendah dalam tahap kesedaran sivik untuk memelihara sungai. Masyarakat yang mengenali tentang realiti ini dan mengambil alternatif untuk memelihara sungai hanyalah 30% daripada 8700 orang yang ditanya. Rakyat masih menganggap bahawa sungai ialah tempat yang sesuai bagi membuang sisa dan kumbahan. Selain itu, pada tahun 1992-1993, 27337 tan metrik sampah telah dikutip dari perangkap sampah Sungai Klang yang bersamaan dengan beban 5,000 buah lori sampah. Oleh itu, setiap individu patut menyedari hakikat ini dan melakukan anjakan paradigma untuk membendung pencemaran sungai. Dengan kupasan yang menarik, ternyatalah bahawa Kempen "Cintailah Sungai Kita" masih belum mencapai kejayaannya dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik yang minimum. 

  Secara keseluruhannya, pencemaran sungai berlaku kerana tindakan manusia yang bersikap acuh tidak acuh dan pengabaian mereka terhadap kekotoran yang timbul. Kita sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang berakal telah diberi amanah untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem yang asal selain membangunkan negara. Pembangunan juga harus mengambil kira persekitaran dan tidak mencemarkan sungai yang membekalkan air kepada hidupan muka bumi ini. Seperti yang kita sedia maklum, pencemaran sungai berpunca daripada sampah-sarap, sisa kumbahan kilang, pembalakan, pertanian, perlambangan dan bahan buangan radioaktif. Kesannya pula ialah pertambahan beban kerajaan, kepupusan hidupan akuatik, penjejasan kesihatan, penjejasan industri pelancongan dan aktiviti rekreasi tidak sesuai dijalankan. Langkah-langkah yang boleh diimplementasikan adalah menambahkan bilangan tong sampah, memasang perangkap sampah di sepanjang parit utama, menyelenggara sistem perparitan secara berkala, dan mengadakan kempen kesedaran. Pihak berkuasa mesti melawat kilang-kilang secara mengejut agar tidak mencemar sungai. Mereka yang melanggar undang-undang wajib dikenakan hukuman dan denda di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1997. Lesen perniagaan juga akan ditarik balik jika terus mengingkari undang-undang. Maka, dengan ini, diharapkan setiap individu sentiasa memikir sebelum melakukan sesuatu tindakan dan mengambil kira tentang kesan seperti senario pencemaran sungai. 

Dilaporkan oleh,                                                                                                                   16 OGOS 2015

______________

(Nama anda) 

Wartawan _____,

Petaling Jaya    

Word Count:                                                 Markah: 95/100                                          Date 16/8/2015

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya