Karangan Bahagian A Langkah Melestarikan Permainan Tradisional

Langkah Melestarikan Permainan Tradisional
1. Menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional 
2. Menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong  
3. Permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi 

   Pada era pascamerdeka, dunia dicanangkan oleh teknologi maklumat dan masyarakat terlalu dihidangkan dengan kemodenan hidup. Masyarakat masa kini terlalu mengejar kecanggihan teknologi sehingga telah melupakan identiti diri sendiri. Warisan nenek moyang seperti permainan tradisional merupakan aset yang perlu dihargai dan diwarisi untuk pengetahuan generasi muda. Permainan tradisional pelbagai kaum mempunyai asal usulnya yang cukup menarik dan semuanya dibuat dengan tangan. Masyarakat perlulah mengambil inisiatif untuk mengenali dan memeliharanya dengan mengetahui cara permainan dan pembuatan agar tidak pupus dalam tangan masyarakat sendiri. Masyarakat harus menelusuri permainan tradisional dan memartabatkannya dengan langkah-langkah yang pragmatik untuk melestarikannya seperti yang akan dibincangkan. 

  Sebagaimana yang kita ketahui, pihak kerajaan telah mengambil pendekatan untuk melestarikan permainan tradisional dengan menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional. Pertandingan Layang-Layang Antarabangsa yang diadakan di Johor Bahru telah pun menarik pelancong dari luar negara untuk datang menyaksikan dan melibatkan diri dalam pertandingan tersebut. Peserta-peserta ini masing-masing membawa layang-layang yang melambangkan identiti kaum dan etnik pelbagai masyarakat. Layang-layang ini mempunyai corak yang tersendiri dan berwarna-warni. Masyarakat juga patut memberi sokongan seperti acara ini kerana merupakan tanggungjawab kita untuk menyemarakkan lagi semangat cinta dan berbangga. Pertandingan seperti ini perlulah diadakan secara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan dapat meningkatkan populariti permainan tradisional. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, sememangnya diakui bahawa penganjuran pertandingan-pertandingan permainan tradisional perlu digiatkan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. 

  Sejajar dengan itu, pihak berkenaan boleh menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong. Acara yang bertemakan permainan tradisional dapat mendidik generasi muda untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Kementarian Pelancongan juga wajar menjadikan para remaja sebagai duta kecil untuk memperkenalkan dan memberi penerangan kepada pelancong asing. Pameran, ceramah, kempen dan persembahan dapat dilakukan agar melibatkan masyarakat secara langsung dalam acara seperti ini. Pelancong yang datang menghadirinya juga menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka akan membeli permainan tradisional dan mengajar anak-anak mereka. Keadaan ini seterusnya akan mempopularkan permainan tradisional di mata dunia. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak berwajib mampu memelihara warisan yang tidak ternilai ini. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa kaedah lain yang agak jelas adalah menjadikan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Pertandingan-pertandingan boleh diadakan sejak sekolah rendah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab warisan juga harus ditubuhkan supaya melibatkan pelajar-pelajar untuk lebih menghargai permainan tradisional pelbagai kaum. Mereka akan menjadi mahir dalam cara untuk bermain permainan ini dan bertanding dalam pertandingan yang dianjurkan dalam peringkat sekolah. daerah atau negeri. Aktiviti seperti ini juga menggalakkan murid-murid untuk bekerjasama, mencergaskan badan dan meningkatkan interaksi antara murid-murid. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa aktiviti kokurikulum yang bertemakan permainan tradisional boleh menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat. 

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa memang terdapat banyak prakarsa yang boleh diambil untuk melestarikan permainan tradisional di negara kita. Generasi muda wajar melahirkan minat dan semangat cinta terhadap warisan ini yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Sekiranya kita tidak menerima tanggungjawab ini dan mengembangkannya, siapa lagi yang akan memikul tanggungjawab ini? Adakah kita ingin melihat masyarakat pelbagai kaum pada masa hadapan yang kurangnya pengetahuan tentang permainan tradisional kaum sendiri dan tidak tahu cara permainannya? Permainan tradisional ini mungkin hanya dapat dilihat di muzium untuk penghayatan sahaja. Oleh hal yang demikian, masyarakat seyogianya berganding bahu untuk memelihara dan memartabatkan permainan tradisional agar warisan ini tidak pupus dengan masa. 

Word Count:                                                   Markah: 29/30                                            Date: 25/8/2015 

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya