Karangan Bahagian B Syarahan - Ke Arah Melahirkan Masyarakat yang Berilmu dan Berdisiplin

Anda mengambil bahagian dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda ialah "Ke Arah Melahirkan Masyarakat yang Berilmu dan Berdisiplin". Tulis syarahan anda selengkapnya. 

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Tuhan kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat saya tampil di hadapan hadirin sekalian pada pagi yang berbahagia ini untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk "Ke Arah Melahirkan Masyarakat yang Berilmu dan Berdisiplin". Sebelum saya mengutarakan gagasan idea saya berdasarkan tajuk tersebut, adalah lebih baik jika saya kupas makna tajuk syarahan ini secara ringkas. Perkataan "ke arah" bermaksud berhala atau berhaluan manakala perkataan "melahirkan" ialah "mencambahkan". "Masyarakat" pula bermakna kumpulan manusia yang hidup bersama, "berilmu" membawa maksud berpengetahuan dan perkataan "berdisiplin" ialah patuh pada peraturan. Dengan itu, tajuk syarahan membawa maksud ke arah mencambahkan kumpulan manusia yang berpengatahuan dan patuh pada peraturan. 

Para hadirin yang dikasihi sekalian, 

  Sewaktu komuniti dunia sedang leka mengorak langkah dalam memacu pembangunan, lantaran terlalu dihidangkan dengan kemajuan sains dan teknologi, masyarakat kini telah mengalami anjakan paradigma dan maju mengikut perkembangan dunia. Masyarakat yang sering mengejar kemodenan kehidupan telah menyediakan diri dengan pelbagai ilmu agar dapat menyesuaikan diri dalam komuniti. Namun demikian, masih terdapat golongan masyarakat yang masih mundur dan tidak dapat mengikut jejak negara-negara moden lain menyebabkan mereka buta huruf. Mereka tetap melibatkan diri dalam pekerjaan agar mampu mencari rezeki. Alangkah baiknya jika mereka berilmu, produktiviti mereka akan meningkat dan memajukan negara mereka. Mengambil masyarakat negara kita sebagai analoginya, masyarakat asyik menggunakan telefon bimbit dan tidak mengamalkan budaya membaca. Mereka tidak lagi memberi perhatian terhadap dunia luar. Selain itu, mereka harus mengenai kepentingan berdisiplin agar dapat mencapai kejayaan. Disiplin merupakan elemen manjur dalam meraih kegemilangan dalam hidup. Negara membangun seperti Malaysia amat memerlukan tenaga pekerja yang berilmu dan berdisiplin yang penting untuk menjana ekonomi. Dengan bermatlamatkan cita-cita tersebut, pelbagai pihak telah mengambil tindakan dalam menjayakan tujuan tersebut. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa jauhari mengenal manikam. Oleh hal yang demikian, marilah kita satukan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah realistik yang boleh diimplementasikan dalam membentuk masyarakat berilmu dan berdisiplin. 

  Dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, budaya membaca amatlah digalakkan terhadap masyarakat pelbagai usia. Membaca merupakan amalan berfaedah yang mampu menjana pemikiran dan menukar perspektif minda dalam melihat dunia ini dari sudut yang berbeza. Budaya membaca boleh dimulakan dari rumah dengan ibu bapa menjadi insan yang menggalakkan anak-anak agar membaca buku-buku. Persis kata mutiara, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Anak-anak diibaratkan kain putih dan ibu bapalah yang mencorakannya. Ibu bapa harus memperuntukkan wang dalam membeli buku, majalah atau bahan bacaan ilmiah kepada anak untuk menyuntik semangat dalam diri mereka untuk meminati amalan membaca. Membeli buku juga merupakan pelaburan yang baik kerana kita mendapat banyak manfaat daripadanya. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak ke kedai buku dan pameran atau pesta buku seperti yang dianjurkan di KLCC oleh kedai buku Popular dua bulan lalu. Pesta buku seperti ini merangkumi bahan bacaan yang luas dan baharu yang akan menarik minat anak-anak dengan potongan harga istimewa. Ibu bapa juga boleh menghadiahkan bahan bacaan kepada anak-anak semasa hari jadi atau semasa mendapat keputusan cemerlang. Sebuah bilik di rumah boleh diperuntukkan sebagai perpustakaan mini agar mencambahkan lagi minat dalam membaca anak-anak. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ibu bapa mampu memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang berilmu. 

Hadirin yang dihormati sekalian, 

  Menteri Pendidikan negara kita telah mengambil pendekatan dengan menerapkan ilmu penting kepada pelajar sejak bangku sekolah lagi. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) diadakan agar menggalakkan murid supaya membaca dan membina tabiat serta meningkatkan kualiti prestasi akademik murid-murid di sekolah. Selain itu, pameran buku oleh syarikat penerbitan buku harus diadakan di sekolah secara tahunan dengan memberikan potongan harga istimewa kepada pelajar. Sekolah juga harus mengadakan pertandingan yang berkaitan membaca sempena Bulan Bahasa atau Bulan Membaca untuk menekankan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan. Syarikat penerbitan akhbar pula seperti Berita Harian dan The Star wajar membuat tajaan surat khabar keluaran mereka di sekolah untuk menjadi bahan bacaan atau bahan bantu mengajar kepada guru. Sukatan pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan juga mendidik generasi muda kini untuk menjaga kesihatan tubuh badan dan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang. Kementerian Pendidikan juga mewajibkan setiap pelajar agar menyertai satu sukan dan permainan yang ada di sekolah agar menjadi insan yang seimbang. Seterusnya, untuk menjadi insan yang berwibawa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan masa depan, mereka wajar memegang jawatan ahli jawatankuasa dalam kelas atau dalam persatuan, sukan dan kelab. Peluang ini menyediakan pemuda pemudi dengan ilmu berhadapan dengan dunia luar semasa bekerja. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa sekolah amat penting dalam melahirkan masyarakat berilmu. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa modus operandi lain yang agak jelas ialah dengan kemajuan teknologi yang mampu melahirkan masyarakat yang celik IT. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan sekolah-sekolah di seluruh negara dengan kemudahan internet, komputer dan bahan elektronik yang lain supaya anak watan dapat belajar menggunakan komputer untuk menyiapkan tugasan atau kajian dalam masa yang singkat. Teknologi telah merapatkan jurang digital antara penduduk di seluruh dunia dan maklumat di Internet dapat dikongsi bersama. Ilmu pengetahuan mampu diperoleh dari pelbagai sumber dengan pantas, mudah dan murah. Dengan ini, ilmu dapat ditambah dan melahirkan masyarakat berilmu. Sementelahan itu, teknologi maklumat boleh digunakan untuk menguar-uarkan kempen membaca atau menyiarkan iklan. Kerajaan boleh menubuhkan perpustakaan bergerak agar masyarakat boleh meminjam buku untuk membaca. Ceramah, program, kempen, penyiaran iklan boleh diadakan untuk mendidik masyarakat tentang pelbagai perkara agar menyedarkan mereka dan mempunyai kesedaran sivik. Buku-buku juga boleh didermakan kepada penduduk di pedalaman agar mendapat pendidikan. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa ilmu merupakan medium yang vital bagi seseorang insan agar menyediakan diri pada dunia luar dan mengenali perkara-perkara di sekitar dengan lebih mendalam. Tahap ilmu melambangkan ketamadunan sesebuah negara dan membawa kepada kemajuan dengan lebih pesat. Maka, dengan ini, rakyat perlulah melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu. 

Saudara dan saudari, 

  Masyarakat masa kini sekiranya hanya melengkapi diri dengan ilmu tetapi disiplin akan menyebabkan sesuatu perkara sukar dicapai matlamatnya. Kata-kata hikmat tokoh terkemuka, Cecil B. DeMille ialah "Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang". Namun, tujuan yang dikatakan di sini memerlukan ketekunan, kegigihan, dedikasi dan berdisiplin untuk memastikan kita tidak menyimpang. Disiplin yang bermaksud taat pada peraturan perlulah disemai dalam sanubari setiap rakyat dalam melakukan sesuatu perkara. Ia merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah negara. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sesebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. Bak kata orang tua-tua, "Mengaji dari alif, membilang dari esa, hukan berpokok, dan kata berpangka"jelas menunjukkan bahawa segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul untuk meraih kejayaan kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang". Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada teknik lain yang lebih mujarab yang boleh membantu kita mencapai matlamat kecuali disiplin. Tanpa disiplin hasrat kita akan terbantut, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Oleh itu, kita perlu bermuhasabah diri untuk memilih segala-gala yang baik dan mengetepikan perkara-perkara dangkal. 

  Tokoh-tokoh terkemuka seperti Socrates, Thomas Alva Edison, Steve Jobs, Nicol Ann David telah menunjukkan kejayaan unggul dalam bidang yang diceburi. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia melalui disiplin tinggi. Masyarakat juga patut mempunyai disiplin yang tinggi untuk berjaya. Kita boleh bermula dengan menguruskan masa dan merancang aktiviti harian dengan bijak. Hala tuju dan cita-cita hendaklah dipastikan agar memberi kita motivasi melakukan sesuatu. Sistem belajar juga hendaklah betul bagi seseorang pelajar dengan mengulang kaji pelajaran di bilik yang kondusif dan jauh dari sebarang kekacauan yang akan menganggu tumpuan. Janganlah kita membazir masa dan usia lagi, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu. Masa dan peluang harus kita kejar, persis peribahasa, "meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah jangan ditolak, rezeki harus dituntut". Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, kita perlu menguruskan disiplin dengan cara yang terbaik. Kita boleh menjadikan tokoh-tokoh yang berjaya sebagai panduan untuk menggerakkan kita. Dalam proses memburu kejayaan, kita perlulah menjauhi rakan-rakan dan berwaspada terhadap hiburan yang menganggu atau tidak berfaedah. Sebaliknya, mendampinglah rakan-rakan yang sentiasa berdisiplin dan mempunyai jati diri. Kegiatan maksiat akan sentiasa menunggu untuk menjeratkan kita. Oleh itu, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tanpa disiplin, tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa disiplin teras kejayaan. 

Sidang dewan yang dimuliakan, 

  Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya tegaskan bahawa negara kita telah memberikan pendidikan yang lengkap untuk menyediakan generasi muda kepada dunia yang penuh dengan anak dan duri. Tetapi segala-galanya masih mempunyai ruang yang boleh diperbaiki. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ilmu pelita hidup. Ilmu dapat membantu sesebuah negara maju agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju lain. Peribahasa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" memang menepati keadaan seseorang yang menghargai ilmu pengetahuan dan akan mencari inisiatif untuk mendapatkannya. Ilmu itu memang merupakan ubat yang mujarab yang menaik taraf seseorang kepada kehidupan yang lebih baik. Ilmu itu akan menarik penduduk dari persekitaran yang mundur untuk mengalami perubahan. Untuk memperoleh ilmu, kesabaran dan disiplin perlulah ada dalam seseorang insan. Anak-anak belasan tahun akan mengalami anjakan paradigma sekiranya berjaya dalam hidup. Dalam konteks ini, semua pihak memainkan peranan penting dalam merealisasikan harapan ini. Wawasan 2020 akan dicapai sekiranya semua pihak komited dan menggembleng kudrat dalam proses ini. Sekiranya disiplin itu lenyap dalam masyarakat, bayangkanlah keadaan yang akan berlaku kepada dunia ini. Kejayaan yang diingini akan sentiasa menjadi angan-angan sahaja. Maka, ingatlah bahawa membaca jambatan ilmu. Saya mengakhiri syarahan saya dengan cogan kata "Generasi Berilmu Penjana Kemajuan dan Kemakmuran Negara". Sekian, terima kasih. 

                                                                     Markah: 95/100                                            Tarikh: 6/9/2015 

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya