Karangan Bahagian B Cara-cara Memanfaatkan Usia Ramaja

Berikan pendapat anda tentang cara-cara memanfaatkan usia remaja. 

  Kekuatan remaja kepada negara dapat dikaitkan dengan kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Soekarno, Presiden Indonesia yang pertama, "Berikanlah saya 10 orang belia waja, pasti saya akan gegarkan dunia." Remaja merupakan aset negara yang tidak ternilai harganya yang akan menerajui kepimpinan negara. Kendatipun begitu, seorang tokoh cendekiawan Isalam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya, sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencari hiburan. Gejala sosial juga semakin kronik akibat landaan gelombang globalisasi yang menyebabkan remaja terjajah minda dan budaya. Sikap acuh tidak acuh remaja terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan anak juga menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja di negara kita. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Anak-anak belasan tahun ini hendaklah dididik dengan cara yang efektif agar remaja yang masih mentah dan muda dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya untuk membangunkan negara kita. Remaja perlu didorong ke arah landasan yang betul supaya menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan menyumbang bakti kepada negara. Maka, usaha-usaha yang istiqamah memerlukan obligasi dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk memanfaatkan usia remaja.

  Umum mengetahui bahawa anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya. Ibu bapa wajar menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari remaja sejak kanak-kanak lagi supaya dapat membentuk remaja yang hormat dan taat terhadap anggota keluarga. Remaja perlulah menyedari ibu bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk memastikan kehidupan anak-anak yang sempurna dan selesa. Oleh itu, remaja perlu menyayangi kedua-dua ibu bapa dan membantu meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk, menyidai pakaian dan membantu menjaga adik-beradik yang masih kecil. Remaja harus mengambil berat tentang anggota keluarga dan sentiasa berbual-bual untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Semua anggota keluarga hendaklah mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Selain itu, golongan remaja patut mendengar nasihat daripada orang yang lebih tua supaya dapat membentuk jati diri yang unggul dan seterusnya mampu menangkis sebarang tohmahan. Remaja hendaklah berusaha menjaga imej diri dan maruah keluarga supaya tidak mengecewakan ibu bapa yang semakin uzur. Justeru, remaja perlu sentiasa berusaha meraih kejayaan dalam pelajaran dan berpegang teguh pada ajaran agama supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam kancah maksiat.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa langkah yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu remaja memikul tanggungjawab untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan berperibadi mulia. Golongan remaja hendaklah rajin menuntut ilmu pengetahuan di sekolah supaya mampu memanfaatkannya dalam bidang pekerjaan pada masa hadapan. Bahasa yang dikuasai itu mampu membantu seseorang meningkatkan ilmu berkomunikasi supaya dapat bergaul dengan orang secara elok dan mengelakkan diri daripada menyinggung perasaan orang lain. Di samping itu, pelajar perlu aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang merangkumi badan beruniform, sukan dan permainan serta kelab dan persatuan. Kementerian Pendidikan Malaysia juga mengambil berat terhadap perkembangan fizikal golongan remaja dengan mewajibkan semua pelajar untuk menyertai satu daripada setiap kategori aktiviti kokurikulum. Hal ini dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dan tidak terikat pada perkembangan akademik remaja sahaja. Tambahan pula, remaja hendaklah giat menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan pada peringkat sekolah, negeri ataupun negara supaya dapat melahirkan persaingan yang sihat dalam diri pelajar seperti Pertandingan Saintis Muda dan Pertandingan Robotik. Hal ini juga dapat melahirkan remaja yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif dan mengaplikasikan ilmu tersebut dalam reka cipta. Remaja juga digalakkan menjawat jawatan seperti pengawas, pengawas pusat sumber sekolah, ketua kelas, pengerusi kelab dan sebagainya untuk memupuk kepemimpinan dalam diri mereka dan menjadi seorang yang berdisiplin, berdedikasi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas masing-masing. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa usia remaja mampu dimanfaatkan sekiranya rajin menuntut ilmu pengetahuan dan giat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum supaya perkembangan fizikal dan mental ialah seimbang.

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kaedah yang agak jelas ialah remaja hendaklah memilih rakan sebaya yang baik personalitinya. Pepatah Arab pernah mengungkapkan bahawa jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika kita berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Oleh sebab itu, remaja hendaklah bijak memilih rakan sebaya supaya tidak terlibat dalam kes-kes jenayah. Rakan yang berakhlak mulia mampu mendorong kita ke lembah yang betul dengan melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti menyertai marathon, mengulang kaji bersama-sama dan merupakan orang yang meluahkan isi hati apabila berhadapan dengan masalah. Rakan-rakan yang sihat dan aktif dalam sukan akan mempengaruhi remaja untuk mementingkan kecergasan fizikal dan sentiasa bersenam. Lantaran itu, remaja juga akan sentiasa rajin mengulang kaji pelajaran sekiranya dikelilingi oleh rakan yang cemerlang dalam pelajaran masing-masing. Remaja juga akan bersikap sopan santun apabila bergaul dengan rakan yang hormat-menghormati antara satu sama lain. Remaja akan bersikap lebih terbuka dan menerima perbezaan antara rakan sebaya yang pelbagai dari segi kaum dan agama mereka. Selain itu, mereka akan pandai membezakan dosa dan pahala dengan tidak menimbulkan sebarang masalah disiplin yang akan membimbangkan ibu bapa dan menjatuhkan imej sendiri. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa remaja hendaklah bijak memilih rakan sebaya supaya usia remaja dapat dimanfaatkan dengan melaksanakan aktiviti yang bermanfaat.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan pendekatan yang seterusnya, iaitu melalui pihak masyarakat. Masyarakat boleh melibatkan diri dalam pelbagai kempen atau program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti Program Rumah Terbuka, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan petempatan atau mengadakan kenduri-kendara, Kempen Menanam Pokok, Kempen Derma Darah, Program Cintailah Sungai Kita dan Kempen Kitar Semula. Golongan remaja bolehlah melibatkan diri dalam Program Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh pihak kerajaan setiap tahun untuk meraikan perayaan kaum utama yang terdapat di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Dengan ini, remaja akan mengetahui perayaan kaum lain dan bersikap keterbukaan dalam menerima adat resam, cara hidup dan budaya kaum lain serta menghormati mereka. Selain itu, remaja juga harus bersifat penyayang terhadap alam sekitar dengan menanam pokok bunga di halaman rumah dan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Remaja juga perlu sentiasa prihatin terhadap golongan warga tua, wanita hamil, golongan kurang berupaya dan kanak-kanak. Remaja boleh mendermakan wang, pakaian dan barangan keperluan seharian kepada rumah kebajikan orang tua atau rumah anak-anak yatim supaya sentiasa prihatin dan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Remaja juga bolehlah menyertai kempen derma darah untuk membantu golongan yang sakit tenat di hospital supaya mampu menyelamatkan mereka. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa remaja boleh memanfaatkan usia muda mereka dengan giat melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat menyumbang bakti kepada komuniti kita.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa kegiatan aktiviti pada peringkat negara. Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos pada setiap tahun melibatkan warganegara Malaysia dari seluruh negara yang menyambutnya dengan meriah dan bersemangat patriotik. Golongan remaja hendaklah mengambil peluang ini untuk menyaksikan perarakan di Dataran Merdeka yang disambut dengan meriah oleh semua lapisan masyarakat. Hal ini dapay memupuk semengat patriotik yang tinggi dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang menuntut kemerdekaan tanah air kita. Rentetan itu, remaja perlulah melibatkan diri dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, memupuk perpaduan kaum dan menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam sanubari golongan remaja. Seterusrusnya, remaja juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti sukarela seperti membantu mengawal lalu lintas semasa konsert sedang dijalankan, mengagihkan makanan dan minuman semasa hari sukan, membuat kuih atau barangan kraftangan untuk dijual untuk mengumpulkan dana semasa Hari Keluarga sekolah. Selain itu, remaja perlu melancong sama ada di dalam atau di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan terhadap destinasi pelancongan yang bersejarah dan indah. Remaja juga hendaklah rajin membaca surat khabar atau buku-buku supaya dapat mengetahui tentang perkembangan isu semasa dan ilmu pengetahun luar. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa golongan remaja boleh memanfaatkan usia remaja dengan menyertai PLKN, menyambut hari kemerdekaan, melakukan aktiviti sukarela dan melancong. 
  
  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa memang terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan untuk memanfaatkan usia remaja. Golongan remaja yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang hendaklah berusaha untuk melakukan pelbagai perkara yang berfaedah sekiranya mampu. Bak kata pepatah, "masa itu emas". Pepatah Arab pernah mengungkapkan bahawa masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, maka ia pasti akan memancungmu. Oleh sebab itu, golongan remaja tidak sepatutnya membuang masa yang panjang melayari laman web sosial dan berbual kosong sahaja, atau bermain permainan komputer sehinggan lewat malam. Sebaliknya, remaja hendaklah memikul tanggungjawab untuk menjadi lebih berdisiplin dengan mengagihkan masa dengan seimbang antara masa belajar dan masa berehat. Remaja boleh membuat jadual waktu belajar dan mematuhinya supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Remaja perlulah memanfaatkan usia mereka selagi mereka berkemampuan seperti menuntut ilmu pengetahuan dan melakukan perkara seperti menyertai pertandingan atau acara sukan agar tidak mensia-siakan kehidupan mereka ketika mereka seorang remaja. Adakah kita dapat menerima hakikatnya bahawa kita tidak akan mampu melakukan perkara yang remeh dan menyesal pada kemudahan hari kerana kita tidak rajin pada usia remaja? Maka, remaja hendaklah mempunyai anjakan paradigma dan menyahut seruan negara "Remaja Penggerak Wawasan". 

Word Count: 1466                            Markah: 96/100                                                     Date: 16/9/2016

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya