Karangan Bahagian A Kepentingan Semangat Kejiranan

  Malaysia terkenal dengan kaum rakyatnya yang penuh diversiti, bangsa, pakaian tradisi dan makanannya. Namun, semangat kejiranan kurang dipraktikkan di negara kita, khususnya di bandar. Hal ini kerana rakyat masing-masing mempunyai pekerjaan dan sentiasa sibuk sehingga tiada masa menghiraukan jiran sebelah mereka. Hal ini menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur dipraktikkan dan hubungan yang longgar sesama jiran. Walakin pihak kerajaan telah menggiatkan pelbagai usaha untuk memupuk semangat ini dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, namun inisiatif ini tidak kelihatan memberi impak positif yang ketara. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, beliau mengatakan rasa kecewanya tentang semangat kejiranan di Malaysia. Masyarakat sepatutnya sedar betapa pentingnya semangat kejiranan di negara kita. 

  Semangat kejiranan dapat membenarkan masyarakat untuk memupuk semangat bekerjasama. Dengan ini, masyarakat dapat berganding bahu dan sama-sama mengendalikan sesuatu majlis seperti kenduri, perkahwinan dan kenduri kesyukuran. Tugas dapat dibahagikan kepada mereka dan akan menjimatkan masa, kos dan tenaga secara tidak langsung. Bertitik tolak daripada itu, mereka akan berbual-bual dan mengenali jiran mereka masing-masing. Masyarakat juga dapat menghulurkan bantuan kepada jiran yang memerlukan dan perkara ini dapat dilakukan secara gotong-royong. Selain itu, masyarakat akan menggembleng kudrat sekiranya berlakunya kecemasan dan bersatu padu supaya mudah menangani masalah yang dihadapi. Oleh itu, dengan adanya semangat kejiranan masyarakat dapat memupuk persefahaman sesama sendiri dan bersatu padu. 

  Seterusnya, kita dapat menyaksikan betapa pentingnya semangat kejiranan untuk melahirkan semangat kekitaan. Perpaduan amat penting bagi sesebuah negara agar keadaan aman dan stabil. Sekiranya masyarakat mengenali jiran pelbagai kaum, maka mereka akan berinteraksi dan memupuk hubungan silaturahim yang erat dengan menyelami pantang larang, cara hidup, adat dan tradisi kaum lain. Rakyat akan saling membantu untuk menjayakan perayaan dan menghormati identiti kaum jiran. Dalam konteks ini, masyarakat tidak akan menimbulkan masalah perkauman atau isu sensitif yang menggugat hubungan dan keamanan negara serta mengakibatkan huru-hara. Masyarakat tentu tidak menginginkan negara lain memandang serong terhadap negara kita. Maka, dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa semangat kejiranan mempunyai kepentingannya dalam aspek ini.

  Sebagaimana yang kita maklumi, semangat kejiranan mampu melahirkan masyarakat yang harmoni. Sebagai analoginya, jikalau masyarakat tidak mengenali antara satu sama lain, dan berlakunya perselisihan faham antara mereka. Satu pihak tidak bertoleransi dan bertengkar dengan jiran sebelah. Hal ini adalah disebabkan oleh kurangnya bergaul sesama sendiri dan tiada persefahaman. Mereka akan saling berprasangka buruk dan bersifat individualistik sehingga menganggu keharmonian. Oleh itu, masyarakat harus mendekati jiran dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Mereka boleh mengambil inisiatif dengan menyertai Rukun Tetangga yang merupakan kumpulan yang terdiri daripada penduduk sesebuah kawasan petempatan. Mereka akan ditugaskan untuk meronda pada waktu malam untuk mengawasi rumah di samping mengurangkan kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan menggabung tenaga dengan memainkan peranan dan seterusnya hidup secara harmoni.

  Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa semangat kejiranan dapat memudahkan kerajaan melaksanakan program pembangunan. Masyarakat yang hidup bersama secara aman dapat membenarkan kerajaan melakukan pembinaan tanpa tentangan daripada masyarakat. Mereka akan bertoleransi dan menerima tindakan kerajaan secara terbuka. Masyarakat akan bekerjasama dan menyokong usaha kerajaan. Sekiranya tiada kerjasama daripada rakyat, maka tidak hairanlah program yang dijalankan oleh kerajaan akan gagal. Keadaan ini akan menundakan proses pembangunan sebagai negara maju dan memberi impak buruk kepada kita. Adakah kita ingin melihat tanah air musnah di tangan kita sendiri? Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah mengamalkan semangat kejiranan untuk kebaikan semua.

  Walhasil, setiap anggota masyarakat hendaklah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing dan janganlah sesekali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sinergi daripada semua pihak perlu dipupuk umpama sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk bagi membentuk suatu anjakan aradigma yang mementingkan semangat kejiranan. Kita tidak seyogianya bersikap tutup sebelah mata, sebaliknya buka mata, buka minda, buka hati dan kenali diri. Semangat kejiranan wajib disemarakkan dalam kalangan masyarakat dan dimantapkan lagi. Guru-guru, ibu bapa dan pihak kerajaan juga memainkan peranan vital dalam menggiatkan lagi prakarsa dengan memberi didikan, menjadi suri teladan dan mengadakan kempen yang melibatkan masyarakat pelbagai usia dan kaum. Dengan ini, masyarakat dapat menyedari akan kepentingan semangat kejiranan dan bertindak secara glokal. 

Word Count: 656                          Markah: 27/30                                                   Date: 14/8/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :) 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya