Karangan Bahagian B Punca Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin ke Negara ini dan Kesannya kepada Masyarakat dan Negara

  Dalam menempuhi pawana globalisasi yang penuh dengan kokurensi sengit ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, negara kita yang telah mengalami pascamerdeka dibangunkan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain yang maju. Modenisasi negara kita juga dapat meletakkan negara kita mampu menyaing dengan negara yang lain. Kemajuan yang dikejar ini dapat memastikan negara kita tidak ketinggalan daripada arus zaman kini. Rakyat tanah air yang tercinta ini juga akan menikmati keselesaan yang diperoleh daripada modenisasi tersebut. Namun demikian, terdapat negara dalam dunia ini yang tidak mampu mengikuti perkembangan modenisasi dunia yang pesat. Hal ini demikian kerana bilangan rakyat yang terlaly banyak sehinggakan kerajaan tidak berupaya menampung kehidupan mereka yang miskin. Kebanyakan rakyat dalam negara yang mundur pula menganggur disebabkan pentadbiran negara yang tidak cekap. Bilangan ahli keluarga yang banyak pula mendesak mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka. Oleh sebab keadaan sebegini, masyarakat dari negara yang mundur telah mengambil inisiatif untuk datang ke negara jiran yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada mereka. Sebahagian pendatang asing ke negara-negara seperti Malaysia pula tidak mempunyai permit kerja yang mengkategorikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Keadaan sebegini berlaku tentu mempunyai faktornya dan akibatnya pula memberikan kesan kepada negara. Oleh hal yang demikian, lapangkan jiwa dan minda untuk mendalami punca yang munasabah dan kesan yang akan timbul sekiranya senario ini berlaku. 

  Umum mengetahui bahawa sebab perdana yang menyebabkan senario ini ialah peluang pekerjaan yang diperoleh dari negara kita. Negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh dan Filipina mempunyai penduduk yang terlalu ramai sehinggakan kerajaan tidak mampu mengurus kebajikan masyarakatnya dengan baik. Sebagai contoh, penduduk di Indonesia adalah sebanyak 350 juta dan penganggurannya adalah sangat tinggi. Meskipun masyarakatnya berpendidikan, mereka tidak mampu merebut peluang pekerjaan yang terhad di negara sendiri. Apatah lagi penduduk-penduduk yang tidak berpendidikan dan buta huruf, mereka tidak mempunyai sedikit peluang pun untuk mendapatkan kerja. Pengangguran juga menyebabkan penduduk-penduduk yang perlu menampung kos kehidupan seisi keluarga yang miskin terdesak untuk mencari rezeki di tempat lain seperti negara Malaysia. Mereka terpaksa bersusah payah untuk datang ke negara kita untuk mendapatkan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan mereka sendiri dan keluarga. Mereka rela melakukan apa-apa pekerjaan asalkan mendapat gaji. Majikan tempatan pula mengalu-alukan kedatangan mereka ke negara kita disebabkan gaji mereka yang lebih rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Penduduk tempatann mempunyai pilihan yang luas untuk bekerja di sektor yang menawarkan pendapatan yang lumayan, selesa dan tidak membahayakan nyawa. Mereka menolak untuk bekerja di sektor-sektor yang membebankan seperti sekto pertanian, perladangan dan pembinaan. Selain itu, pekerja tempatan yang meminta gaji yang tinggi daripada majikan menyebabkan majikan mengambil pekerja asing untuk bekerja agar tidak berlaku kekosongan dalam sektor-sektor tersebut. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa peluang pekerjaan merupakan faktor penarik pendatang asing tanpa izin datang ke negara kita. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa senario yang berlaku juga disebabkan oleh faktor keadaan negara kita. Negara-negara yang seing berlakunya rusuhan kaum atau mengalami ketidakstabilan politik dan ekonomi manjadi faktor penolak penduduknya untuk meninggalkan negara sendiri. Negara kita yang aman menjadi penarik utama untuk bekerja di sini. Keadaan politik dan ekonomi yang stabil serta penduduk yang bersatu padu menjamin keselesaan pendatang asing tanpa izin ini. Negara kita yang tidak mengalami bencana alam seperti letusan gunung berapi yang berlaku di Indonesia menjadi salah satu punca mereka memilih Malaysia. Seterusnya, budaya dan cara hidup mereka yang sama dengan penduduk negara kita mengakibatkan keinginan mereka untuk bekerja di luar negara, Penduduk negara kita mempunyai budaya yang seiras dengan golongan PATI dari negara asal mereka. Budaya dan cara hidup dari segi makanan, pakaian, tradisi dan bahasa menyumbang kepada sebab-sebab mereka mampu menduduki negara kita sambil membuat kerja di samping bergaul dengan penduduk kita seperti keluarga. Mereka juga tidak akan rasa terasing di negara Malaysia dan menjadikannya seperti berada di negara asal sendiri. Negara Malaysia yang kedudukan geografinya berdekatan dengan negara golongan PATI menyenangkan mereka memasuki sempadan. Mereka mampu datang menaiki bot untuk menyeberangi perairan negara. Hal ini juga disebabkan pemantauan yang kurang ketat kerana sempadan negara mereka yang luas. Struktur geografi yang strategik akan dijadikan tempat persembunyian golongan PATI sebelum keluar ke kota untuk mencari rezeki. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa situasi negara kita menjadi antara alasan golongan PATI datang ke negara kita. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa sesuatu yang berlaku tentu mendatangkan kesan yang baik dan buruk kepada masyarakat dan negara. Namun, kita hanya akan membincangkan tentang kesan negatif golongan PATI terhadap bangsa dan negara kita. Kesannya dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu dari segi politik, ekonomi dan sosial. Impak PATI ini terhadap politik negara adalah seperti keselamatan negara, status kesihatan pendatang asing dan rakyat yang tidak puas hati. Dari aspek keselamatan negara, kadar jenayah mungkin akan meningkat disebabkan pendatang asing tanpa izin yang memasuki negara kita. Golongan ini tidak diketahui latar belakang dan tujuan mereka. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja seandainya mendapat keuntungan yang lumayan. Sekiranya terdapat terlalu banyak pendatang asing di sesuatu tempat, maka penduduk asal negara kita akan khuatiri keselamatan mereka sendiri dan tidak sanggup keluar dari rumah pada waktu malam kerana mungkin menjadi tumpuan penjenayah walaupun berada di negara sendiri. Sementelahan itu, PATI juga tidak diketahuinya status kesihatan mereka kerana datang secara tidak sah. Mereka tidak melalui imigresen yang akan memeriksa tahap kesihatan mereka. Keadaan ini akan menyebabkan pendatang asing yang memiliki penyakit berbahaya seperti AIDS dan HIV untuk merayau di negara kita tanpa diberikan waspada terhadap mereka. Akibatnya, penyakit berjangkit ini akan tersebar kepada rakyat negara kita dan menyebabkan mereka berpenyakit dan menjejaskan kesihatan rakyat. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa PATI mendatangkan kesan dari aspek politik negara. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan akibat seterusnya, iaitu dari segi ekonomi negara. Ketidakseimbangan ekonomi berlaku apabila majikan tempatan mengupah PATI. Pengaliran keluar mata wang negara untuk membayar gaji bulanan pekerja-pekerja ini merugikan negara dari segi tukaran wang asing sebaliknya menguntungkan negara asal pekerja-pekerja asing. Selain itu, masalah pengangguran di negara kita sendiri akan meningkat. Hal ini demikian kerana sikap sesetengah majikan yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan disebabkan kadar upah yang lebih rendah. Sikap majikan yang dikatakan seperti "anak di riba diletakkan, kera di hutan disusui" ini desebabkan pengutamaan terhadap keuntungan tanpa menghiraukan kepentingan penduduk tempatan menyebabkan mereka menganggur. Rakyat Malaysia akan mula memilih golongan PATI yang memerlukan hanya gaji yang rendah untuk dijadikan pekerja sendiri. Rakyat juga akan mula bergantung terhadap golongan PATI untuk menjalankan kerja masing-masing kerana sikap rakyat kita sendiri yang tidak sanggup melakukan kerja yang berat dan terlalu memilih pekerjaan. Kerajaan negara kita juga membelanjakan lebih RM2 juta setahun untuk membiayai makanan PATI dalam tahanan sebelum menghantar mereka balik ke negara asal mereka. Hal ini nescaya akan menjejaskan imbangan pembayaran negara dan seterusnya membantutkan segala usaha kerajaan dalam mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang sewajarnya. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa golongan PATI ini membawa keburukan kepada Malaysia. 

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah kesan kepada masyarakat dan negara dari segi sosial. Golongan PATI mendatangkan masalah perumahan dan setinggan. Oleh sebab kekurangan wang, mereka mendirikan rumah secara haram di kawasan pedalaman. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas seperti sistem pembuangan sampah dan sistem kumbahan. Oleh sebab itu, pencemaran alam sekitar akan tercemar dan kotor disebabkan kebersihan yang tidak dijaga. Akibatnya, penyakit berjangkit dari kekotoran dan pencemaran persekitaran akan berlaku. Pembangunan negara pada masa akan datang juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Rentetan itu, hak rakyat negara kita juga terjejas. Hal ini terjadi kerana pihak majikan lebih menyukai mengupah PATI yang gajinya lebih murah. Keadaan ini menjejaskan peluang pekerjaan rakyat negara kita dan menyebabkan ketidakpuasan hati mereka. Di samping itu, pendatang asing ini juga menggunakan hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan merela. Hospital kerajaan juga akan dipenuhi dengan warga asing manakala hak rakyat asal yang sepatutnya diutamakan tidak diberi perhatian. Rakyat asal Malaysia lama-kelamaan akan merasakan hak asal mereka terjejas. Kes jenayah seperti rompakan, mencuri dan sebagainya akan terjadi untuk membiayai kehidupan diri dan keluarga. Kebanjiran PATI juga menjejaskan kesihatan rakyat sekiranya golongan PATI berpenyakit berjangkit. Justifikasinya, golongan PATI menyumbang kepada kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara dari segi sosial. 

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa kemasukan PATI ke negara ini mempunyai punca yang ketara malah mendatangkan banyak kesan buruk pada waktu panjang kepada warganegara Malaysia. Kesan-kesan dari segi politik, ekonomi dan sosial seperti yang terjadi di negara kita amat memerlukan keprihatinan semua pihak untuk menangani masalah ini. Tanggungjawab yang dipikul pada bahu pihak kerajaan dan rakyat perlulah dijalankan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan negara. Pihak berkuasa mampu mengambil tindakan yang realistik untuk mengawal kemasukan pendatang asing. Penerimaan pekerja asing hendaklah dilakukan dalam sektor-sektor ekonomi yang tidak diminati oleh pekerja tempatan dan mengenakan satu had masa yang membenarkan mereka bekerja di negara ini di samping menjaga hak rakyat negara kita. Tindakan ini dapat mengelakkan mereka daripada berada di tanah air kita terlalu lama dan menganggu kehidupan rakyat. Kerajaan juga perlulah mengetatkan kawalan di pintu masuk negara. Pihak berkuasa mampu memberhentikan pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah. Pengairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut. Dengan ini, ternyatalah bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Walaupun demikian, tindakan dan undang-undang yang tegas perlulah diimplementasikan dengan segera dan bukannya melepaskan batuk di tangga. Rakyat negara kita juga perlulah mengubah sikap dan jangan terlalu memilih kerja. Pekerjaan di sektor-sektor seperti perladangan dan perkilangan perlulah diisi oleh rakyat negara kita sendiri. Kerajaan hendaklah merancang untuk melatih belia dengan pelbagai kemahiran agar pekerja asing tidak lagi dibawa masuk ke negara kita dan kemasukan golongan pendatang asing tanpa izin dibendung. 

Word Count: 1600                          Markah: 82/100                                                   Date: 24/4/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya