Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya

Obesiti atau kegemukan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan amat membimbangkan. Jelaskan keburukan obesiti dan cara-cara mengatasinya. 

  Pada saat kita sibuk merencana kehidupan di dunia yang fana ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, masalah obesiti atau kegemukan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan banyak pihak. Ibu bapa pada masa kini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak mampu menjaga pemakanan kanak-kanak yang menyebabkan mereka tidak mengambil berat terhadap makanan yang diambil. Ibu bapa sering mengambil inisiatif yang mudah dengan membeli makanan di luar yang telah diproses atau mengandungi kandungan minyak, gula dan garam yang tinggi untuk menyelesaikan makanan seharian. Hal ini kerana ibu bapa tidak mempunyai  masa yang mencukupi untuk masak makanan yang berkhasiat di rumah sehingga telah mengabaikan kesihatan kanak-kanak yang masih kecil. Lama-kelamaan kanak-kanak telah mengalami obesiti yang menghantui ibu bapa masing-masing. Berdasarkan Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia, terdapat peningkatan sebanyak 13.6% kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak Penubuhan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (MCOM) telah menunjukkan  kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah obesiti dengan menyebarkan  penerangan dan maklumat serta meningkatkan kesedaran umum mengenai gaya hidup sihat termasuk aspek pemakanan. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, beliau melahirkan kebimbangannya dalam melihat peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan menyeru ibu bapa agar memberi penjagaan yang lebih terhadap pemakanan mereka. Hal ini demikian agar kanak-kanak dapat mencegah keburukan obesiti yang akan menimpa  pada usia yang muda. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa malas berdayung, perahu hanyut dan setiap penyakit ada penawarnya. Oleh hal yang demikian, lapangkan jiwa dan minda untuk merenung keburukan yang akan bercambah jika senario ini berlaku dan langkah yang pragmatik yang boleh disegerakan. 

  Umum mengetahui bahawa kekangan masalah obesiti yang akan berlaku adalah terdedah pada penyakit krinik yang membahayakan nyawa kanak-kanak yang masih kecil. Pengumpulan lemak yang berlebihan pada badan akan meningkatkan tekanan darah kanak-kanak. Hal ini disebabkan oleh arteri yang disumbat dengan lemak menyebabkan jantung perlu mengepam darah dengan lebih kerap. Obesiti juga akan meningkatkan penghidapan diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis. Pengambilan makanan yang mengandungi gula yang banyak akan menyebabkan insulin tidak dapat mengawal kandungan gula dalam darah. Darah akan mengandungi gula yang tinggi dan menyebabkan kerumitan seperti masalah jantung, kehilangan pendengaran, kerumitan pada mata, kaki dan kulit, strok dan hypertensi. Sehubungan dengan itu, arteri yang tersumbat oleh lemak meningkatkan tahap seseorang untuk mengalami serangan jantung. Kanak-kanak juga mungkin mengalami kesukaran bernafas kerana lemak mengelilingi paru-paru mereka. Sakit sendi dan masalah tulang (Arthritis) akan berlaku pada seseorang yang gemuk. Pengumpulan lemak pada badan menyumbang kepada peningkatan berat badan, menyebabkan tekanan berlebihan pada bahagian badan dan mengakibatkan kesakitan pada sendi. Penyakit seterusnya ialah strok yang merupakan kekurangan bekalan darah kerana berlebihan berat badan. Keadaan ini akan menyebabkan kelesuan otot pada sebelah badan, masalah bercakap dan sebelah muka berasa kebas. Selain itu, peningkatan dalam tahap insulin akan menyumbang kepada pertumbuhan tumor tertentu yang meningkatkan risiko penghidapan kanser. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa obesiti mendatangkan banyak penyakit kronik pada badan kita. Kanak-kanak yang mengalami obesiti akan menghadapi risiko menghidapi penyakit ini pada masa akan datang sekiranya gaya hidup mereka tidak berubah. Oleh sebab itu, kanak-kanak perlulah mengawal berat badan mereka dengan menjalani kehidupan yang sihat. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa, senario tersebut menimbulkan rintangan seterusnya iaitu mempunyai masalah psikologi. Kanak-kanak yang gemuk akan mudah dipersendakan oleh rakan-rakan mereka kerana berbeza daripada kanak-kanak yang kurus. Mereka akan diketawakan dan diberi nama yang menyebabkan kanak-kanak yang berlebihan berat ini utnuk melahir tekanan dengan kritikan rakan-rakan mereka. Kanak-kanak yan obesiti ini akan menyepikan diri daripada rakan-rakan lain dan tidak bergaul. Mereka akan berasa malu, rendah diri, menganggap diri mereka tidak menarik dan sentiasa berada dalam dunia sendiri. Kanak-kanak juga mungkin menghidapi masalah psikologi seperti penyakit bulimia nervosa yang dikatakan makan dengan banyak ketika mengalami tekanan dan memuntahkan makanan dengan memasukkan jari ke dalam mulut. Kanak-kanak juga mungkin akan mengikut tindakan orang dewasa yang mengambil pil pelangsingan badan untuk menurunkan berat badan yang berlebihan. Sebaliknya, mereka akan semakin bergantung pada pil tersebut dan menyebabkan mereka terlantar di hospital. Di samping itu, kanak-kanak yang tidak berfikiran matang mungkin cenderung melakukan perkara yang mencederakan diri kerana disisih oleh rakan-rakan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa obesiti akan mendedahkan kanak-kanak kepada masalah psikologi yang tidak diingini. Masalah seperti ini akan berlarutan sehingga dewasa. Oleh sebab itu, kanak-kanak perlulah diambil berat agar sentiasa ceria dan sentiasa bergaul dengan rakan-rajan walaupun kegemukan agar tidak mempunyai masalah seperti yang dinyatakan. 

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kesan negatif yang agak jelas ialah batasan dalam pergerakan fizikal dan sosial. Berat badan yang berlebihan menghalang kanak-kanak daripada melakukan aktiviti seperti berjoging, merenang, dan mengayuh basikal. Mereka akan mudah lesu kerana membawa lemak yang berlebihan dalam badan mereka. Kanak-kanak tidak mampu melakukan aktiviti yang keterlaluan dan cepat letih. Mereka akan kesukaran bernafas dan mungkin menghidapi asma sejak kecil lagi. Oleh sebab itu, mereka akan mengelakkan daripada melakukan senaman dan mengumpul asid laktik yang banyak dalam otot. Mereka akan mempunyai kehidupan ysng pasif dan badan mereka tidak cergas. Kanak-kanak akan mudah terdedah pada penyakit kerana tidak mem[unyai metabolism yang tinggi. Kanak-kanak perempuan pula akan mengalami perubahan hormon sekiranya  obes dan menyebabkan haid datang lebih awal. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak gemuk mempunyai IQ yang lebih rendah daripada kanak-kanak biasa. Lantaran itu, kanak-kanak mempunyai pergaulan sosial yang kecil dan tidka mudah berkawan dengan orang baharu, Hal ini kerana mereka akan berasa rendah diri dengan keadaan fizikal yang tidak menawan dan bimbang jikalau orang lain tidak ambil peduli terhadap mereka. Keadaan ini akan membataskan pergaulan dengan orang lain dan sentiasa melihat berat badan mereka sebagai sesuatu isu yang besar, Kanak-kanak berasa sensitif terhadap kritikan orang lain terhadap diri sendiri dan ini akan mendorong kepada masalah psikologi. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa obesiti akan membataskan pergerakan fizikal dan pergaulan sosial dengan rakan-rakan.  

  Persis kata mutiara buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat. Bidalan ini menunjukkan bahawa setiap masalah pasti mempunyai formula terbaik bagi mengatasinya. Oleh hal yang demikian, masalah obesiti memang mempunyai penyelesaiannya agar kanak-kanak tidak lagi diseksa dengan berat badan yang berlebihan. Pada hemat saya, masalah obesiti dapat dikaitkan dengan usaga mengamalkan diet yang seimbang setiap hari. Kanak-kanak boleh mengurangkan pengambilan makanan berkalori tinggi seperti roti canai, burger, kentang goreng dan kek coklat. Sebaliknya, makanan yang segar dan mengandungi khasiat yang tinggi perlulah diperoleh dengan lebih kerap. Piramid makanan bolehlah dijadikan panduan dengan memperbanyak makanan yang mengandungi kandungan karbohidrat, protin, vitamin dan mineral yang sesuai dengan tubuh badan kanak-kanak. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan memastikan anak makan makanan yang dihidangkan dan tidak membawa kanak-kanak makan lewat malam. Hal ini disebabkan penghadaman tidak akan dilakukan dengan baik jikalau tidur seterusnya. Tenaga ini tidak diperlukan dan akhirnya berkumpul sebagai lemak dalam tubuh badan. Makanan segera seperti McDonalds, KFC, Burger King dan Pizza Hut menyediakan makanan yang mempunyai bahan pengawet, pewarna, gula, garam, minyak dan perasa yang kandungannya tinggi. Makanan ringan juga perlu dielakkan oleh ibu bapa bagi menjamin kesihatan kanak-kanak. Ibu bapa perlulah dididik dan tidak melembutkan hati sekiranya kanak-kanak mempunyai kerenah yang menginginkan mereka membeli makanan seperti ini. Kanak-kanak juga perlulah mendisiplinkan diri dengan memahami keburukannya sekiranya diet yang tidak seimbang berlanjutan. Mereka patut bersikap "makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang" serta hanya mengambil makanan yang mampu dimakan sahaja agar tidak membazir. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa diet yang seimbang merupakan salah satu metodologi yang dapat diimplementasikan dalam kehidupan kanak-kanak berlebihan berat.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah kaedah melakukan senaman yang secukup. Kanak-kanak bolehlah mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam 3 kali seminggu dan 30 minit setiap kali. Aktiviti berjalan kaki cepat, senamrobik, berenang, bermain bola sepak dan sebagainya boleh dilakukan untuk memulakan gaya hidup yang aktif. Kanak-kanak juga digalakkan mengambil tangga dan tidak bergantung pada lif. Aktiviti ini dapat membakar lemak dalam badan sekiranya dilakukan dalam tempoh yang panjang. Ia juga melatih tubuh badan untuk menjadi cergas dan meningkatkan metabolisme badan untuk mengelak daripada dihidapi penyakit. Selain itu, kanak-kanak bolehlah mengenal pasti makanan yang menyebabkan obesiti seperti tekanan perasaan. Mereka haruslah mengawal diri sekiranya mereka makan dengan banyak apabila berasa bosan, mengalami tekanan atau terlihat makan yang enak. Kanak-kanak juga tidak semestinya makan dengan banyak selepas bersenam kerana berpendapat bahawa mereka telah kehilangan tenaga. Kanak-kanak tidak harus bersikap hangat-hangat tahi ayam ketika bersukan. Mereka patut menentukan matlamat dan menuju ke arah tersebut agar dapat menurunkan berat badan. Mereka patutlah berfikiran positif dan yakin terhadap diri sendiri bahawa berat badan merekan akan menjadi yang ideal serta tidak menghiraukan pandangan orang yang sinis. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan dengan memberi galakan dan sokongan moral yang sepatutnya kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh terlibat sama dengan aktiviti anak-anak dengan membawa mereka beriadah dan melakukan aktiviti luar biasa seperti berkayak, "flying fox" dan merentasi hutan untuk menguji ketahanan fizikal. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa senaman mampu membantu menurunkan berat badan dengan membakar kalori yang banyak.

  Sebagai penutup wacana, ingin saya tegaskan bahawa obesiti memang mendatangkan banyak keburukan seperti terdedah kepada penyakit kronik, mengalami masalah psikologi dan membataskan pergerakan fizikal dan sosial. Namun demikian, seperti yang dinyatakan oleh peribahasa hanya jauhari mengenal manikam, segala masalah pasti ada penyelesaiannya, begitu juga dengan masalah obesiti yang dihadapi oleh kalangan kanak-kanak di negara kita. Kanak-kanak yang masih belum berfikiran matang hanya terikut-ikut dengan gerak hati dan perasaan dalaman. Sekiranya kehendak mereka tidak dipenuhi, mereka akan menunjuk perasaan dengan menangis atau menjerit. Mereka tidak mengenal erti "kesihatan" dan hanya mengambil makanan yang mereka berasa sedap dan menggembirakan diri mereka. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap masa depan kanak-kanak yang menjadi tonggak kepimpinan negara kita pada masa hadapan, mereka berperanan mendidik anak-anak dan menyatakan "tidak" pada masa yang betul. Anak-anak harus mengetahui tentang kandungan makanan segera dan makanan ringan dan kesannya jika diambil secara berterusan. Selain itu, guru sekolah, masyarakat, media massa dan pemimpin negara juga wajar mengambil alternatif dengan memberi pendidikan jasmani dan kesihatan, memberi nasihat, menyiarkan iklan tentang gaya hidup sihat dan mengadakan kempen serta ceramah supaya memastikan kanak-kanak Malaysia sedar tentang kesihatan diri sendiri dan melakukan anjakan paradigma ke arah yang sihat. Hal ini juga akan memastikan bahawa negara kita mengurangkan peratusan kanak-kanak yang mengalami obesiti dan membentuk kanak-kanak yang sihat.

Word Count: 1671                          Markah: 88/100                                                   Date: 26/6/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia