Karangan Bahagian B Peranan Ibu Bapa untuk Mengurangkan Masalah Sosial dalam kalangan Remaja

Penglibatan remaja dalam pelbagai masalah sosial mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara. Sebagai ibu bapa, apakah peranan yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja. 

  Remaja yang sedang meningkat usia telah mendedahkan diri dengan dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini. Lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia, ibu bapa perlu mengejar kerjaya masing-masing untuk melunaskan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Namun begitu, segelintir ibu bapa menginginkan kehidupan yang lebih mewah dan lama-kelamaan bersikap materialistik. Mereka sanggup bekerja dari padi hingga malam untuk mencari rezeki dan beranggapan adalah untuk kebaikan masa depan anak kesayangan mereka. Malah, ada juga ibu bapa yang perlu bekerja berjauhan di luar negara sehingga tidak dapat mempedulikan anak mereka. Rentetan itu, ibu bapa ini tidak berpeluang berjumpa dengan anak mereka selama beberapa minggu atau bulan. Oleh sebab itu, anak-anak mereka ini yang belum keras ubun-ubunnya menjadikan peluang ini untuk melakukan segala-galanya yang mereka minati. Wang saku yang diberikan ibu bapa mereka tidak dihargai dan digunakan sewenang-wenangnya terhadap apa-apa yang disukai. Kurangnya perhatian oleh ibu bapa ini tidak mendatangkan kebimbangan yang setimpalnya sehinggalah anak-anak menghadapi malapetaka. Remaja yang masih hijau tidak dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca ini telah menimbulkan pelbagai masalah untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Jiwa remaja ini sebenarnya adalah sunyi kerana tidak mempunyai orang yang boleh membuka hati dan mendengar masalah mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah mengambil inisiatif untuk melepaskan kerja-kerja yang berada di tangan untuk segenap agar anak-anak mereka dapat ditumpukan perhatian dan menjadi seorang insan yang cemerlang dan berperibadi mulia pada masa depan. Maka, usaha yang drastik perlu dilakukan segera untuk mengatasi masalah sosial remaja yang sudah bersarang lama di negara kita ini. 

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu dengan mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Remaja yang sedang meningkat usia ini akan melalui anjakan paradigma dan perubahan emosi. Golongan ini akan berasa sensitif terhadap kritikan dan kata-kata orang lain. Oleh sebab itu, ibu bapa tidak patut mengejar harta benda semata-mata dan tidak menghiraukan darah daging mereka. Ibu bapa wajar meluangkan masa berkualiti untuk berinteraksi bersama anak-anak mereka. Mereka boleh memulakan perbualan dengan menanyakan tentang perkara yang berlaku atau dilakukan beru-baru ini dan melahirkan minat terhadap permintaan mereka. Ibu bapa haruslah mengutamakan anak-anak kerana merekalah harta yang tidak ternilai. Harta benda tidak akan dapat menggantikan anak-anak belasan tahun ini. Ibu bapa perlulah sentiasa mengambil berat dan menunjukkan kasih sayang agar dapat dirasai anak-anak. Ibu bapa harus pandai mengambil peluang dengan meraikan hari jadi anak-anak untuk menggembirakan mereka dan berasa dihargai, Seisi keluarga boleh melancong sama ada di dalam atau di luar negara supaya dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota keluarga. Hal ini akan melahirkan anak yang mempunyai peribadi mulia dan mengelakkan sebarang perlakuan negatif yang mampu menyakiti hati ibu bapa mereka. Remaja akan bersikap baik hati dan menghargai masa tersebut dengan keluarga. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi kasih sayang terhadap anak-anak mereka agar golongan remaja ridak mendatangkan masalah sosial terhadap negara. 

 Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa metodologi yang lebih pragmatik perlu diimplementasikan, iaitu dengan memberi didikan agama atau moral terhadap anak-anak. Ibu bapa sentiasa mengingati anak-anak tentang larangan dan hukum-hukum agam pada usia yang awal lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak alan mudah mempelajari didikan agama sejak kecil lagi agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar apabila dewasa nanti. Agama mampu menangani masalah kebejatan sosial kerana menjadi benteng yang ampuh dan jitu serta perisai yang kuat agar remaja tidak terdengarkan bisikan syaitan durjana. Melalui didikan agama, remaja akan mempunyai jati diri yang kukuh dan akhlak mulia agar jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral. Didikan ini menjadi abar kepada remaja daripada terjebak dalam masalah sosial seperti pergaulan bebas, minum minuman keras, dan menghisap dadah. Mereka dapat membuat pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu perbuatan. Remaja yang pemikirannya belum matang perlulah diperhatikan perlakuannya sepanjang masa. Sekiranya mereka melakukan perbuatan yang salah di sisi hukum agama, mereka hendaklah diperbetulkan agar remaja tidak terjerumus dalam sesuatu gejala dan menyebabkan penyesalan. Sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlulah menanamkan ajaran agama dalam sanubari remaja agar menjadi pedoman hidup sepanjang hayat. Dengan ini, remaja akan menjadi seorang insan yang berperibadi mulia dan tidak menjadi punca masalah kepada gejala sosial dalam negara. Oleh itu, ibu bapa perlulah membuka fikiran seluas padang pasir dan hati seputih salju bahawa agama mampu mengelakkan generasi muda daripada terus tenggelam dalam kancah sosial masa kini. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa modus operandi lain yang agak jelas ialah ibu bapa menjadi suri teladan. Ibu bapa perlulah menjaga tingkah laku dan keperibadian mereka sepanjang masa. Mereka seyogianya menunjukkan kelakuan yang elok untuk memberi tanggapan baik kepada anak-anak. Kelemahan yang terdapat dalam diri mereka perlulah diatasi agar tidak menunjukkan teladan yang buruk. Kelakuan seperti berjudi, minum arak, mengeluarkan kata-kata lesat dan sebagainya perlu dielakkan. Sebaliknya, ibu bapa patut mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar diikuti anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini adalah untuk mengelakkan ibu bapa dikatakan seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Selain itu, peribahasa "bagaimana acuan begitulah kuihnya" dan "ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi" perlulah dipraktikkan oleh ibu bapa kerana segala perlakuan mudah ditiru oleh anak-anak. Anak-anak akan mewarisi kelakuan ibu bapa tanpa menyedarinya. Oleh itu, anak-anak akan menjadi sama ada baik atau jahat bergantung kepada persekitaran yang diberi oleh ibu bapa mereka. Tindakan ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak khususnya remaja. Keadaan rumah yang tidak tenteram dengan ibu bapa yang sering bergaduh mungkin menyebabkan anak-anak tidak lagi menahan dengan pergaduhan dan melakukan perkara untuk melepaskan geram dan mencari ketenangan. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlulah menjadi contoh yang baik kerana "air di tulang bumbungan, turunnya ke cucur atap akhirnya".

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan pendekatan seterusnya, iaitu dengan memiliki kemahiran keibubapaan. Selepas berkahwin, pasangan suami isteri boleh mengikuti kursus untuk mempelajari kemahiran untuk menjadi seorang ibu dan bapa yang baik. Kursus ini yang dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta akan bertujuan mendidik pasangan baru untuk memikul tanggungjawab yang besar ini. Mereka akan dilatih supaya sentiasa sabar dan lemah lembut ketika menjaga dan mendidik anak dengan cara yang betul. Selain itu, ibu bapa perlulah pandai memberi nasihat yang berguna dan memberi galakan untuk melakukan perkara yang berfaedah. Mereka juga harus sentiasa mengingati anak-anak agar menghindari aktiviti yang membazirkan masa dan tidak memberi sebarang manfaat kepada diri remaja. Jikalau ibu bapa mendapat tahu bahawa anak-anak melakukan kesalahan, mereka patutlah dikenakan hukuman yang sesuai agar tidak mengulangi kesilapan dan insaf. Ibu bapa juga perlu mendengar masalah anak-anak dan memberi cadangan penyelesaian yang sesuai, memberi keperluan asas yang sempurna, membantu anak-anak dalam pembelajaran, membawa mereka ke tempat ibadat, mendidik mereka agar mengamalkan nilai murni dalam kehidupan, mendorong mereka ke arah kebaikan dan sentiasa memotivasikan anak-anak dalam apa-apa yang dilakukan. Kedua-dua ibu bapa perlulah berfikiran matang dan mengambil berat terhadap kebajikan anak-anak agar remaja tidak lari dari rumah kerana tidak dapat bertahan dengan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa kemahiran keibubapaan memang dapat membendung gejala sosial remaja daripada terus bermaharajalela.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat keperluan asas yang menyeluruh dari segi makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selesa. Anak-anak perlu dilindungi haknya supaya membesar dalam persekitaran yang selesa. Mereka juga perlu diberi pendidikan di sekolah secara formal. Sekiranya menghadapi apa-apa masalah, remaja boleh mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan unit kaunseling sekolah. Hal ini dapat memberi uslub yang baik untuk menyelesaikan masalah. Ibu bapa juga hendaklah meluangkan masa untuk menghadiri Hari Ibu Bapa di sekolah untuk mengetahui perkembangan akademik mereka. Mereka juga perlu menggalakkan anak menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah dan program-program yang berfaedah agar masa mereka diisi dengan faedah  Ibu bapa boleh bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengetatkan pengawasan terhadap remaja yang mempunyai masalah disiplin. Dengan ini, segala perlakuan dapat dilaporkan kepada ibu bapa dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Gejala sosial seterusnya dapat dielakkan secara tidak langsung dan memastikan anak-anak mempelajari perkara dari luar kelas. Kebajikan anak perlu dijaga supaya anak-anak mendapat kehidupan yang sempurna dan membesar dalam keluarga yang baik. Ibu bapa perlulah memberi wang saku yang secukupnya agar anak-anak dapat membeli barang yang berguna seperti alat tulis, buku-buku rujukan, buku latihan, makanan di sekolah dan membayar wang tuisyen serta tidak memboros wang tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak dapat mengatasi masalah sosial remaja.

  Sebagai penutup wacana, ingin saya tegaskan bahawa terdapat pelbagai usaha dalam mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja. Remaja perlulah dididik dengan sabar kerana masih lagi berfikiran seperti kanak-kanak dan sedang membesar. Golongan ini akan terdedah kepada persekitaran dan pengalaman yang dilalui akan membuat mereka menjadi orang yang lebih berpengalaman dan berfikiran matang, Remaja sekiranya diberi lebih perhatian, maka mereka akan mengurangkan daripada bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai masalah sosial. Dengan ini, mereka akan sentiasa mengingati nasihat ibu bapa dan mengamalkan nilai murni dan didikan agama dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana mereka akan mengelakkan daripada melakukan perkara yang melanggar hukum-hukum agama dan menjadi seorang yang berakhlak mulia. Ibu bapa merupakan orang pertama dalam mempunyai hubungan paling dekat dengan remaja. Mereka akan lebih memahami kerenah anak-anak dengan lebih baik. Selain itu, remaja juga wajar mengawal diri sendiri agar tidak menimbulkan masalah sama ada di dalam atau luar sekolah. Ingatlah kedua-dua ibu bapa yang bersusah payah membesarkan kami sejak kecil lagi dan memberi asuhan yang terbaik kepada kami. Adakah kita sanggup melihat kedua-dua orang tua sakit hati disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh kami? Dalam konteks ini, ternyatalah betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam kehidupan remaja yang masih tidak mengenali dunia yang fana ini. Oleh hal yang demikian, ibu bapa seyogianya melakukan anjakan paradigma untuk memastikan anak-anak berperibadi mulia.

Word Count: 1592                          Markah: 78/100                                                   Date: 3/7/2015

Disclaimer: This essay is strictly for reference purposes only. I may have copied some parts or            sentences from other sources but I hope that these essays will help you with your homework or exams. I do not mind if you copy and paste this for your own reference but please do not upload this essay anywhere else without my permission. Thank you for your cooperation and happy reading. :)  

Comments

  1. Hai,maafkan saya encik/puan.saya telah kongsi karangan ini kepada kawan2 saya untuk peperiksaan SPM 2020 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi....saya harap tuan / puan maafkan saya...di kesempatan ini saya ingin tuan/puan halalkan ilmu ini dan mendoakan kejayaan kepada saya dan rakan2

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya