Karangan Bahagian B Institusi Keluarga Mampu Membendung Gejala Sosial (Perbahasan)

  Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, dan hadirin yang dihormati. Selamat pagi dan salam sejahtera. Sebagai pencadang dalam perbahasan kali ini, saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain tetap menyokong tajuk perbahasan yang berbunya "Institusi Keluarga Mampu Membendung Gejala Sosial". Sebelum saya meneruskan hujah saya, terlebih dahulu saya ingin menghuraikan definisi tajuk tersebut. Perkataan "Institusi" membawa maksud badan atau organisasi yang ditubuhkan untuk menjalankan tugas yang bersifat am. Perkataan "Keluarga" bermaksud seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri berserta anak-anak. "Membendungi" pula didefinisikan sebagai mencegah atau menghalang. "Gejala" pula bermaksud tanda-tanda, alamat atau petanda akan terjadinya sesuatu. Perkataan "Sosial" pula ialah segala yang berkaitan dengan masyarakat. 

Hadirin sekalian, 
  Sesebuah institusi keluarga terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak. Dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan kontroversi ini, ibu bapa sering mengejar kejayaan masing-masing untuk memenuhi kehidupan yang bersifat materialistik. Oleh sebab perlu membiayai kehidupan anak-anak, ibu bapa sibuk bekerja agar mempunyai gaji yang tetap. Wang dikatakan amat penting dalam dunia modenisasi ini kerana diperlukan dalam semua perkara. Oleh sebab ingin membiayai kos hidup yang tinggi, ibu bapa terpaksa mencari rezeki. Namun demikian, ibu bapa tidak sedar apabila anak-anak yang semakin besar berasa diri sendiri tidak dipedulikan dan kurangnya kasih sayang. Ibu bapa tidak mampu meluangkan masa untuk anak-anak mereka kerana waktu bekerja yang panjang. Keadaan ini mengakibatkan anak-anak untuk keluar mencari hiburan dengan rakan-rakan sebaya. Anak-anak merasakan rakan-rakan sahaja yang menjadi sumber kegembiraan bagi mereka. Anak-anak juga sanggup menghabiskan yang susah payah diperoleh oleh ibu bapa dengan sewenang-wenangnya. Mereka juga secara tidak sedar akan terlibat dalam gejala sosial. Maka, institusi keluarga yang merupakan agenda yang terdekat terhadap anak-anak akan memberi kesan yang ketara terhadap pembentukan akhlak mulia anak-anak. 

Hadirin yang dimuliakan, 
  Anak-anak perlulah diberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang. Ibu bapa wajar mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak dan mengasuh mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa yang sibuk bekerja perlulah mengimbangi pekerjaan dan keluarga agar tidak mengakibatkan salah satu aspek terbiar dan menyebabkan keburukan. Golongan ibu bapa boleh menunjukkan kasih sayang dengan mengambil berat dan berbual-bual dengan anak-anak selalu. Pengetahuan terhadap perkara-perkara yang dilalui oleh anak mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak. Pemberian wang oleh ibu bapa juga wajar ditentukan batasnya. Keadaan ini demikian untuk memastikan anak sedar akan kepentingan wang dan belajar menjimatkannya agar tidak membazirkan wang untuk perkara yang tidak berfaedah. Ibu bapa juga hendaklah membeli benda-benda untuk anak tetapi haruslah mengenal batasnya. Selain itu, masa cuti sekolah perlulah dihargari oleh ibu bapa agar masa yang lebih dapat diperuntukkan terhadap anak-anak. Ibu bapa seyogianya mengambil kesempatan ini untuk berkelah atau melancong bersama-sama anak-anak. Dengan ini, masa keemasan bersama keluarga akan membentuk hubungan yang erat dan keluarga bahagia. Anggota keluarga akan dapat melakukan aktiviti bersama sepanjang masa ini dan memupuk hubungan rapat.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa segala gejala sosial mampu dibendung jikalau ibu bapa memperkenalkan nilai-nilai murni dan memberi didikan agama. Anak-anak pada usia muda diumpamakan kain putih maka ibu bapalah yang mencorakkannya. Oleh sebab itu, ibu bapa wajar memperuntukkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian anak. Anak-anak tidak mengenal yang mana intan, yang mana kaca. Ada kalanya, mereka akan mengikuti perkara yang dilakukan oleh orang lain. Maka, ibu bapa sepatutnya menghalang anak-anak jika melakukan sebarang perkara yang negatif. Persis kata mutiara, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nasihat atau hukuman yang sesuai hendaklah diberikan agar anak-anak mengenal perbezaan antara baik dengan buruk. Pengajaran ini merupakan asas kepada pembentukan akhlak yang mulia untuk seorang anak. Seterusnya, didikan agama sewaktu kecil juga seharusnya diutamakan. Setiap agama mengajar seseorang agar melangkah ke arah yang betul dan mengelakkan sebarang gejala negatif. Pegangan agama yang kukuh terhadap seseorang akan mengelakkan diri sendiri daripada terjebak dalam hedonisme. Anak-anak akan mempunyai fikiran yang matang dan mampu mengambil tindakan berasaskan sifat rasional yang diperoleh ajaran agama. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa institusi keluarga mampu membendung gejala sosial melalui nilai murni dan ajaran agama.

Para hadirin yang dihormati,
  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa ibu bapa harus memainkan peranan dalam mengawasi pergaulan anak-anak dan memantau pergerakan mereka. Anak-anak yang sedang meningkat remaja akan lebih melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat yang membuka minda mereka. Walau bagaimanapun, remaja akan mempunyai sikap ingin tahu dalam diri masing-masing. Anak-anak akan mudah terpengaruhi oleh anasir-anasir luar seperti rakan sebaya dan melalui media massa. Iklan televisyen, rancangan atau filem yang memaparkan kegiatan negatif yang terlampau perlulah dikurangkan tontonannya. Hal ini sedemikian agar remaja tidak terjerumus dalam aktiviti buruk. Di samping itu, ibu bapa hendaklah mengenal pasti teman yang digaul oleh anak. Sekiranya anak-anak ingin keluar dengan rakan-rakan mereka, ibu bapa perlu mengenal pasti rakan yang keluar dengan mereka, tempat mereka akan bertemu dan waktu anak mereka akan pulang ke rumah. Hal ini adalah untuk memastikan keselamatan anak dan menghalang mereka daripada tersalah langkah yang mungkin merosakkan masa depan mereka yang cerah. Sekiranya ibu bapa mendapati perkara yang tidak disenangi, mereka patut segera mencegah perkara tersebut daripada berlarutan. Hal ini mampu menjamin keperibadian mulia anak-anak kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemantauan pergaulan dan pergerakan anak-anak oleh ibu bapa mampu membendung gejala sosial.

  Sementelahan itu, ibu bapa perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak kerana setiap perkara yang dilakukan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan dan contoh kepada anak-anak mereka. Ibu bapa seyogianya mengamalkan nilai murni dalam kehidupan dan mengatasi kelemahan diri sekiranya mengamalkan hidup yang kurang sihat seperti merokok. Kegiatan ini perlu dihentikan agar anak-anak tidak mengikuti jejak langkah orang tua yang tidak elok. Hal ini merujuk peribahasa yang berbunyi bapa borek anak rintik. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, ibu bapa perlu memperbaiki kelemahan diri sebelum menasihati anak-anak, janaganlah menjadi seperti ketam menyuruh anaknya jalan betul. Pertuturan dalam seharian juga wajar diperhatikan. Anak-anak mudah terpengaruh jikalau ibu bapa sering menggunakan perkataan yang tidak baik. Semakin lama, anak-anak semakin biasa dengan penggunaannya dan tidak merasai apa=apa yang sebenarnya memberikan imej yang buruk kepada diri sendiri dan keluarga. Ibu bapa yang baik budi pekertinya wajar memberi nasihat kepada anak dan pastikan nasihat yang diberikan tidak seperti air dicurahkan ke daun keladi. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, ternyatalah bahawa ibu bapa merupakan suri teladan dalam menghalang anak daripada terjerumus dalam gejala sosial.

Hakim yang adil,
  Institusi keluarga juga memberi impak yang besar dalam mencegah anak terlibat dalam gejala sosial melalui pengetahuan perkembangan anak di sekolah. Ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk mengetahui perkembangan sahsiah anak melalui pertemuan dengan guru tingkatan semasa Hari Terbuka. Dengan ini, ibu bapa akan mendapat maklumat lebih lanjut tentang perkembangan anak di dalam kelas dan perlakuannya. Selain itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak terlibat dalam aktiviti kokurikulum dengan menyertai badan beruniform, kelab dan sukan atau permainan. Anak-anak akan memanfaatkan masa melakukan perkara yang mendatangkan faedah dan mengisi masa lapang. Gejala sosial seterusnya dapat dielakkan secara tidak langsung dan memastikan anak-anak mempelajari perkara dari luar kelas. Ibu bapa boleh berganding bahu dengan guru-guru sekolah untuk mengatasi masalah murid. Mereka boleh menggalakkan anak yang bermasalah untuk menemui guru kaunselor agar dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membuka hati dan telinga untuk mendengar masalah anak serta memberi nasihat atau galakan. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa institusi keluarga mampu membendungi gejala sosil melalui pengetahuan perkembangan anak di sekolah.

Hadirin sekalian,
  Remaja merupakan aset negara yang tidak ternilai dan merupakan tonggak negara pada masa akan datang. Institusi keluarga memainkan peranan yang amat penting dan menggalas tanggungjawab yang amat berat untuk melahirkan generasi muda yang sihat dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan anak-anak remaja mereka tidak akan dijangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Remaja harus dibimbing dan dididik agar menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan generasi muda berminda kelas pertama akan direalisasikan menjelang tahun 2020.

  Sekian dahulu hujah-hujah saya untuk kali ini. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Rakan-rakan saya yang lain akan menyambung hujak untuk menyakinkan para pembangkang dan hadirin bahawa pilihan kami tidak silap. Kumpulan kami tetap menyokong dan bulat hati berpegang teguh kepada tajuk perbahasan kali ini. Sebelum saya mengundur diri, saya tekankan sekali lagi, bahawa institusi keluarga mampu membendung gejala sosial. Sekian dahulu dan saya akhiri dengan lafaz terima kasih.

Word Count:                                        Markah: 85/100                                              Date: 5/5/15    

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya