Karangan Bahagian B Strategi Menangani Masalah Remaja

Para remaja sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Sebagai remaja, cadangkan strategi untuk menangani masalah ini. Penjangnya huraian anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan. 
1. Pihak kerajaan perlu mengadakan program pemulihan kepada remaja bermasalah. 
2. Pihak sekolah (unit bimbingan dan kaunseling) memberi ceramah sekurang-kurangnya sebulan sekali. 
3. Memberi pendidikan agama kepada anak-anak sejak kecil. 
4. Melaksanakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. 
5. Peranan media massa. 

  Tahun 2020 merupakan tahun yang disasarkan oleh pemimpin kita agar Malaysia menjadi sebuah negara maju seperti negara-negara lain, persis kata peribahasa Melayu, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Untuk mencapai matlamat tersebut, setiap warganegara Malaysia mestilah berusaha dengan gigih. Namun dalam keghairahan menjadikan Malaysia negara maju, timbul kebimbangan tentang remaja yang menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Remaja yang berumur antara 12 hingga 18 tahun merupakan insan yang sedang meningkat dewasa. Mereka akan mengalami anjakan dari segi emosi, fizikal dan mental yang sering memberikan tekanan kepada remaja. Hal ini menyumbang kepada kecenderungan remaja mengamalkan hedonisme untuk melepaskan tekanan tersebut. Remaja yang fikirannya belum matang mudah dipengaruhi rakan sebaya yang menyebabkan penglibatan mereka dalam gejala sosial yang menjejaskan keamanan negara seperti merokok, menghisap najis dadah, melepak dan ponteng kelas. Oleh hal yang demikian, satukan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah proaktif yang boleh diimplementasikan. 

  Umum mengetahui bahawa inisiatif yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu remaja sendiri perlulah memiliki kesedaran dan bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka. Remaja perlulah mempunyai disiplin diri yang tinggi dan pandai membahagikan masa antara belajar dan berhibur. Jadual waktu belajar perlulah memadai dan seimbang agar tidak melakukan pembelajaran secara keterlaluan. Selain itu, ulang kaji pelajaran perlulah dilakukan dengan awal agar tidak menyebabkan tekanan dan kurangnya tidur yang akan mencelarukan minda ketika peperiksaan. Remaja juga perlulah menyertai aktiviti kokurikulum yang merangkumi sukan dan permainan, badan beruniform dan kelab atau persatuan. Hal ini dapat memanfaatkan masa senggang remaja di samping mencegah aktiviti yang tidak berfaedah. Remaja haruslah mendengar nasihat ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan yang mendorong kita ke arah baik agar tidak sesat dalam kehidupan yang mencabar ini. Mereka wajar memikir secara positif apabila menghadapi sebarang kekusutan dan bertindak secara rasional. Remaja juga mesti berpegang kukuh pada ajaran agama agar tidak tersalah langkah demi membentuk masa depan cerah mereka. 

  Selain itu, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa langkah yang lebih pragmatik perlu diambil, iaitu ahli keluarga memainkan peranan yang amat ketara kerana remaja meluangkan masa yang lebih lama di rumah bersama ahli keluarga. Malahan ahli keluarga merupakan orang yang paling rapat dan mempunyai talian darah dengan mereka. Ibu bapa sayugia memantau tingkah laku dan memberikan nasihat serta ajaran kepada remaja. Tindakan haruslah diambil agar perlakuan mereka diperbaiki dan mempunyai peribadi yang mulia. Teguran perlulah dikatakan dengan lemah lembut agar kesalahan yang dilakukan diinsafi oleh remaja dan tidak menyinggung perasaan remaja yang amat sensitif. Ibu bapa hendaklah memberi dorongan, galakan dan kasih sayang agar melahirkan hubungan silaturahim yang erat. Di samping itu, masa berkualiti bersama anak-anak amat perlu diperuntukan. Hal ini kerana anak-anak memerlukan perhatian daripada ibu bapa walaupun ibu bapa sering sibuk dengan kerja masing-masing. Keadaan dan suasana rumah yang kondusif dan selesa perlu disediakan dengan kemudahan dan keperluan asas yang sesuai untuk anak-anak. Hubungan antara ahli keluarga juga perlu dipastikan rapat dan harmonis. 

  Seterusnya, modus operandi untuk menyelesaikan masalah remaja menuju kepada pihak sekolah yang memberikan pendidikan formal kepada anak-anak. Oleh sebab remaja yang fikirannya mudah dipengaruhi pada usia ini oleh pelbagai pihak, maka prakarsa dari pihak sekolah amatlah diperlukan. Pendekatan kaunseling oleh guru-guru kaunseling di sekolah banyak membantu merungkai kekusutan remaja yang banyak mengalami tekanan. Guru-guru kaunseling juga haruslah memberi kerjasama kepada murid-murid dengan menyimpan rahsia dan maklumat peribadi murid-murid supaya tidak menambahkan bebanan terhadap mereka. Hal ini juga akan menggalakkan murid-murid yang mempunyai masalah untuk berjumpa guru kaunsling dan mendapat bantuan daripada mereka. Sementelahan itu, program guru penyayang memberikan kesan yang positif terhadap murid-murid sekolah. Guru yang mempunyai sikap penyayang akan mudah didampingi pelajar. Dengan ini, nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan akan mudah diserap oleh murid-murid. Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik yang diajar di sekolah akan memperkenalkan nilai-nilai murni dan mendidik pelajar agar mempunyai akhlak yang terpuji. 

  Di samping itu, sesungguhnya kita sedia maklum bahawa alternatif lain yang agak jelas ialah peranan masyarakat. Lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai usia, bangsa dan agama penyumbangkan dalam membantu remaja yang sedang meningkat usia. Remaja yang mengalami masalah gejala sosial patutlah diberikan lebih perhatian oleh masyarakat. Setiap individu perlulah memiliki keprihatinan dalam membantu anak-anak muda yang merupakan tonggak negara masa hadapan ke arah baik dan menerima keburukan mereka dengan hati yang terbuka. Setiap individu memainkan peranan penting untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa. Masyarakat perlulah menjaga perlakuan mereka supaya tidak menjadi ikutan remaja dengan perkara yang negatif seperti merokok, merompak, mengugut dan bercumbu. Hal ini dapat mengelakkan daripada dituduh seperti "ketam suruh anaknya berjalan betul".  Sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak betul, seseorang individu tersebut patut melapor kepada pihak polis agar keadaan dapat ditenteramkan. Aktiviti kemasyarakatan seperti Hari Keluarga, gotong-royong dan sebagainya amat digalakkan untuk diadakan agar remaja mampu berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat dan mengelakkan daripada gejala sosial. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan kaedah seterusnya, iaitu dengan penggemblengan kudrat media massa. Media massa yang terdiri daripada radio, akhbar, televisyen, internet, dan majalah memberikan pengaruh yang amat ketara kepada masyarakat yang menjadi tatapan umum. Rancangan televisyen yang berunsurkan budaya barat sebenarnya tidak sesuai dengan budaya timur. Unsur-unsur yang tidak sesuai seperti penagihan dadah, merokok dan minum minuman keras akan mempengaruhi anak-anak muda untuk mencubanya disebabkan perasaan ingin tahu mereka. Elemen ini perlulah ditapis dalam rancangan televisyen sebelum disiarkan kepada khalayak umum. Alternatifnya adalah dengan menyiarkan rancangan ini pada lewat malam supaya tidak ramai penonton yang akan menontonnya. Iklan-iklan yang mempunyai nilai-nilai murni patut disiarkan dengan lebih kerap seperti iklan daripada kerajaan yang sentiasa mengingatkan masyarakat agar menghindari perlakuan negatif. Tambahan pula, majalah-majalah yang tidak sesuai dengan budaya kita patut dikurangkan penerbitannya ataupun menghalang pengimportannya ke negara kita. 

  Kesimpulannya, marilah kita renungi beberapa peribahasa Melayu yang menggalakkan kita untuk bersatu padu. Antaranya termasuklah "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "bagai aur dengan tebing", "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" dan banyak lagi. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa terdapat pelbagai metadologi yang mampu merungkai kemelut yang dihadapi oleh para remaja. Usaha-usaha ini perlulah konsisten dan bukannya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sikap melepaskan batuk di tangga harus dikikis agar Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Para remaja juga harus menambah akal fikiran mereka agar menjadi lebih matang dan dapat mengambil tindakan secara nasional. Hal ini dapat mengurangkan kebimbangan orang yang cakna terhadap mereka dan menjadikan remaja bebas daripada tekanan. Oleh hal yang demikian, sokongan padu dan komitmen daripada warga Malaysia amat diperlukan dalam konteks ini demi mencapai tahap keberkesanan yang maksimum.  

Word Count: 1052                                         Markah: 80/100                                           Date: 26/1/15  

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya