Karangan Bahagian A Peranan Masyarakat dalam Usaha Membendung Kenaikan Harga Barangan Keperluan

Peranan Masyarakat dalam Usaha Membendung Kenaikan Harga Barangan Keperluan
1. Pengguna perlu berjimat cermat dan bijak merancang perbelanjaan
2. Peniaga boleh menyediakan barangan yang mencukup pada setiap masa untuk mengekalkan kestabilan harga
3. Menghasilkan keperluan sendiri

  Dalam menempuhi kehidupan yang penuh kontroversi ini, globalisasi telah berlaku di dunia dan ekonomi negara-negara telah meningkat. Namun, mata wang negara kita semakin susut nilainya yang menyebabkan kenaikan harga barang. Hal ini menyusahkan golongan rakyat yang pendapatannya tetap sama dan perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk membeli barang yang sama. Golongan miskin terutamanya mendapat impak yang lebih besar daripada golongan sederhana dan kaya kerana tidak berkemampuan membeli barang keperluan yang mahal. Oleh itu, masyarakat bolehlah mengambil inisiatif dengan membendung kenaikan harga barangan keperluan. Dengan permintaan yang berkurang daripada masyarakat, maka harga barangan dapat dikurangkan. Oleh hal yang demikian, masyarakat berperanan dalam mengelakkan kenaikan harga barangan keperluan daripada berterusan.

  Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu pembeli perlu berjimat cermat dan bijak merancang perbelanjaan. Dalam konteks ini, masyarakat harus menetapkan sejumlah wang untuk membeli barang keperluan sahaja seperti makanan, agen pencuci, dan membayar bil elektrik dan air. Barang-barang yang tidak berapa penting dan merupakan kehendak bolehlah diketepikan terlebih dahulu untuk menjimatkan wang. Masyarakat juga haruslah mengamalkan perbelanjaan yang terancang dengan menyenaraikan barangan yang perlu dibeli agar tidak membuat pembelian yang berlebihan dan melepasi bajet kewangan. Mereka hendaklah membuat perbandingan harga dengan pusat membeli-belah yang berbeza untuk membeli barang yang sama dengan harga berpatutan. Dengan kesahihan fakta, ternyatalah dengan berjimat cermat dan bijak merancang perbelanjaan, kenaikan harga barangan keperluan dapat dibendung.

  Sesungguhnya, fenomena ini dapat juga dikaitkan dengan kaedah seterusnya, iaitu peniaga boleh memainkan peranan dengan menyediakan barangan yang mencukupi pada setiap masa untuk mengekalkan kestabilah harga. Peniaga perlulah bijak mengagak barang yang bakal dijual pada jangka masa tertentu agar tidak berlaku lebihan barang yang tidak dapat dijual. Selain itu, peniaga perlulah menjaga kebajikan dan hak pembeli dengan tidak menyorok barang dan mengeluarkannya apabila harga melambung tinggi. Walaupun keadaan akan menyebabkan peniaga dapat mengaut keuntungan yang tinggi, namun mereka akan didenda oleh pihak berkuasa kerana mengeksploitasi hak pembeli. Dengan berbuat demikian, sudah terang lagi bersuluh bahawa peniaga boleh menyediakan barangan yang mencukupi sahaja untuk mengelakkan kerugian dan mengekalkan kestabilan harga.

  Pada hemat saya, kita sedia maklum bahawa alternatif lain yang agak jelas adalah dengan menghasilkan keperluan sendiri. Masyarakat wajar bercucuk tanam sekiranya mempunyai tanah lapang di halaman rumah. Mereka boleh membeli baja atau menanam bahagian sayur-sayuran yang dapat tumbuh tumbuhan yang baru. Keadaan ini akan menggunakan tanah lapang dengan baik dan memberi makanan kepada masyarakat. Masyarakat tidak perlu membeli makanan daripada luar kerana dapat memetik dan menuai hasil sayur-sayuran atau buah-buahan yang segar daripada tanaman sendiri. Kempen Buku Hijau yang telah dilancarkan dari awal lagi telah menggalakkan masyarakat bercucuk tanam dan melakukan penanaman secara hydroponik sekiranya tidak mempunyai tanah. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa dengan menanam makanan sendiri, maka bolehlah kita menjimatkan kos pembelian makanan dan membendung kenaikan harga barangan keperluan.

  Akhirulkalam, masyarakat dapat mengambil alternatif seperti yang dinyatakan di atas untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan. Sekiranya kita sebagai pengguna tidak mengambil tindakan, maka kita akan membayar dengan lebih banyak walaupun benda yang dibeli tetap sama. Kita haruslah menjadi seorang pengguna yang lebih bijak dan rasional ketika membuat pembelian. Masyarakat bolehlah belajar untuk menjadi lebih berdikari dengan membuat pakaian atau makanan sendiri untuk menjimatkan wang. Mereka wajar membeli barang keperluan dan mengawal nafsu untuk membeli kehendak yang tidak diperlukan. Dengan ini, harga barang yang kian meningkat mampu ditangani di samping mengawal bajet kewangan untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Kerajaan juga harus memantau harga barangan di kedai-kedai agar tidak mengeksploitasi wang pembeli.

Word Count:                                                     Markah: 27/30                                         Date: 7/7/2015 

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya