Karangan Bahagian B Meminta Nasihat dan Petua Kejayaan Anda (Surat Kiriman Tidak Rasmi)

Sahabat anda sering mengeluh kerana banyak masa yang dihabiskan untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi prestasinya masih kurang memuaskan. Dia ingin meminta masihat daripada anda sekali gus ingin berkongsi rahsia dan petua kejayaan anda. Jawab surat sahabat anda itu selengkapnya. 

                                                                                                                          (Tulis alamat anda) 

                                                                                                                          22 Jun 2015 

  Menemui sahabatku Lyana yang berada di Kota Bharu, Kelantan, semoga saudari berada dalam keadaan sihat sejahtera. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja. Dalam surat saudari yang lepas, saudari menulis tentang masalah yang dihadapi untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi prestasi dalam peperiksaan yang ditunjukkan masih kurang memuaskan. Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi rahsia dengan saudari tentang cara untuk belajar dengan lebih berkesan agar masa yang digunakan dapat diminimumkan dan mencapai kejayaan dalam pelajaran. 

Saudari, 
  Ilmu yang dituntut di sekolah adalah untuk pendidikan seorang pelajar supaya mengenali persekitaran dengan lebih lanjut dan bukannya sekadar untuk menghadapi peperiksaan. Pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan seharian agar dapat digunakan untuk seumur hidup dan sentiasa dalam ingatan sepanjang masa. Oleh hal yang demikian, kita perlulah melahirkan minat dalam pembelajaran dan sentiasa memotivasikan diri untuk menguasai segala ilmu. 

  Teknik pembelajaran merupakan cara perdana dalam memperolehi ilmu dengan efektif. Saudari bolehlah mendengar ketika guru sedang mengajar di kelas dan mengambil nota yang penting dan ringkas. Ketika mengambil nota, saudari bolehlah mewartakan sebuah buku untuk mencatat segalanya yang diajar di kelas, menyusunnya semula dan menulis menggunakan pen yang berwarna-warni untuk membantu penghafalan. Keadaan ini akan membolehkan kedua-dua hemisfera otak untuk bergerak dan mengingatinya. Selain itu, saudari bolehlah membuat jadual waktu belajar di rumah agar masa ulang kaji bagi setiap subjek dan aktiviti dibahagikan dengan sistematik. Subjek yang lemah perlulah diperuntukkan masa yang lebih agar prestasi ditingkatkan. Saudari mestilah mendisiplinkan diri dengan mengikut jadual waktu yang ditetapkan agar pembelajaran sentiasa konsisten. Saudari juga harus melakukan perkara yang penting dahulu dan mengelakkan pembaziran masa kerana masa itu emas. Seterusnya, singkatan menggunakan peta minda, pengujian diri, membuat latihan juga hendaklah dilakukan secara kerap agar dapat mengukuhkan pembelajaran dalam pelbagai subjek. Pemahaman dan ingatan baru akan berada dalam ingatan dalam tempoh yang lama. 

  Selain itu, saudari perlulah menguasai teknik menjawab soalan-soalan peperiksaan. Latihan subjek-subjek ada kalanya mengandungi soalan klon dalam peperiksaan SPM. Saudari juga boleh merujuk jawapan yang disediakan untuk mengetahui isi-isi jawapan yang memberi markah. Sekiranya menghadapi masalah, saudari perlulah rajin bertanya sama ada rakan-rakan, ibu bapa atau guru-guru. Saudari juga harus membuat kertas peperiksaan SPM yang lepas untuk menyesuaikan diri dengan format terkini. Kata-kata kunci untuk menjawab soalan boleh dikuasai dengan membuat latihan yang banyak. Di samping itu, saudari bolehlah belajar dahulu topik-topik tertentu sebelum diajar oleh guru agar lebih memahaminya. 

  Tambahan pula, tempat yang dijadikan tempat belajar perlulah kondusif dan dijauhi daripada bunyi yang kuat, bising dan menjengkelkan. Tempat untuk belajar perlulah selesa dan senyap agar dapat memfokuskan minda terhadap perkara yang sedang dipelajari. Benda-benda seperti buku rujukan, alat tulis dan sebagainya perlulah sentiasa di tempat yang mudah dicapai agar tidak membazirkan masa mencari barang-barang tersebut. Ada kalanya, sesetengah orang lebih suka belajar secara berkumpulan. Mereka lebih suka belajar dengan rakan-rakan kerana dapat bertanya sesama sendiri perkara yang kurang difahami. Namun, rakan-rakan yang dipilih perlulah berdisiplin dan tidak berbual-bual perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan benda yang dipelajari. Jika saudari tidak mampu menyesuaikan diri dengan cara belajar seperti ini, elakkan daripada belajar secara berkumpulan kerana sebaliknya tidak akan memberi kesan baik yang sepenuhnya. 

  Lantaran itu, cara belajar dengan bijak sebelum menghadapi peperiksaan boleh saudari mengamalkan setiap kali. Saudari sekurang-kurangnya perlu menentukan sebulan sebelum tarikh peperiksaan agar mengulang kaji pelajaran. Saudari perlu menyenaraikan perkara-perkara yang perlu diulang kaji untuk membuat perancangan yang lebih teliti. Hal ini akan memudahkan saudari membahagikan masa dengan teratur dan mencapai matlamat untuk mengulangkaji segala perkara. Ia juga akan mengelakkan diri daripada meluangkan masa yang berlebihan untuk subjek tertentu dan mengabaikan subjek yang lain. Selain itu, saudari perlu menentukan matlamat untuk mencapai markah cemerlang dalam peperiksaan dan berusaha ke arah tersebut. Keadaan ini akan memotivasikan diri untuk belajar dengan lebih bersungguh dan mencapai kemajuan. 

  Rentetan itu, jikalau penguasaan saudari dalam bahasa kurang memuaskan, saudari hendaklah mencari alternatif untuk menguasainya. Saudari boleh membaca surat khabar, mendengar radio, menonton rancangan televisyen, membaca buku-buku fiksyen atau melayari internet tentang frasa-frasa menarik, kata-kata hikmah, cogan kata atau bahasa berbunga yang mampu meningkatkan penulisan saudari. Saudari juga boleh membeli buku karangan dan perlu rajin membaca agar dapat mengetahui isi-isi penting atau peribahasa yang boleh dimasukkan dalam karangan. Saudari boleh menyesuaikan diri dengan memasukkan ayat-ayat menarik dan peribahasa setiap kali menulis karangan. Saudari juga perlu menulis karangan yang matang dengan menulis dari perspektif yang lebih luas dan menghuraikannya dengan lebih teliti. Saudari harus berhati-hati dengan struktur ayat dan perkataan yang digunakan agar tidak menulis perkara yang maksudnya berbeza daripada perkara yang ingin disampaikan. 

  Seterusnya, saudari harus mementingkan kesihatan tubuh badan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Saudari perlulah tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam sehari agar dapat menumpukan perhatian pada kemudian hari. Selain itu, saudari perlulah bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit sekali. Dengan bersenam, darah dalam tubuh badan akan mengitar dan tidak mudah lesu ketika belajar. Pemakanan juga perlu diberi perhatian dengan mengambil makanan yang seimbang dan secukupnya sebelum belajar supaya penghadaman yang lancar akan berlaku. Hal ini disebabkan darah akan mengalir ke perut jika makan terlalu banyak dan otak tidak aktif. Saudari juga boleh mencari makanan yang dapat mencerdaskan otak agar lebih aktif dalam pembelajaran. Cogan kata "otak cerdas, badan cergas" perlu dijadikan pedoman hidup agar tidak mengabaikan kesihatan sewaktu belajar pada masa yang sama. 

  Saudari perlu bertawakal setelah berusaha dan yakin terhadap diri sendiri. Saudari perlu mengelakkan daripada mengalami tekanan yang besar kerana ini akan menjadi halangan untuk mencapai matlamat saudari. Saudari hendaklah bertenang dan berfikiran positif bahawa saudari telah melakukan usaha dan telah bersungguh-sungguh sebelum menghadapi peperiksaan. Saudari juga perlu memastikan mempunyai alat tulis yang secukupnya dan alat-alat geometri serta kalkulator dibawa pada hari peperiksaan. Saudari hanya perlu membuat soalan peperiksaan seperti yang selalu dilakukan dan mengambil kira masa yang diperuntukkan agar tidak kesuntukan masa. 

Saudari, 
  Belajarlah mengikut kemampuan anda dan jangan sesekali memaksa diri jikalau saudari tidak berkemampuan. Saudari hanya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan melaksanakan tugas tersebut dengan sempurna. Setakat ini sahaja coretan yang dapat saya nukilkan untuk berkongsi petua kejayaan saya. Saya berharap agar saudari berpuas hati dengan penerangan di atas. Sebelum saya mengakhiri tulisan saya, saya mohon ribuan kemaafan jika tersalah kata atau terkasar bahasa. Semoga kita dapat bersua pada warkah yang lain. Sehingga itu, saya mendoakan saudari dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan sentiasa mendapat rahmat daripada Tuhan. Sekian, terima kasih. 


                                                                                                                                  Sahabatmu,
                                                                                                                                 (Tandatangan anda)  
   

Word Count:                                            Markah: 85/100                                             Date: 24/6/2015

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya