Karangan Bahagian B Sumbangan Pekerja Asing

Walaupun kehadiran pekerja asing dikatakan banyak menimbulkan masalah kepada negara kita, namun sumbangan mereka masih diperlukan dalam mengisi pembangunan negara. Berikan pendapat anda berhubung pernyataan ini. 

  Dalam menempuhi pawana globalisasi yang penuh dengan konkurensi sengit ini, secara sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, negara kita yang telah mengalami pascamerdeka dibangunkan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain yang maju. Modenisasi negara kita telah melonjakkan nama negara ke pentas dunia agar dapat menyaingi negara-negara maju yang lain. Kemajuan yang dikejar ini dapat memastikan negara kita tidak ketinggalan daripada arus zaman kini. Rakyat juga akan menikmati keselesaan yang diperoleh daripada modenisasi tersebut. Namun demikian, oleh sebab rakyat terlalu dihidangkan dengan taraf hidup yang mewah dan selesa, telah melahirkan rakyat yang tidak sanggup memikul pekerjaan yang membebankan. Mereka menolak pekerjaan dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal seperti sektor perkilangan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pembinaan. Rakyat negara kita beranggapan mereka tidak akan mendapat pulangan lumayan dan akan dipandang rendah sebagai orang yang tidak berpendidikan. Mereka berpendapat bahawa pekerjaan sebegini akan menyebabkan mereka berada di bawah matahari yang terik dan tidak menawarkan masa hadapan yang cerah. Rakyat lebih ingin memilihi pekerjaan yang berada dalam bilik yang dipasang penghawa dingin dan melakukan pekerjaan ringan serta memperoleh gaji bulanan yang lumayan. Oleh sebab itu, kerajaan tidak mempunyai pilihan membawa masuk pekerja asing untuk mengisi kekosongan dalam sektor-sektor ini. Pekerja asing ini sebenarnya memberi sumbangan yang besar kepada negara kita dan membantu dalam pembangunan. Oleh hal yang demikian, marilah kita lapangkan jiwa dan minda untuk meneliti sumbangan yang diberikan oleh pekerja asing kepada negara kita. 

  Umum mengetahui bahawa sumbangan perdana yang mampu kita nikmati adalah mempercepat proses pembangunan negara. Pekerja asing ini datang ke negara jiran seperti Malaysia untuk mendapat peluang pekerjaan. Keadaan sebegini berlaku kerana rakyat yang terlalu ramain di negara asal mereka dan peluang pekerjaan yang terhad. Pekerja asing ini sanggup melakukan apa-apa pekerjaan asalkan mendapat gaji bulanan untuk menampung kos kehidupan mereka sendiri dan keluarga. Sektor-sektor yang diisi dengan pekerja asing akan membantu projek-projek atau tugasan yang sedang dilakukan disiapkan dengan cepat dan dilaksanakan secara berterusan. Hal ini demikian kerana sektor-sektor ini diisi dengan pekerja yang mencukupi. Malah, pekerja asing ini rajin dan bekerja keras dalam melakukan pekerjaan masing-masing untuk mendapat gaji bulanan daripada majikan. Projek-projek seperti pembinaan infrastruktur akan dipercepatkan dan membantu dalam pemodenan negara. Infrastruktur pembinaan bangunan mahupun jalan raya akan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyelesaikan projek dalam waktu yang singkat. Pembangunan negara juga akan dicapai walaupun pekerja tempatan enggan bekerja dalam sektor-sektor seperti ini. Pemodenan negara akan melonjakkan nama negara ke persada dunia dan menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur terhadap ekonomi negara kita. Tindakan ini dapat menjamin pertambahan ekonomi dan mendatangkan pendapatan kepada negara. Dengan ini, negara akan mempunyai wang yang lebih banyak untuk melaksanakan projek pembangunan yang lain. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa pekerja asing menyumbang kepada pembangunan negara.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pekerja asing juga menyumbang kepada aspek seterusnya, iaitu mengisi kekosongan tempat dalam pekerjaan di negara kita. Bidang pekerja yang luas didapati di negara kita dan luar negara. Rakyat negara kita yang sering mengejar kemajuan akan mengejar taraf hidup yang tinggi dan mendapat pekerjaan yang memerlukan tenaga mahir. Oleh sebab itu, tenaga separuh mahir dan tidak mahir kurang mendapat sambutan rakyat kita. Sektor-sektor ini menjadi kosong dan pekerjaan berkaitan tidak dijalankan dan keluaran terbantut. Justeru, majikan tiada pilihan membawa masuk pekerja asing yang lebih bersungguh-sungguh untuk melakukan pekerjaan dalam sektor yang memerlukan tenaga separuh dan tidak mahir. Malah, gaji bulanan yang diperuntukkan kepada pekerja asing adalah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Namun, pekerja asing masih rela melakukan pekerjaan ini agar tidak berlaku pengangguran. Gaji yang diperuntukkan sebenarnya juga lebih tinggi daripada bekerja negara asal kerana tukaran wang ringgit kepada nilai di negara asal mereka mempunyai perbezaan. Mereka beranggapan bekerja di negara kita lebih baik kerana gaji yang didapati sebulan mungkin memerlukan beberapa bulan atau setahun untuk mendapat gaji tersebut di negara asal. Pekerjaan yang senang dan mendapat gaji yang lumayan bagi pekerja asing akan mendapat sambutan mereka. Pekerjaan seperti keselamatan pula dapat menjamin keselamatan penduduk. Pekerja asing yang mahir pula dapat mengisi kekosongan pekerjaan dan memberi sumbangan dari pelbagai bidang. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa pekerja asing sama ada mahir, separuh mahir atau kurang mahir dapat mengisi kekosongan tempat dalam pekerjaan di negara kita.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa sumbangan lain yang agak jelas ialah pertukaran teknologi. Tenaga buruh yang mahir atau separuh mahir datang dari pelbagai sudut di dunia. Pekerja asing akan ditugaskan untuk pergi ke negara berbeza untuk menjalankan pekerjaan. Pendidikan dan latihan yang diperoleh dari negara asal akan dibawa ke negara lain. Selain itu, negara yang berbeza akan mempunyai tahap teknologi berbeza. Dengan pengimportan tenaga buruh dari luar negara, maka teknologi dari negara tersebut akan diimport ke negara kita. Pertukaran teknologi ini dapat membantu dalam penyelidikan. Pusat penyelidikan dan pembangunan R&D teknologi multimedia akan muncul. Syarikat komputer akan menjalankan R&D di MSC atau Sistem Koridor Multimedia dan menyumbang kepada pembaharuan teknologi. Perkongsian teknologi ini akan membantu memajukan penciptaan baharu dan seterusnya meningkatkan taraf hidup manusia. Pekerja asing yang berkemahiran dapat mendidik generasi muda untuk menjadi mahir selepas dilatih. Tahap pendidikan di negara kita dapat ditingkatkan dan mencapai tahap yang seiras dengan negara maju yang lain. Malaysia lambat laun akan menerap teknologi canggih asing dan mampu menyaingi negara lain dengan penciptaan baru melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini dapat melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif, berdaya saing, mempunyai sifat terbuka dan keinginan meneroka bidang baru. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa tenaga buruh asing dapat memberi sumbangan kepada pertukaran teknologi antara negara mereka dengan negara kita.

  Pada hemat saya, sumbangan pekerja asing dapat juga dikaitkan dengan aspek seterusnya iaitu dapat menaikkan imej negara di mata dunia. Dengan pembangunan negara sejak kemerdekaan lagi, negara kita telah dapat mencapai kemajuan dalam masa 58 tahun sahaja. Kita perlulah menghargai pekerja tempatan mahupun pekerja asing yang menyumbang bakti dalam pembangunan ini. Pekerja asing yang memberi bantuan dan menyeberangi sempadan ke negara kita perlulah dikawal secara sistematik. Dengan ini, pekerja asing di negara kita dapat dirancang dengan sebaik mungkin di samping menjamin kesejahteraan dengan penduduk tempatan. Hal ini dapat mengekalkan keselamatan dan meningkatkan imej negara di dunia. Pekerja asing yang bekerja di negara kita akan mempromosikan negara kita kepada keluarga dan rakan-rakan di negara asal untuk melawati negara kita. Keamanan dan keharmonian juga dapat menarik mereka untuk datang ke Malaysia. Selain itu, dengan kemudahan asas, infrastruktur yang menawan, politik yang stabil, keadaan ekonomi yang kian meningkat, teknologi yang canggih dan rakyat tempatan yang peramah, memang tidak dapat ditolak penarikan terhadap keindahan tanah air kita. Pekerja asing juga akan berbesar hati untuk bekerja di sini kerana kebajikan mereka terjaga dan diberi insurans kesihatan. Dari aspek kesukanan, sekiranya negara mengimport pemain warga asing dan memenangi sesuatu liga bola sepak, mereka akan membantu menaikkan imej dan nama negara. Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa pekerja asing dapat menaikkan imej negara.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah sumbangan dalam menjalinkan hubungan diplomatik antara negara kita dengan negara asal pekerja asing. Penubuhan ASEAN atau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara bertujuan untuk mengukuhkan hubungan serantau. Negara-negara ASEAN juga diisytiharkan sebagai zon aman, bebas dan berkecuali bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan politik di Malaysia dan negara-negara serantau. Dengan ini, kestabilan politik di Malaysia dapat dijamin jika negara berusaha untuk menjalin hubungan erat dengan negara serantau. Seterusnya penubuhan AFTA atau zon bebas cukai antara negara ASEAN mewujudkan pasaran yang berpotensi besar kepada pengeksport Malaysia asalkan mereka meningkatkan piawaian produk dan khidmat. Penubuhan AFTA membolehkan barangan dari negara serantau bersaing secara sihat. Buktinya rakyat dari negara ASEAN dapat membeli barang yang berkualiti setelah AFTA ditubuhkan. Pengeksport Malaysia perlulah berusaha untuk menguasai pasaran dalam rantau ini. Sehubungan dengan itu, negara kita tidak akan berperang dengan negara lain atau melibatkan diri dalam konflik antarabangsa dan serantau. Hal ini secara tidak langsung telah mengekalkan keamanan dan keharmonian di Asia Tenggara. Di samping itu, dengan pekerja asing di negara kita akan menjalinkan hubungan baik kita dengan negara serantau dan memudahkan bantuan. Hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu, tetapi dibalas dengan buah. Contoh negara Malaysia telah membantu negara serantau yang ditimpa bencana, misalnya mendermakan wang kepada negara Indonesia apabila berlakunya gempa bumi. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa pekerja asing di negara kita dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara serantau.

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa pekerja asing sebenarnya memberikan sumbangan yang banyak kepada negara kita. Pekerja asing sama ada mahir, separuh mahir atau kurang mahir dapat memberikan sumbangan yang tidak terhingga kepada negara. Walaupun kehadiran pekerja asing dikatakan banyak menimbulkan masalah kepada negara, namun kita sebagai rakyat perlulah sentiasa berfikiran positif akan kedatangan mereka yang membantu kemajuan ekonomi negara kita. Jika dilihat daripada perspektif yang berbeza pula, segelintir pendatang asing akan menimbulkan masalah dan memberi impak buruk kepada negara seperti bilangan pendatang asing yang terlalu ramai sehingga menggugat keselamatan penduduk tempatan, menimbulkan gejala sosial, aktiviti mereka, pengaliran keluar mata wang negara, masalah perumahan dan setinggan, tersebarnya penyakit berjangkit dan sebagainya. Kesan negatif ini akan menyebabkan rakyat tempat tidak selesa dan tidak puas hati walaupun berada di negara sendiri. Oleh itu, kerajaan bolehlah mengambil tindakan dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengetatkan pengawalan di sempadan negara agar pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai permit kerja untuk memasuki negara kita. Sebaliknya, kerajaan boleh mengehadkan dan lebih mengalu-alukan kedatangan pekerja asing yang sah untuk berkhidmat di negara kita dan membantu dalam pembangunan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai jasa pekerja asing yang berkhidmat dan menyumbang bakti walaupun mereka berada di negara berbeza dan jauh daripada keluarga sendiri. Kita harus menyanjung tinggi terhadap pekerja asing ini yang telah bersungguh-sungguh menjalankan pekerjaan masing-masing demi membentuk negara Malaysia yang maju.

Word Count:                                                 Markah: 90/100                                          Date 21/7/2015

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya