Karangan Bahagian A Usaha yang Perlu Dilakukan untuk Mengurangkan Kemalangan di Jalan Raya

Kemalangan Jalan Raya
1. Memandu dengan Berhemah
2. Memandu Mengikut Had yang Ditetapkan
3. Kenderaan Diselenggara dengan Baik
4. Selalu Ingat Orang yang Tersayang

  Pada saat kita sibuk merencana kehidupan di dunia yang fana ini, kemalangan jalan raya kian menular dalam kalangan komuniti global. Senario ini saban hari menjadi polemik komuniti madani yang cakna tentang duniawi. Lebih menarik lagi, isu yang meruntun jiwa dan minda ini turut disiarkan di dada akhbar untuk tatapan umum. Persoalannya, adakah kita bersedia menghadapi kemelut kemalangan jalan raya yang melanda generasi kini? Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pendeta bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Oleh hal yang demikian, satukan jiwa dan minda untuk memikirkan langkah pragmatik yang boleh diimplementasikan. 

  Umum mengetahui bahawa usaha yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil, iaitu memandu dengan berhemah. Ketika memandu, pemandu perlulah memberi perhatian terhadap persekitaran dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Mereka mesti mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya agar menjamin keselamatan diri dan orang lain. Perkara yang perlu dielakkan semasa memandu adalah seperti menggunakan telefon bimbit, berbual-bual, berada dalam keadaan mabuk atau mengantuk dan bertelingkah dengan orang yang duduk di dalam kenderaan. Hal ini demikian kerana ia mampu mengalihkan perhatian pemandu daripada memandu secara hemat. Cogan kata yang berbunyi "Pandu Cermat Jiwa Selamat" perlulah sentiasa dalam jiwa seseorang agar sentiasa memandu secara berhemah. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa prakarsa yang lebih proaktif perlu disegerakan, iaitu memandu mengikut had yang ditetapkan. Had laju di lebuh raya Malaysia ialah 110km sejam sahaja. Pemandu perlulah memberikan perhatian terhadap had laju di lebuh raya agar mengelakkan kemalangan berlaku. Apabila kenderaan dibawa dengan terlalu laju, ia amat sukar untuk menghentikannya dalam keadaan terdesak atau secara mengejut. Cogan kata "Cegah Sebelum Parah" perlulah sentiasa diingati. Fikirkanlah nyawa kita yang berharga ini, biar lambat sampai de destinasi asalkan selamat. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa alternatif lain yang agak jelas ialah kenderaan perlulah diselenggara dengan baik. Sebelum memulakan perjalanan yang panjang, komponen-komponen kenderaan hendaklah diperiksa agar berada dalam keadaan sempurna. Hal ini dapat mengelakkan sebarang kemalangan ataupun mendatangkan sebarang masalah ketika berada separuh jalan ke destinasi. Tayar kereta yang telah haus perlu ditukar dengan segera agar kenderaan mampu dikawal semasa hari hujan yang mengakibatkan jalan raya licin dan mengelakkan kenderaan terbabas. Brek kenderaan haruslah diperiksa juga agar kenderaan dapat dihentikan dalam keadaan kecemasan. 

  Pada hemat saya, fenomena tersebut dapat juga dikaitkan dengan modus operandi seterusnya, iaitu dengan selalu mengingati orang yang tersayang. Dalam konteks ini, kemalangan jalan raya boleh mengakibatkan maut atau cedera parah yang akan membimbangkan serta menyebabkan keluarga kehilangan orang yang tersayang. Bertitik tolak daripada itu, hakikat tersebut akan menambah beban ahli keluarga sekiranya salah seseorang ahli keluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah seseorang pemandu membawa kenderaannya dengan selamat agar menjamin keselamatan nyawanya dan dapat pulang ke rumah untuk melihat keluarga yang tersayang. 

  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa elakkan sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Bersama-samalah kita sehilir semudik menjayakan langkah yang disarankan agar hasilnya membawa kebaikan. Langkah seperti memandu dengan berhemah, memandu mengikut had laju yang ditetapkan, menyelenggara kenderaan dengan baik dan selalu mengingati orang yang tersayang wajar dilaksanakan supaya kemalangan jalan raya dikurangkan dan mengelakkan nyawa yang berharga berakhir dengan begitu sahaja. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa ialah tanggungjawab semua pihak demi mencapai tahap keberkesanan yang maksimum.  

Word Count: 520                                            Markah: 26/30                                              Date 10/2/15

Comments

Popular posts from this blog

Karangan Bahagian B Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur

Karangan Bahagian B Keistimewaan Malaysia

Karangan Bahagian B Keburukan Obesiti dan Cara Mengatasinya